Indonesia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Jentera berat diguna keluarkan mangsa tertimbus di pesantren di Jawa

Oct 3, 2025 | 12:46 PM
Pasukan penyelamat menghadiri taklimat semasa misi menyelamat di Sekolah Agama Islam Al Khoziny, Jawa Timur, pada 2 Oktober. Pasukan penyelamat tidak menemui sebarang tanda mangsa masih hidup pada hari keempat operasi, sementara 59 orang masih hilang berdasarkan senarai sekolah.
Pasukan penyelamat menghadiri taklimat semasa misi menyelamat di Sekolah Agama Islam Al Khoziny, Jawa Timur, pada 2 Oktober. Pasukan penyelamat tidak menemui sebarang tanda mangsa masih hidup pada hari keempat operasi, sementara 59 orang masih hilang berdasarkan senarai sekolah. - Foto EPA

SIDOARJO (Indonesia): Badan Nasional Pengurusan Bencana (BNPB) memutuskan menggunakan jentera berat bagi mengeluarkan mangsa yang masih tertimbus di bawah runtuhan bangunan Sekolah Agama Islam Al Khoziny di Sidoarjo, Jawa Timur, yang roboh pada 29 September.

Keputusan itu diambil selepas perbincangan dengan keluarga mangsa yang menyokong langkah itu sepenuhnya.

“Keputusan ini dibuat setelah semua pihak berbincang dengan keluarga mangsa.

“Mereka bersetuju dan telah menandatangani dokumen persetujuan untuk penggunaan jentera berat,” kata Menteri Penyelaras Pembangunan Manusia dan Kebudayaan, Encik Pratikno, pada malam 2 Oktober.

Menurut beliau, pasukan penyelamat telah memaklumkan kepada keluarga bahawa tiada tanda-tanda mangsa yang masih hidup dikesan di bawah runtuhan ruang solat sekolah berkenaan.

Data BNPB sehingga 2 Oktober petang menunjukkan 108 mangsa berjaya dikeluarkan dari runtuhan sejak kejadian.

Daripada jumlah itu, 73 sudah dibenarkan pulang selepas rawatan, manakala 30 lagi masih dirawat di hospital.

Lima mangsa disahkan meninggal dunia dan 58 pelajar masih belum ditemui.

Sekolah Al Khoziny yang terdiri daripada empat tingkat runtuh ketika ratusan pelajar remaja berusia antara 13 dengan 19 tahun sedang menunaikan solat asar.

Tapak asas bangunan dikatakan tidak mampu menampung kerja pembinaan di tingkat atas yang sedang dijalankan.

Seorang saksi agensi berita, Reuters, melaporkan lebih 10 ambulans berada berhampiran kawasan kejadian pada 3 Oktober, manakala kren besar ditempatkan untuk memindahkan runtuhan.

Pasukan mencari dan menyelamat (SAR) yang menggunakan sensor gerakan dan memanggil nama pelajar tidak menemui sebarang tanda kehidupan selepas menggali terowong ke kawasan yang dipercayai mangsa berada.

“Kami tidak lagi menemui tanda-tanda kehidupan. Oleh itu, operasi kini diteruskan untuk mengambil mayat menggunakan jentera berat,” kata Ketua BNPB, Leftenan Jeneral Suharyanto, dalam kenyataan rasmi.

Encik Suharyanto yang menemani Encik Pratikno ketika bertemu keluarga mangsa berkata, pertemuan itu penting bagi menjelaskan keadaan sebenar di lokasi bencana.

“Keluarga mangsa setuju dan meminta kami meneruskan operasi walaupun terpaksa menggunakan jentera berat. Mereka sudah bersedia menerima sebarang kemungkinan,” katanya.

Beliau menjelaskan keputusan untuk beralih daripada kaedah manual kepada jentera berat dibuat hanya selepas penilaian menyeluruh dan pengesahan tiada mangsa hidup yang dapat diselamatkan.

Sebelum ini, operasi dijalankan secara berhati-hati bagi melindungi keselamatan mangsa yang mungkin masih hidup dan pasukan penyelamat sendiri.

“Pasukan SAR sangat berhati-hati kerana runtuhan tidak stabil,” ujar Encik Suharyanto.

BNPB menggerakkan 219 anggota terlatih, 30 ambulans, lima kren, 300 beg mayat dan 30 lori bagi menyokong operasi tersebut.

“Jika keluarga mangsa menghadapi kesulitan menguruskan pengebumian atau mahu membawa jenazah keluar dari kawasan Sidoarjo, pemerintah bersedia membantu sepenuhnya,” jelas Encik Suharyanto.

Ketua Kawalan Operasi, Badan Nasional Pencarian dan Pertolonga (Basarnas), Encik Emi Freezer, menambah bahawa penggunaan jentera berat hanya dilakukan pada waktu siang bagi menjaga keselamatan petugas.

“Disebabkan keterbatasan cahaya dan demi keselamatan, operasi evakuasi tidak akan dilakukan pada waktu malam,” katanya.

Menurut Encik Emi, penilaian lapangan dibuat tiga kali dari malam 1 Oktober hingga pagi 2 Oktober untuk memastikan sama ada masih ada tanda kehidupan.

“Kami lakukan pemeriksaan pada 11 malam, 2 pagi, dan 7 pagi. Semua menunjukkan tiada lagi mangsa yang hidup,” ujarnya.

Beliau turut menegaskan, kerja mengalihkan serpihan dilakukan secara berperingkat dan akan dinilai semula selepas setiap fasa bagi mengelakkan risiko runtuhan tambahan.

Anggota keluarga yang menunggu di lokasi kejadian dilaporkan tenang namun penuh keperitan, setelah diberitahu peluang untuk menemukan mangsa hidup semakin tipis.

“Kami hanya berharap mereka dapat dikeluarkan secepat mungkin, apa pun keadaannya,” kata seorang bapa mangsa yang enggan namanya disiarkan.

Kejadian itu mengundang perhatian terhadap keselamatan ribuan sekolah agama atau pesantren di Indonesia.

Negara dengan populasi Muslim terbesar di dunia itu memiliki lebih 42,000 pesantren yang menampung sekitar tujuh juta pelajar, menurut data Kementerian Agama.

Siasatan awal mendapati struktur bangunan Al Khoziny tidak stabil ekoran pengubahsuaian tanpa penguatan asas yang mencukupi.

Pihak berkuasa tempatan dijangka menilai semula standard keselamatan bagi mencegah tragedi serupa. – Agensi berita.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg