Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Prabowo janji tegas terhadap penyelewengan bahan api Pertamina

Feb 27, 2025 | 12:25 PM
Pihak berkuasa menyiasat pembelian produk kilang penapisan bahan api oleh Pertamina, khususnya petrol beroktana tinggi RON 92 atau lebih dikenali sebagai Pertamax. Siasatan mendedahkan bahan api yang sebenarnya dibeli adalah RON 90 atau Pertalite, yang kemudian dicampurkan di depoh bagi meningkatkan oktan menjadi RON 92, satu amalan yang tidak dibenarkan mengikut peraturan pemerintah.
Pihak berkuasa menyiasat pembelian produk kilang penapisan bahan api oleh Pertamina, khususnya petrol beroktana tinggi RON 92 atau lebih dikenali sebagai Pertamax. Siasatan mendedahkan bahan api yang sebenarnya dibeli adalah RON 90 atau Pertalite, yang kemudian dicampurkan di depoh bagi meningkatkan oktan menjadi RON 92, satu amalan yang tidak dibenarkan mengikut peraturan pemerintah. - Foto INSTAGARAM PERTAMINA

JAKARTA: Presiden Indonesia, Encik Prabowo Subianto, berikrar untuk mengambil tindakan tegas terhadap dakwaan penyalahgunaan bahan api bersubsidi dalam anak syarikat syarikat minyak milik negara, Pertamina.

Ketika ditanya mengenai kes yang sedang disiasat oleh Pejabat Peguam Negara (AGO), Encik Prabowo, berkata:

“Segala-galanya sedang diuruskan. Kita akan membersihkan dan menegakkan peraturan.”

Beliau memberikan kenyataan tersebut selepas melancarkan bank emas pertama Indonesia di Jakarta pada 6 Februari.

Kes ini melibatkan dakwaan bahawa eksekutif Pertamina telah mencampurkan petrol bersubsidi yang lebih murah dengan produk bahan api berjenama, Pertamax, yang dijual pada harga lebih tinggi.

Siasatan turut mendapati terdapat pelanggaran dalam import minyak mentah, menyebabkan kerugian negara mencecah 193.7 trilion rupiah ($15.8 bilion).

AGO sebelum ini telah menahan tujuh individu yang dipercayai terlibat, termasuk dua Ketua Pegawai Eksekutif dari Pertamina Patra Niaga dan Pertamina International Shipping, serta dua eksekutif dari Kilang Pertamina International.

Turut ditahan ialah pengarah beberapa syarikat swasta yang diberikan kontrak untuk mengimport dan mengangkut minyak mentah bagi pihak Pertamina.

Selain itu, AGO sedang menyiasat kemungkinan penglibatan taikun minyak, Encik Riza Chalid, dalam skim rasuah yang berkaitan dengan import bahan api di beberapa anak syarikat Pertamina.

Rumah Encik Riza di Jakarta Selatan telah diserbu pada 25 Februari, dengan pihak berkuasa merampas dokumen, komputer, serta wang tunai berjumlah 883 juta rupiah dan AS$1,500 ($2,011).

“Kami masih mencari maklumat lanjut mengenai sebab dokumen ini berada di kediaman Riza dan apakah peranannya dalam kes ini,” kata jurucakap AGO, Encik Harli Siregar, pada 26 Februari.

Pertamina Patra Niaga menafikan sekeras-kerasnya ia telah mencampurkan petrol bersubsidi, Pertalite, dengan Pertamax.

Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Pertamina Patra Niaga, Encik Mars Ega Legowo, menjelaskan bahawa syarikat itu hanya menambah bahan tambahan untuk meningkatkan nombor oktana dalam petrol, satu amalan yang menurutnya biasa dalam industri bahan api.

“Pertamax sendiri bukanlah produk campuran. Kami tidak mempunyai fasiliti khusus untuk mencampurkan petrol, sebaliknya hanya menggunakan bahan tambahan dan pewarna,” katanya.

Bagaimanapun, AGO tetap meneruskan siasatan bagi mengenal pasti sejauh mana dakwaan penyelewengan itu berlaku dan siapakah yang bertanggungjawab.

Encik Riza telah lama menguasai perniagaan import minyak melalui syarikatnya, Global Energy Resources.

Syarikat itu pernah menjadi pembekal utama minyak kepada Petral, anak syarikat Pertamina yang ditutup oleh Presiden Joko Widodo pada 2015 dalam usaha memerangi amalan antipersaingan dalam sektor tenaga.

Walaupun sebelum ini dikaitkan dengan beberapa skandal, termasuk kes import minyak mentah Zatapi pada 2008 yang menyebabkan kerugian 65 bilion rupiah kepada Pertamina, Encik Riza tidak pernah dikenakan tindakan undang-undang.

Beliau juga pernah terbabit dalam skandal ‘Papa Minta Saham’ pada 2015, di mana rakaman perbualannya dengan mantan Speaker Dewan Perwakilan Rakyat, Encik Setya Novanto, membincangkan perjanjian saham PT Freeport Indonesia tersebar.

Namun, tiada siasatan rasmi dijalankan ke atas beliau.

“Kami percaya individu yang didakwa ‘kebal’ tidak boleh dibiarkan begitu sahaja. Kes ini perlu diselesaikan dengan tegas,” kata aktivis antirasuah, Encik Egi Primayogha, dari Pemantau Rasuah Indonesia (ICW).

ICW turut menggesa agar pemerintah membentuk semula pasukan reformasi bagi mengawasi sektor minyak dan gas negara supaya penyelewengan seperti ini dapat dielakkan di masa hadapan.

Kes rasuah ini menjadi cabaran besar kepada komitmen Presiden Prabowo dalam membanteras rasuah.

Pakar ekonomi dari Universiti Gadjah Mada, Encik Fahmi Radhi, menegaskan bahawa hanya dengan campur tangan langsung daripada presiden, rangkaian amalan rasuah dalam industri minyak dan gas boleh dihapuskan.

“Tanpa tindakan tegas daripada Presiden sendiri, usaha menghapuskan jaringan kuat ini adalah mustahil,” katanya dalam satu kenyataan pada 25 Februari.

Encik Fahmi turut menyatakan bahawa rasuah dalam sektor minyak dan gas bukan sahaja merugikan negara, malah menipu pengguna.

“Rakyat membayar harga premium untuk petrol bermutu tinggi, tetapi akhirnya mendapat bahan api yang lebih rendah mutunya.

“Jika tindakan keras tidak diambil, amalan ini akan terus berlaku,” tambahnya. – Agensi berita.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg