ISTANBUL: Menteri-menteri luar dari negara anggota Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) dan Liga Arab berkumpul di Antalya, Turkey, pada 11 April bagi membincangkan penyelesaian dua negara dan usaha mencapai keamanan berkekalan di Timur Tengah, khususnya konflik berpanjangan di Gaza.
Mesyuarat Kumpulan Perhubungan Gaza itu berlangsung sebelum Forum Diplomasi Antalya yang dijadualkan dari 11 hingga 13 April.
Menteri Luar Turkey, Encik Hakan Fidan, bertindak sebagai tuan rumah kepada pertemuan penting itu.
Antara negara yang akan menghantar wakil ialah Bahrain, Indonesia, Palestin, Qatar, Mesir, Arab Saudi dan Jordan – sekali gus menjadikan ia kali pertama mesyuarat jawatankuasa peringkat menteri itu diadakan di Turkey dan merupakan sesi ke-20 sejak ia ditubuhkan.
Setiausaha Agung Liga Arab, Encik Ahmed Aboul Gheit, dan Setiausaha Agung OIC, Encik Hussein Ibrahim Taha, turut hadir bersama perwakilan dari Amiriah Arab Bersatu (UAE), Nigeria, Ireland, Sepanyol, Norway, Slovenia, China, Russia dan Kesatuan Eropah (EU).
Menurut sumber diplomatik, mesyuarat itu bertujuan menyatukan usaha antarabangsa dalam mencari jalan penyelesaian konflik Gaza, terutama selepas gencatan senjata yang dipersetujui sebelum ini dilanggar oleh Israel pada 18 Mac – menyebabkan ketegangan terus meningkat di Gaza, Tebing Barat dan Baitulmakdis.
Menteri Luar Turkey dijangka menggesa usaha lebih kuat bagi menghentikan serangan, membebaskan tebusan serta memastikan bantuan kemanusiaan dapat disalurkan sepenuhnya kepada penduduk Gaza.
“Penyelesaian dua negara masih merupakan satu-satunya pilihan realistik bagi membolehkan rakyat Palestin hidup aman di tanah air mereka sendiri dan mewujudkan keamanan bersama dengan Israel,” kata Encik Fidan lapor agensi berita yang berpangkalan di Turkey, Anadolu.
Encik Fidan turut dijangka menyatakan sokongan padu Turkey terhadap usaha Mesir dan Qatar yang kini giat menjadi orang tengah dalam rundingan damai antara Israel dengan Palestin.
Sejak penubuhannya, Kumpulan Perhubungan Gaza telah menjalankan pelbagai daya usaha diplomatik di ibu kota utama dunia seperti London, Paris, New York, Washington, Ottawa, Brussels, Oslo, Madrid, Kahirah dan Amman bagi meningkatkan tekanan antarabangsa ke atas Israel.
Sementara itu, Speaker Parlimen Arab, Encik Mohammed bin Ahmed Al Yamahi, menegaskan bahawa perjuangan rakyat Palestin terus mendapat sokongan tidak berbelah bahagi daripada negara anggota Pergerakan Negara-Negara Berkecuali (NAM) sejak awal lagi.
“Negara NAM berdiri teguh menyokong hak rakyat Palestin untuk menubuhkan negara merdeka dengan Baitulmakdis sebagai ibu negaranya.
“Kita perlu menolak sekeras-kerasnya sebarang cubaan mengusir rakyat Palestin dari tanah mereka,” katanya dalam ucapan di Tashkent, Uzbekistan.
Beliau turut menggesa supaya sebarang rancangan atau usaha untuk mengusir rakyat Palestin dari tanah bersejarah mereka ditolak sepenuhnya.
Dalam ucapannya, Encik Al Yamahi, mengecam kegagalan sistem antarabangsa dan institusinya dalam melindungi rakyat Palestin yang berdepan ancaman pembunuhan setiap hari.
Speaker Parlimen Arab itu turut menegaskan keperluan untuk menegakkan dan melaksanakan undang-undang antarabangsa serta ketetapan sah antarabangsa di semua negara tanpa pengecualian. – Agensi berita.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg