JAKARTA: Mantan Presiden Indonesia, Encik Joko ‘Jokowi’ Widodo, kini menjadi tumpuan dalam arena politik negara apabila namanya dikaitkan dengan kemungkinan menyertai dan memimpin Parti Solidariti Indonesia (PSI).
Langkah itu dilihat sebagai usaha Encik Jokowi mengekalkan pengaruh politiknya selepas tamat tempoh perkhidmatannya sebagai Presiden.
PSI, yang kini dipimpin oleh anak bongsu Encik Jokowi, Encik Kaesang Pangarep, telah membuka peluang kepada sesiapa sahaja yang berkongsi visi parti untuk bertanding dalam pemilihan Ketua Umum PSI yang akan datang.
Dalam satu kenyataan, Encik Jokowi menyatakan beliau masih mempertimbangkan untuk bertanding jawatan tersebut dan bergurau bahawa beliau “tidak mampu untuk kalah”.
Encik Jokowi mengakui sistem pemilihan “satu anggota, satu undi” yang akan digunakan oleh PSI ialah satu cabaran besar.
“Saya dengar mereka akan gunakan e-undi. Itulah bahagian yang paling sukar.
“Tapi kalau saya mendaftar, mungkin yang lain semua akan tarik diri,” tambah beliau.
Timbalan Ketua PSI, Encik Andy Budiman, berkata sistem itu mencerminkan misi parti untuk menjadi sebuah “parti super terbuka”, apabila semua anggota mempunyai hak mengundi yang sama.
“Ini adalah detik bersejarah dalam politik kita. Ia adalah komitmen untuk menjadi parti moden yang benar-benar mencerminkan semangat generasi ini,” kata Encik Andy.
Sistem itu, yang menggunakan e-undi membolehkan semua anggota parti di seluruh negara mengambil bahagian secara langsung dalam pemilihan kepimpinan.
Ini berbeza dengan amalan biasa parti lain yang memilih pemimpin melalui konsensus dalaman.
Dengan pemilihan Ketua Umum PSI baru yang akan menggunakan sistem “satu anggota, satu undi” – suatu pendekatan yang lebih demokratik – PSI membuka peluang kepada Encik Jokowi untuk mengambil alih kepimpinan parti tersebut.
Pengamat politik dari Universiti Indonesia, Dr Cecep Hidayat, berkata: “Jika Jokowi menyertai PSI, beliau boleh mengukuhkan rangkaian dan kawalan politiknya melalui parti itu.”
Dr Cecep turut menambah bahawa kehadiran sukarelawan dan penyokong setia Encik Jokowi yang masih aktif boleh dimanfaatkan untuk meningkatkan pemilihan PSI, asalkan disokong oleh logistik politik yang mencukupi.
Namun, langkah Encik Jokowi itu juga menimbulkan persoalan mengenai hubungan beliau dengan Parti Demokrasi Indonesia Perjuangan (PDI-P), parti yang pernah membawanya ke tampuk kuasa.
Hubungan antara Encik Jokowi dengan PDI-P mula renggang selepas beliau secara tidak langsung menyokong Encik Prabowo Subianto dalam Pilihan Raya Presiden 2024, yang akhirnya membawa kepada pemecatan beliau dan beberapa anggota keluarganya daripada parti tersebut.
Dalam konteks ini, PSI dilihat sebagai wadah politik baru bagi Encik Jokowi untuk meneruskan pengaruhnya dalam arena politik Indonesia.
Parti yang pada asalnya ditubuhkan sebagai parti progresif untuk golongan muda kini berusaha menyesuaikan naratif politiknya agar selari dengan visi dan kepimpinan Encik Jokowi.
“PSI perlu membina naratif baru yang relevan dengan kedudukan Jokowi. Masyarakat kita cenderung untuk cepat melupakan perkara seperti itu,” ujar Dr Cecep.
Sejak pemecatannya daripada PDI-P, Encik Jokowi dilihat tidak lagi mempunyai landasan politik yang kukuh.
Langkah Encik Jokowi untuk menyertai PSI juga dilihat sebagai strategi mengekalkan pengaruh politiknya dalam era pasca-Presiden.
Dengan anak-anaknya memegang jawatan penting dalam pemerintah dan politik, seperti Encik Gibran Rakabuming Raka sebagai Naib Presiden dan Encik Kaesang sebagai Ketua Umum PSI, Encik Jokowi dilihat sedang membina dinasti politik yang kukuh.
Manakala menantunya, Encik Muhammad Bobby Afif Nasution, ialah Gabenor Sumatera Utara.
Malah beberapa menteri Kabinet masih mempunyai hubungan rapat dengan beliau.
Namun, ini tidak menghapuskan persepsi bahawa Encik Jokowi kini berada dalam kedudukan yang rapuh, terutama apabila sekumpulan jeneral bersara meminta pemecatan Encik Gibran kerana didakwa mewakili kesinambungan pengaruh Encik Jokowi dalam pentadbiran negara.
Namun, itu juga menimbulkan kebimbangan mengenai amalan politik dinasti dan kesannya terhadap demokrasi di Indonesia.
Persaingan terbuka untuk jawatan Ketua Umum PSI kini menjadi perhatian, memandangkan Encik Jokowi dikatakan berpotensi bertanding dalam pemilihan tersebut.
Sebagai seorang pemimpin yang tidak lagi mempunyai parti politik selepas disingkirkan daripada PDI-P, Encik Jokowi dilihat sedang mencari “rumah politik” baru untuk mengekalkan pengaruhnya dalam landskap politik Indonesia.
Encik Andy berkata: “Kami mengalu-alukan sesiapa sahaja yang berkongsi visi kami untuk menjadi sebahagian daripada pemilihan ini, termasuk Pak Jokowi.”
Beliau menegaskan tiada komunikasi rasmi dibuat dengan Encik Jokowi setakat ini, tetapi pintu masih terbuka untuk beliau.
PSI, yang ditubuhkan pada 2014, pada asalnya diangkat sebagai suara progresif untuk generasi muda, berusaha membersihkan sistem politik yang dianggap kotor.
Namun, selepas gagal melepasi ambang minimum dalam Pilihan Raya 2019 dan 2024, PSI memilih pendekatan lebih berani dengan melantik Encik Kaesang sebagai Ketua Umum PSI hanya dua hari selepas menyertai parti itu.
Langkah tersebut jelas mencetuskan kritikan mengenai amalan nepotisme dan kelangsungan idealisme parti itu.
Seorang penganalisis politik, Dr Mahmud Ridwan, dari Universiti Gadjah Mada, berkata:
“Langkah Jokowi untuk bersama PSI ini boleh dilihat sebagai percubaan untuk terus bertapak dalam politik nasional, selepas ruangnya di PDI-P tertutup rapat.”
Beliau menambah: “Tetapi ini juga mendedahkan Jokowi kepada risiko: jika beliau gagal dalam pemilihan Ketua Umum PSI, kredibilitinya boleh terhakis lebih jauh.”
Bagi PSI pula, pelantikan tokoh besar seperti Encik Jokowi dilihat sebagai peluang untuk meningkatkan pengaruh dan akhirnya meraih kerusi di Dewan Perwakilan Rakyat (DPR).
“PSI memang tidak pernah mendapat kerusi, tetapi dengan nama besar Jokowi, ia mungkin menjadi batu loncatan,” ujar Dr Mahmud.
Namun begitu, beberapa pihak melihat bahawa ia hanyalah kesinambungan daripada kekuasaan keluarga Encik Jokowi dalam politik Indonesia.
“Ini bukan sekadar soal kepimpinan parti. Ini soal bagaimana sebuah parti kecil cuba bertahan dengan meminjam aura politik mantan Presiden,” kata penganalisis politik bebas, Dr Aisyah Rahim.
Sementara peluang Encik Jokowi bersama Parti Golkar masih samar-samar, hubungannya dengan PDI-P semakin keruh.
Presiden PDI-P, Cik Megawati Sukarnoputri, belum menunjukkan sebarang tanda mahu berdamai sejak memecat Encik Jokowi dan anggota keluarganya daripada parti itu.
Seorang anggota PDI-P berkata: “Walaupun hampir mustahil untuk menyingkirkan Megawati, Jokowi mungkin cuba menekan supaya setiausaha agung yang lebih mesra dilantik bagi menggantikan Hasto (Kristiyanto).”
“Megawati risau Jokowi akan ambil alih PDI-P,” kata seorang anggota gabungan pemerintah, “tetapi Prabowo memberi jaminan akan menyokong Megawati”.
Walaupun Encik Jokowi belum mendaftarkan pencalonannya, kenyataannya di Solo menunjukkan minat yang serius.
“Saya masih mengira-ngira… bayangkan kalau saya bertanding, tapi kalah,” katanya kepada wartawan yang mencerminkan kepekaan Encik Jokowi terhadap risiko reputasi.
Di pihak lain, PSI sendiri telah menutup pendaftaran pada hujung Mei sebelum mengumumkan senarai calon pada 18 Jun.
Tempoh berkempen akan berlangsung dari 19 Jun hingga 11 Julai, diikuti pengundian dalam talian pada 12 hingga 19 Julai.
Dr Aisyah menyatakan bahawa walaupun peluang Encik Jokowi untuk memimpin PSI kelihatan cerah, kejayaannya bergantung pada bagaimana beliau mampu meyakinkan anggota PSI bahawa kehadirannya adalah untuk memperkukuh parti, bukan sekadar meneruskan pengaruh peribadi.
“Kalau Jokowi benar-benar serius, ini boleh menjadi peluang untuk memperkukuhkan semula legasi politiknya.
“Tapi kalau sekadar simbolik, ia akan melemahkan lagi imejnya,” ujar beliau.
Langkah Encik Jokowi untuk menyertai PSI memperlihatkan betapa politik Indonesia masih dibelenggu oleh kepentingan individu dan pengaruh keluarga.
Seperti kata Dr Mahmud Ridwan: “Pertarungan ini bukan hanya soal siapa yang akan memimpin PSI, malah tentang siapa yang benar-benar memegang kuasa politik Indonesia pada masa depan.” – Agensi berita.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg