JAKARTA: Ketua Badan Penyelenggara Jaminan Produk Halal (BPJPH) Indonesia, Encik Ahmad Haikal Hasan, mengumumkan bahawa semua produk makanan dan minuman, termasuk yang dijual di warung tradisional seperti warung Padang, Tegal, dan Betawi, wajib memiliki sijil halal menjelang Oktober 2026.
Syarat pensijilan ini juga merangkumi kosmetik serta produk import yang masuk ke Indonesia.
“Menjelang Oktober 2026, semuanya mesti halal,” kata Encik Haikal ketika ditemui di Jakarta Selatan. Beliau menyifatkan sistem pensijilan halal Indonesia sebagai yang terbaik di dunia. “Sistem kita adalah yang paling baik, ramai negara datang belajar daripada kita,” tambahnya.
Encik Haikal turut menyampaikan berita baik untuk pemilik warung kecil.
“Kami bawa berita gembira untuk rakan-rakan pemilik warteg (warung Tegal), warung Sunda, warung Padang. Kini mereka boleh mendapatkan sijil halal secara percuma,” katanya.
Inisiatif ini adalah sebahagian daripada program Presiden Prabowo Subianto untuk membantu perniagaan mikro dan kecil (PMK).
Menurut Encik Haikal, kemudahan ini diberikan selaras dengan Keputusan Ketua BPJPH Tahun 2025 mengenai Garis Panduan Teknikal Perkhidmatan Pensijilan Halal bagi Usahawan Mikro dan Kecil.
Keputusan itu berkuat kuasa sejak 8 Julai 2025 dan bertujuan mempercepat serta mempermudah proses pensijilan.
“Dengan peraturan baru ini, kami percepatkan dan mudahkan proses pensijilan halal,” jelasnya.
BPJPH telah mengeluarkan 2.79 juta sijil halal yang meliputi 9.6 juta produk domestik. Sebanyak 700 warung sudah menerima sijil halal percuma melalui skim pengisytiharan kendiri yang dipermudah, manakala 500 lagi sedang dalam proses.
Skim ini membolehkan pemilik perniagaan kecil mengisytiharkan status halal produk mereka dengan bimbingan BPJPH.
“Angkanya terus meningkat kerana kami mempercepatkan pensijilan halal, terutama dalam sektor perniagaan mikro dan kecil yang merupakan tulang belakang ekonomi negara,” ujar Encik Haikal.
Encik Haikal menjelaskan, pensijilan halal memberi jaminan undang-undang kepada pengguna Muslim dan meningkatkan keyakinan pembeli.
“Kami mahu anak-anak kita menikmati menu tempatan seperti soto Betawi, soto Bogor, sate, rendang dan lain-lain, bukannya hanya tertarik dengan restoran francais asing,” tegasnya.
BPJPH juga menggerakkan lebih 328 Institusi Pembantu Proses Produk Halal (LP3H) dan lebih 103,000 pembantu proses halal di seluruh negara, selain 108 badan pemeriksa halal yang mempunyai hampir 1,800 juruaudit berdaftar.
Langkah ini bagi memastikan pelaksanaan standard halal berjalan lancar hingga ke peringkat pengeluaran makanan asas seperti penyembelihan.
“Kolaborasi penting untuk membina ekosistem halal yang berdaya saing dan mengukuhkan kedudukan Indonesia sebagai hab halal global,” kata Encik Haikal.
Dengan populasi Muslim terbesar di dunia, pasaran halal domestik Indonesia dianggarkan bernilai lebih 3,800 trilion rupiah (S$300 bilion) setiap tahun. Usaha ini diharap bukan sahaja memberi perlindungan kepada pengguna, tetapi juga memperkukuh daya saing usahawan tempatan di pasaran global. - Agensi berita
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg