JAKARTA: Pemerintah Indonesia pada 23 Oktober mempertahankan pendiriannya selepas Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC) mengesyorkan supaya tiada acara sukan antarabangsa diadakan di negara itu berikutan keputusan Jakarta melarang atlet Israel daripada menyertai Kejohanan Gimnastik Dunia 2025.
Menteri Belia dan Sukan, Encik Erick Thohir, berkata keputusan Indonesia dibuat berasaskan Perlembagaan 1945, yang menjadi asas kepada dasar luar negara itu.
“Kami di Kementerian Belia dan Sukan, sebagai wakil pemerintah Indonesia, berpegang kepada prinsip menjaga keselamatan, ketenteraman awam dan kepentingan rakyat dalam setiap acara antarabangsa,” katanya dalam satu kenyataan rasmi.
“Langkah ini sejajar dengan undang-undang yang berkuat kuasa serta Perlembagaan 1945 yang mewajibkan Indonesia membantu memelihara ketertiban dunia.”
Encik Erick menegaskan bahawa pemerintah tidak gentar dengan keputusan IOC dan akan tetap mempertahankan prinsip nasionalnya.
“Pernyataan IOC tidak menggusarkan kami,” katanya.
“Indonesia akan terus berperanan aktif dalam arena sukan di peringkat Asia Tenggara, Asia dan dunia, agar atlet kita dapat menzahirkan keunggulan dan semangat juang bangsa di pentas sejagat.”
Dalam kenyataan yang dikeluarkan pada 22 Oktober, lembaga eksekutif IOC memaklumkan ia menggantung semua perbincangan dengan Indonesia mengenai penganjuran sebarang acara berkaitan Olimpik pada masa depan, termasuk Sukan Olimpik dan Sukan Olimpik Belia.
IOC menjelaskan keputusannya dibuat selepas pegawai Indonesia mengesahkan atlet Israel tidak diberikan visa untuk menyertai kejohanan gimnastik yang bermula pada 19 Oktober di Jakarta.
Menurut IOC, tindakan itu melanggar prinsip asas Olimpik yang menekankan tanpa diskriminasi, autonomi dan kebebasan daripada pengaruh politik.
“Semua atlet, pasukan dan pegawai sukan yang layak mesti dapat menyertai pertandingan antarabangsa tanpa sebarang bentuk diskriminasi oleh negara tuan rumah,” kata kenyataan rasmi IOC.
IOC turut menyatakan bahawa larangan ke atas atlet Israel menafikan hak mereka untuk bertanding secara aman dan melemahkan semangat Olimpik yang bertujuan menyatukan dunia melalui sukan.
Indonesia, sebagai negara Muslim terbesar di dunia, telah lama menjadi penyokong tegar perjuangan rakyat Palestin.
Kehadiran atlet Israel dalam acara sukan sering mencetuskan tentangan kuat daripada pelbagai kumpulan masyarakat dan organisasi keagamaan di dalam negara itu.
Seorang pegawai kanan pemerintah berkata: “Penduduk Indonesia secara umumnya amat sensitif terhadap kehadiran wakil Israel, dan pemerintah perlu mengambil kira kestabilan serta keselamatan awam.”
Susulan tindakan itu, IOC memaklumkan pihaknya akan mengesyorkan kepada semua persekutuan sukan antarabangsa supaya tidak menganjurkan sebarang kejohanan atau mesyuarat rasmi di Indonesia sehingga pemerintah memberikan jaminan bertulis bahawa semua peserta, tanpa mengira kewarganegaraan, dibenarkan masuk ke negara itu.
Bagi mencari jalan penyelesaian, Jawatankuasa Olimpik Indonesia (KOI) telah diundang ke ibu pejabat IOC di Lausanne, Switzerland, bagi mengadakan rundingan lanjut.
Jurucakap IOC berkata: “Kami menantikan dialog berdaya maju dengan pihak KOI untuk mencari penyelesaian yang selaras dengan prinsip Olimpik dan menghormati undang-undang nasional Indonesia.”
Walaupun keputusan IOC menimbulkan kebimbangan dalam kalangan penganjur sukan antarabangsa, Encik Erick tetap menegaskan Indonesia tidak akan bertolak ansur dengan nilai-nilai nasionalnya.
“Sukan seharusnya menjadi cerminan maruah bangsa, bukan medan politik,” kata Encik Erick.
“Kami menghormati peraturan antarabangsa, tetapi kami juga mempunyai tanggungjawab moral dan berteraskan prinsip kenegaraan terhadap rakyat dan dasar luar negara kami.” – Agensi berita.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg