JAKARTA: Beberapa kawasan di ibu kota Jakarta masih dilanda banjir pada pagi Rabu, 9 Julai 2025, selepas hujan lebat berterusan sejak hujung minggu lalu. Menurut pemantauan Badan Pengurusan Bencana Daerah (BPBD) Jakarta pada jam 4:00 pagi, terdapat sembilan Rukun Tetangga (RT) dan dua laluan jalan raya yang masih dinaiki air.
Ketua Pasukan Tugas BPBD Jakarta, Isnawa Adji, berkata banjir tertumpu di Jakarta Barat dan Jakarta Utara. Di Jakarta Barat, tujuh RT dan dua jalan utama masih ditenggelami air, manakala di Kelurahan Kapuk Muara, Jakarta Utara, dua RT turut terjejas.
“Punca banjir ialah hujan berintensiti tinggi, limpahan sungai dan air pasang besar,” jelas Isnawa dalam satu kenyataan pada 9 Julai.
Kesan banjir turut dirasai di seluruh kawasan Jabodetabek — akronim kepada Jakarta, Bogor, Depok, Tangerang dan Bekasi. Menurut Badan Nasional Pengurusan Bencana (BNPB), seramai 9,947 penduduk telah dipindahkan ke pusat perlindungan sementara selepas rumah mereka ditenggelami air.
Laporan agensi berita Xinhua menyatakan bahawa sebanyak 2,348 rumah telah dinaiki air, dengan air mencecah paras lebih 20 sentimeter di beberapa kawasan rendah. Antara kawasan yang terjejas termasuk Pancoran, Jakarta Selatan, di mana penduduk terpaksa membersihkan kediaman mereka yang dipenuhi lumpur tebal selepas air surut.
Seorang penduduk tempatan, Harmoko Hidayat, 58 tahun, berkongsi pengalaman cemas menghadapi banjir yang berlaku secara mendadak pada malam Isnin.
“Air naik melebihi satu meter. Saya memang jangka banjir, tetapi tidak sangka setinggi ini. Banyak barang kami tertimbus dalam lumpur,” katanya ketika ditemui pada 8 Julai.
Harmoko berkata, walaupun kerugian harta benda menyedihkan, yang lebih membebankan adalah usaha membersihkan rumah bersama isterinya.
“Seluruh rumah kami dilitupi lumpur tebal dan melekit. Sangat meletihkan,” tambahnya.
BPBD mengesahkan bahawa banjir yang berlaku pada 7 Julai telah menyebabkan ratusan kawasan perumahan dan beberapa jalan utama tidak dapat dilalui. Seramai 371 penduduk daripada lima wilayah kecil di Jakarta telah dipindahkan ke pusat perlindungan sementara.
Sementara itu, Agensi Meteorologi, Klimatologi dan Geofizik (BMKG) sebelum ini telah mengeluarkan amaran awal mengenai potensi banjir pesisir yang dijangka berlaku antara 4 hingga 13 Julai. Ramalan turut menyatakan hujan akan berterusan dari 7 Julai hingga 9Julai di kawasan metropolitan Jakarta.
“Kami akan terus menyebarkan maklumat terkini kepada masyarakat dan memberi bantuan segera kepada mereka yang terjejas,” kata jurucakap BNPB dalam satu kenyataan ringkas. - Agensi berita
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg