Timur Tengah
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Jawatankuasa Menteri Arab-Islam seru gencatan senjata segera Israel, Hamas

Mahu bantuan kemanusiaan dihantar tanpa halangan ke Gaza
Mar 24, 2025 | 11:32 AM
Mesyuarat Jawatankuasa Menteri Arab-Islam di Istana Al Tahrir, Kahirah, Mesir, pada 23 Mac.
Mesyuarat Jawatankuasa Menteri Arab-Islam di Istana Al Tahrir, Kahirah, Mesir, pada 23 Mac. - Foto EPA-EFE

KAHIRAH: Jawatankuasa Menteri Arab-Islam menyuarakan kebimbangan mendalam berhubung kegagalan pelaksanaan gencatan senjata di wilayah itu, dalam satu mesyuarat bersama Ketua Dasar Luar Kesatuan Eropah, Cik Kaja Kallas, yang berlangsung di Kahirah 23 Mac.

Mesyuarat tersebut disertai oleh menteri luar dari Jordan, Palestin, Qatar, Mesir, Turkey, Indonesia, Bahrain, Amiriah Arab Bersatu (UAE) serta Setiausaha Agung Liga Arab dan Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC).

Perbincangan tertumpu kepada keadaan terkini di wilayah Palestin yang diduduki, terutama peningkatan serangan udara Israel yang mengorbankan ratusan orang awam.

“Kami sangat bimbang dengan berulangnya kekejaman terhadap rakyat Gaza dan kemusnahan prasarana awam yang penting,” demikian berdasarkan kenyataan bersama selepas mesyuarat.

Seruan Pelaksanaan Segera Gencatan Senjata dan Fasa Kedua Ketetapan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB)

Jawatankuasa itu mendesak pelaksanaan segera dan menyeluruh.

Ia melibatkan perjanjian gencatan senjata serta pembebasan tahanan dan tebusan seperti yang dipersetujui pada Januari, yang dirunding oleh Mesir, Qatar dan Amerika Syarikat.

Di samping itu, ia menekankan keperluan untuk meneruskan ke fasa kedua perjanjian itu berdasarkan Ketetapan 2735 Majlis Keselamatan PBB yang menyeru pengunduran penuh tentera Israel dari Gaza dan penamatan kekal serangan ketenteraan.

“Penangguhan pelaksanaan hanya membawa lebih banyak pertumpahan darah dan penderitaan.

“Rakyat Gaza memerlukan keamanan, bukan peluru,” tegas Menteri Luar Jordan, Encik Ayman Safadi, dalam sidang media.

Jawatankuasa itu turut menggesa penghantaran segera, mampan dan tanpa halangan bantuan kemanusiaan ke seluruh Gaza.

Ini termasuk pemulihan bekalan asas seperti elektrik dan loji penyahgaraman air yang kini lumpuh akibat serangan.

Dalam mesyuarat tersebut, para pemimpin turut mengalu-alukan Pelan Pemulihan dan Pembinaan Semula Gaza yang dibentangkan dalam Sidang Puncak Kahirah pada 4 Mac .

Pelan ini telah disahkan oleh OIC dan turut menerima sokongan Majlis Eropah.

Ia menegaskan keperluan memastikan rakyat Palestin kekal di tanah mereka dan menolak sekeras-kerasnya sebarang cubaan pengusiran paksa dari Gaza atau Tebing Barat, termasuk Baitulmakdis Timur.

Antara gesaan utama ialah penyatuan semula pentadbiran Gaza dan Tebing Barat di bawah Penguasa Palestin (PA), bagi membolehkan pentadbiran berkesan di seluruh wilayah Palestin yang diduduki sejak 1967.

Ia adalah syarat penting dalam pembentukan negara Palestin berdasarkan penyelesaian dua negara.

Jawatankuasa itu juga menyatakan kebimbangan terhadap peningkatan pencerobohan tentera Israel di Tebing Barat, termasuk kegiatan petempatan haram, perobohan rumah dan keganasan oleh peneroka haram Yahudi.

Mereka menyifatkan tindakan itu sebagai penghalang kepada perdamaian yang adil dan berkekalan.

Kenyataan bersama turut menolak sebarang cubaan sepihak untuk mengubah status undang-undang dan sejarah Baitulmakdis serta menegaskan kembali komitmen kepada penyelesaian dua negara berdasarkan ketetapan PBB dan Inisiatif Damai Arab.

Sebagai langkah ke hadapan, Jawatankuasa mengesahkan komitmen menganjurkan satu Persidangan Antarabangsa Peringkat Tinggi di bawah naungan PBB yang dijadual berlangsung pada Jun di New York, dengan Perancis dan Arab Saudi bertindak selaku pengerusi bersama.

Kenyataan itu turut mengutuk serangan udara mengejut Israel sejak 18 Mac yang membunuh lebih 700 rakyat Palestin dan mencederakan lebih 1,000 orang, sekali gus memusnahkan perjanjian gencatan senjata yang telah dipersetujui sebelum ini.

Menurut data terkini, lebih 50,000 rakyat Palestin terbunuh sejak serangan ke atas Gaza bermula pada Oktober 2023 – sebahagian besarnya wanita dan kanak-kanak – manakala lebih 113,000 cedera.

Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) telah mengeluarkan waran tangkap terhadap Perdana Menteri Israel, Encik Benjamin Netanyahu dan mantan Menteri Pertahanan, Encik Yoav Gallant, atas jenayah perang dan jenayah terhadap kemanusiaan di Gaza. – Agensi berita.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg