Indonesia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Polis Indonesia siasat ancaman terhadap majalah Tempo susulan ugutan pengganasan

Mar 25, 2025 | 12:22 PM
Foto fail pejabat majalah Tempo di Jakarta.
Foto fail pejabat majalah Tempo di Jakarta. - Foto AFP

JAKARTA: Polis Nasional Indonesia telah memulakan siasatan awal terhadap kes ugutan terhadap wartawan majalah berita nasional Tempo, susulan tekanan daripada kumpulan masyarakat sivil yang menggesa agar kebebasan media terus dipertahankan dan keselamatan wartawan dijamin.

Jurucakap Polis Nasional, Brigedier Jeneral Trunoyudo Wisnu Andiko, berkata bahawa pasukan Agensi Siasatan Jenayah Polis Nasional (Bareskrim) dan Polis Jakarta telah menjalankan pemeriksaan tempat kejadian jenayah di ibu pejabat Tempo di Jakarta Selatan pada 23 Mac lalu.

“Polis telah mengambil langkah awal termasuk mengumpulkan maklumat penting dan meneliti rakaman kamera keselamatan di bangunan Tempo,” katanya seperti dilaporkan kompas.com pada 24 Mac.

“Langkah seterusnya adalah memeriksa saksi dan melengkapkan dokumen rasmi bagi proses siasatan lanjut,” ujar beliau.

Pada 19 Mac, Tempo menerima sebungkus kepala khinzir tanpa nama pengirim yang ditujukan kepada wartawan Cik Fransisca “Cica” Christy Rosana, pengacara podcast Bocor Alus Politik — satu program yang mendapat pujian kerana pendedahan kritikal terhadap isu semasa sejak 2023.

Beberapa hari kemudian, sekitar awal pagi 22 Mac, seorang lelaki menaiki motosikal melemparkan kotak berisi enam bangkai tikus tanpa kepala ke kawasan pejabat Tempo.

Menurut Brigedier Jeneral Djuhandhani Rahardjo Puro, Pengarah Jenayah Umum Bareskrim, pasukannya telah menerima dan kini sedang menganalisis rakaman video kejadian.
“Kami akan meneliti rakaman dan fokus mengenal pasti suspek utama, yang masih belum dikenal pasti,” katanya seperti dipetik Antara.

Tempo dikenali sebagai antara penerbitan berita paling berpengaruh di Indonesia, dengan rekod kukuh mempertahankan kebebasan sivil dan laporan penyiasatan yang mendalam. Tempo telah mengkritik proses pindaan Undang-Undang Tentera Nasional Indonesia (TNI) 2004 yang didakwa dibuat secara tertutup dan memberi kuasa lebih besar kepada tentera dalam urusan awam.

Pindaan ini menimbulkan kebimbangan bahawa Indonesia sedang berundur ke era autoritarian, seakan zaman Orde Baru di bawah pemerintahan Suharto, ketika tentera menguasai pelbagai aspek kehidupan awam.

Tempo sendiri pernah diharamkan dua kali ketika era Suharto, termasuk pada tahun 1994, sebelum kembali beroperasi selepas kejatuhan rejim tersebut.

Pada 23 Mac, Pengarah Eksekutif Institut Bantuan Guaman untuk Media  (LBH Pers), Encik Mustafa Layong, mengecam perbuatan tersebut sebagai “tindakan pengganas terhadap kebebasan akhbar” dan menuntut agar polis menunjukkan komitmen dalam melindungi media.

Sementara itu, Cik Beh Lih Yi, penyelaras program Asia untuk Jawatankuasa Melindungi Wartawan (CPJ) berkata:
“Tempo dikenali diperingkat antarabangsa sebagai media yang sangat bebas dan kritikal. Taktik ugutan seperti ini tidak akan berjaya.”

Beliau turut menggesa Presiden Prabowo Subianto untuk mengecam kejadian ini dan menegaskan pendirian pemerintah dalam mempertahankan kebebasan media, lapor The Jakarta Post.

Encik Usman Hamid, Pengarah Eksekutif Amnesti Antarabangsa Indonesia, memberi amaran bahawa sekiranya pihak polis gagal melindungi wartawan, profesion kewartawanan di Indonesia bakal menjadi seperti “hukuman mati secara perlahan.”

Ketua Pejabat Komunikasi Presiden, Encik Hasan Nasbi, pula menegaskan bahawa pemerintah komited kepada kebebasan media dan menafikan wujudnya penapisan media buat masa ini.

Namun, kenyataan terdahulunya yang menyarankan agar kepala khinzir itu “dimasak sahaja oleh Tempo” telah menerima kritikan luas di media sosial kerana dianggap tidak sensitif.
“Tempo telah menjadi sasaran jelas terhadap ugutan pengganasan. Apa yang berlaku bukan sahaja mencemarkan maruah wartawan, tetapi juga menodai prinsip asas demokrasi,” kata Cik Beh..

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg