JAKARTA: Pemerintah Indonesia kini merancang pendekatan menyeluruh untuk menenangkan kebimbangan pelabur dan pemain ekonomi utama susulan kejatuhan pasaran saham serta penyusutan nilai rupiah yang mencetuskan kegelisahan terhadap masa depan ekonomi negara.
Presiden Prabowo Subianto dijadual bertemu dengan para pelabur sebaik sahaja cuti panjang Aidilfitri tamat minggu hadapan. Pertemuan ini bertujuan untuk membetulkan salah faham mengenai dasar ekonomi pemerintah yang dianggap tidak menentu.
“Pemerintah akan memperbaiki dan mempergiatkan komunikasi dengan pemain ekonomi,” kata Encik Raden Pardede, penasihat khas kepada Menteri Penyelaras Bidang Ekonomi, Airlangga Hartarto kepada Reuters. Beliau menjelaskan bahawa mesej-mesej utama seperti komitmen pemerintah terhadap disiplin fiskal akan ditekankan.
Nilai rupiah jatuh ke paras terendah sejak krisis kewangan Asia 1998, apabila mencecah sekitar 16,600 ($1.29) berbanding dolar Amerika minggu ini. Kejatuhan ini berlaku serentak dengan penyusutan indeks utama Bursa Saham Indonesia sehingga 7.1 peratus minggu lalu, sekali gus membangkitkan keresahan dalam kalangan pelabur.
Penganalisis menyifatkan antara punca utama kejatuhan ini adalah komunikasi dasar fiskal yang lemah serta ketidak jelasan strategi pertumbuhan ekonomi jangka sederhana pemerintah. Tekanan pasaran global turut memperburuk keadaan.
Bagi meredakan kebimbangan, Encik Raden menegaskan bahawa pemerintah tidak akan melanggar had siling defisit fiskal sebanyak 3 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dan tidak akan ada sebarang campur tangan politik dalam pengurusan dana kekayaan negara baharu, Danantara Indonesia.
“Pemerintah juga sedang menyediakan langkah deregulasi sektor sebenar, khususnya untuk menggalakkan industri pembuatan yang mampu mencipta peluang pekerjaan dan berorientasikan eksport,” ujarnya lagi.
Beliau turut merujuk kepada dasar baharu yang bakal menyediakan kredit sebanyak 20 trilion rupiah ($1.62 bilion) untuk industri berintensifkan buruh.
Bank Indonesia (BI) pula menyatakan kesediaan untuk terus campur tangan bagi menstabilkan nilai rupiah, sambil menegaskan bahawa asas ekonomi negara kekal kukuh dengan pertumbuhan sekitar 5 peratus, inflasi rendah dan hutang luar yang masih terkawal.
“Kami berada dalam keadaan ekonomi yang jauh berbeza berbanding 1998. Fundamental kita kini lebih kuat,” kata Ketua Dasar Makroprudensial BI, Encik Solikin M. Juhro.
Pada 27 Mac, nilai rupiah mengukuh semula sebanyak 0.24 peratus selepas pemulihan pasaran yang didorong sentimen positif dalam saham, bon dan pasaran tukaran asing. Pengawal selia kewangan juga telah melonggarkan proses pembelian semula saham bagi menyokong pemulihan pasaran.
Menurut pakar ekonomi DBS Bank, Encik Radhika Rao, para pelabur akan memantau dengan teliti kemas kini belanjawan pertengahan tahun yang biasanya dibentangkan pada awal Julai. “Pasaran ingin melihat sama ada jurang hasil pendapatan kerajaan telah mengecil atau jika rasionalisasi perbelanjaan tambahan diperlukan untuk kekal dalam had defisit 3 peratus daripada KDNK,” katanya dalam e-mel.
Sementara itu, Encik Airlangga turut menolak tanggapan bahawa jumlah wang yang beredar semasa musim Aidilfitri tahun ini adalah lebih rendah. “Ia berada pada tahap sederhana. Tahun lalu ada pilihan raya umum, jadi situasinya berbeza,” ujarnya.
Namun begitu, Timbalan Pengerusi Pembangunan Autonomi Wilayah di Kamar Dagang dan Industri Indonesia (Kadin) Encik Sarman Simanjorang, menjangkakan edaran wang sepanjang musim perayaan tahun ini berkurang sebanyak 12.3 peratus kepada 138 trilion rupiah berbanding 157.3 trilion rupiah tahun 2024, lapor Kompas.com.
Dalam satu mesyuarat bersama Presiden, Menteri Kewangan Sri Mulyani Indrawati dan timbalannya Suahasil Nazara serta Thomas Djiwandono, serta Menteri Perancangan Pembangunan Negara Rachmat Pambudi menyatakan pemerintah kini sedang merangka Rang Undang-undang Belanjawan Negara 2026.
Cik Sri Mulyani menegaskan bahawa “program-program penting akan diteruskan” sebagaimana diarahkan oleh Presiden Prabowo.
“Komitmen dasar fiskal yang jelas dan persekitaran makroekonomi yang kukuh akan menjadi kunci dalam memulihkan semula keyakinan pelabur,” kata Encik Raden. “Kita tidak akan berkompromi dengan integriti fiskal negara.” - Agensi berita
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg