Indonesia timbang tarik diri dari Lembaga Keamanan selepas serangan AS-Israel ke Iran

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Indonesia timbang tarik diri dari Lembaga Keamanan selepas serangan AS-Israel ke Iran

Mar 5, 2026 | 12:10 PM

Indonesia timbang tarik diri dari Lembaga Keamanan selepas serangan AS-Israel ke Iran

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula
Beberapa individu menyertai protes di luar Kedutaan Amerika Syarikat sambil menggesa pemerintah Indonesia menarik balik keanggotaannya daripada Lembaga Keamanan di Jakarta, Indonesia, pada 3 Mac 2026.
Beberapa individu menyertai protes di luar Kedutaan Amerika Syarikat sambil menggesa pemerintah Indonesia menarik balik keanggotaannya daripada Lembaga Keamanan di Jakarta, Indonesia, pada 3 Mac 2026. - Foto REUTERS

JAKARTA: Indonesia memberi bayangan bahawa negara itu mungkin menarik diri daripada Lembaga Keamanan, sebuah badan antarabangsa yang dicadangkan bagi menangani konflik global termasuk isu Gaza, selepas Presiden Prabowo Subianto menyuarakan kemungkinan tersebut dalam beberapa pertemuan dengan pemimpin negara.

Perkara itu didedahkan oleh Pengerusi Majlis Permusyawaratan Rakyat (MPR), Encik Ahmad Muzani, selepas bertemu Presiden Prabowo di Istana Presiden pada 4 Mac. Menurut Encik Muzani, Presiden Prabowo telah beberapa kali menyatakan bahawa Indonesia boleh mempertimbangkan untuk menarik diri daripada Lembaga Keamanan sekiranya peranannya tidak lagi selari dengan kepentingan negara.

“Bagi Indonesia, penyertaan dalam Lembaga Keamanan atau menarik diri daripadanya adalah sesuatu yang boleh berlaku. Presiden telah menyebut perkara ini beberapa kali,” kata Encik Muzani kepada wartawan.

Beliau menambah bahawa keputusan tersebut boleh dibuat pada bila-bila masa, namun perlu dilakukan secara bersama dengan pihak lain yang terlibat. “Kita boleh keluar daripada Lembaga Keamanan pada bila-bila masa, tetapi sekali lagi ia perlu melalui persetujuan bersama,” katanya.

Encik Muzani menjelaskan bahawa Indonesia pada awalnya bersetuju menyertai Lembaga Keamanan kerana percaya badan tersebut mampu mempercepat usaha ke arah kemerdekaan Palestin. Menurut beliau, badan itu ditubuhkan dengan tujuan membantu proses pembangunan, pembinaan semula serta pemulihan wilayah Palestin yang terjejas akibat konflik berpanjangan.

“Lembaga Keamanan merupakan sebahagian daripada usaha untuk mempercepat proses kemerdekaan Palestin, selain membantu pembangunan, pembinaan semula dan pemulihan Palestin,” katanya.

Namun situasi geopolitik yang semakin tegang, khususnya selepas serangan Amerika Syarikat dan Israel terhadap Iran, menyebabkan Jakarta mula menilai semula penyertaannya dalam badan tersebut. Serangan Amerika Syarikat dan Israel terhadap Iran telah mendorong Presiden menilai semula penyertaan Indonesia dalam Lembaga Keamanan, memandangkan kedua-dua negara itu juga terlibat dalam badan berkenaan,” kata Encik Muzani.

Penyertaan Indonesia dalam Lembaga Keamanan sebelum ini mencetuskan perdebatan di dalam negara, termasuk kritikan daripada pakar dan kumpulan Islam yang bimbang langkah tersebut boleh menjejaskan sokongan lama Indonesia terhadap perjuangan Palestin. Indonesia, yang merupakan negara dengan populasi Muslim terbesar di dunia, secara konsisten menyokong penyelesaian dua negara sebagai jalan keluar kepada konflik Israel-Palestin.

Majlis Ulama Indonesia (MUI) pada 1 Mac lalu menggesa pemerintah menarik diri daripada Lembaga Keamanan, dengan alasan serangan Presiden Amerika Syarikat Donald Trump terhadap Iran menunjukkan inisiatif itu tidak lagi berkesan.

Sebaliknya, organisasi Islam terbesar di Indonesia, Nahdlatul Ulama, berpendapat Jakarta sepatutnya menggunakan kedudukannya dalam Lembaga Keamanan untuk menekan Israel dan Amerika Syarikat supaya menghentikan keganasan di rantau tersebut.

Lembaga Keamanan pertama kali dicadangkan oleh Encik Trump pada September 2025 ketika beliau membentangkan pelan bagi menamatkan perang Israel di Gaza. Cadangan itu kemudiannya diperluaskan untuk menangani konflik global lain yang biasanya dikendalikan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Namun perkembangan terbaru di Asia Barat, termasuk konflik yang semakin meluas antara Iran, Amerika Syarikat dan Israel, menimbulkan persoalan tentang keberkesanan badan tersebut.

Dalam perkembangan berkaitan, Menteri Luar Indonesia, Sugiono, berkata Presiden Prabowo bersedia memainkan peranan sebagai pengantara dalam konflik melibatkan Iran. Menurut beliau, Jakarta mahu membantu meredakan ketegangan yang semakin memuncak di rantau itu. “Presiden bersedia memainkan peranan sebagai pengantara untuk menyejukkan keadaan dan meredakan ketegangan di rantau tersebut,” katanya.

Pada masa sama, Indonesia juga sedang membuat persiapan untuk menghantar kira-kira 1,000 anggota tentera ke Gaza sebagai sebahagian daripada pasukan pengaman antarabangsa. Tentera Indonesia berkata pasukan itu berkemungkinan dihantar seawal April di bawah Pasukan Penstabil Antarabangsa (ISF) yang diberi mandat oleh PBB. Indonesia juga diberikan peranan sebagai timbalan komander bagi pasukan tersebut.

Isu tersebut turut dibincangkan dalam satu pertemuan penting di Istana Merdeka pada malam 4 Mac yang menghimpunkan beberapa tokoh utama negara. Antara yang hadir ialah bekas Presiden keenam Encik Susilo Bambang Yudhoyono; mantan Presiden ketujuh Encik Joko Widodo dan bekas-bekas Naib Presiden Encik Jusuf Kalla, Encik Boediono dan Encik Ma’ruf Amin.

Mesyuarat itu turut disertai bekas menteri luar, pemimpin parti politik serta anggota Kabinet Merah Putih.
Menurut Encik Muzani, Presiden Prabowo memberikan penjelasan terperinci mengenai situasi geopolitik global kepada para pemimpin yang hadir.

“Presiden menjelaskan secara terperinci mengenai keadaan global yang beliau fahami dan ikuti. Hampir semua tokoh yang hadir turut menyampaikan pandangan mereka,” katanya. Beliau berkata beberapa pemimpin mengemukakan soalan, manakala yang lain memberikan cadangan serta pandangan kritikal mengenai perkembangan semasa.

“Presiden Jokowi, Presiden SBY, bekas Naib Presiden Ma’ruf Amin serta beberapa bekas menteri luar turut berkongsi pandangan mereka,” katanya. Menurut Encik Muzani, semua cadangan dan pandangan yang dikemukakan akan dijadikan bahan pertimbangan oleh Presiden Prabowo dalam membuat keputusan dan merangka dasar negara pada masa depan.

“Segala pandangan, cadangan dan idea yang disampaikan akan menjadi input penting kepada Presiden dalam menentukan langkah dan dasar yang akan diambil selepas ini,” katanya. - Agensi berita

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Berita Harian di Mudah Alih

  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg