Indonesia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Kajian NTU dapati langkah basmi hutan punca Aceh bergelut dengan banjir 

Jan 5, 2026 | 12:55 PM
Kajian NTU, Aceh, banjir, pembasmian hutan
Banjir monsun dahsyat melanda Aceh dan beberapa kawasan di Sumatera pada November 2025, mengorbankan lebih 1,000 nyawa. - Foto AFP

Meskipun pembersihan tanah bagi kegiatan perladangan di Indonesia sering dipersalahkan sebagai punca jerebu, peranan penebangan hutan dalam memburukkan kesan banjir kurang diberi perhatian.

Keadaan itu berubah menyusuli banjir monsun dahsyat pada November 2025, yang diburukkan lagi oleh puting beliung yang jarang berlaku.

Banjir itu telah melanda Aceh dan beberapa kawasan di Sumatera serta mengorbankan lebih 1,000 nyawa.

Pengkaji alam sekitar menganggap penebangan hutan menjadi penyumbang utama kepada kerosakan akibat banjir yang semakin teruk.

Dakwaan itu disokong oleh satu kertas penyelidikan pada 2024 yang meneliti sejarah kejadian banjir di wilayah paling barat Indonesia itu, lapor The Straits Times (ST).

Kajian yang diketuai para penyelidik daripada Sekolah Alam Sekitar Asia (ASE), Universiti Teknologi Nanyang (NTU), mendapati kawasan yang terdedah kepada banjir di Aceh lazimnya mempunyai kurang pokok dan lebih banyak ladang kelapa sawit, serta kadar kemiskinan lebih tinggi.

Dengan memetik data daripada laporan berita dalam talian, para penyelidik mendapati lebih 2,000 kejadian banjir telah direkodkan di Aceh antara 2011 dengan 2018.

Secara keseluruhan, bilangan kejadian banjir meningkat setiap tahun, mengakibatkan sekitar 158,000 penduduk terpaksa berpindah, serta merosakkan lebih 24,500 rumah dan 11,500 hektar tanah pertanian.

Kesan banjir 2025, sebahagian besarnya, mencerminkan corak yang dikenal pasti dalam kajian 2024 itu, kata penulis utama kajian yang diterbitkan dalam jurnal saintifik, PLOS One, Dr Muhammad Irfansyah Lubis.

Kajian itu dijalankan oleh Dr Irfansyah dan Profesor Madya Janice Ser Huay Lee – kedua-duanya mempunyai pertalian dengan NTU ASE, serta Balai Cerap Bumi Singapura (EOS) – bersama seorang penyelidik daripada Persatuan Pemuliharaan Hidupan Liar (WCS), Dr Matthew Linkie.

Menurut kajian itu, banjir didapati paling teruk menjejas kawasan yang memang sudah rosak ekoran pembasmian hutan dan pengembangan ladang, khususnya kelapa sawit.

Beberapa daerah yang terjejas teruk, termasuk Aceh Singkil, juga mempunyai kadar kemiskinan yang kekal tinggi, tambah Dr Irfansyah, yang kini bertugas di Agensi Penyelidikan dan Inovasi Nasional (Brin) Indonesia.

Aceh, yang merupakan sebahagian ekosistem hutan Leuser, memiliki kawasan hutan terbesar di Pulau Sumatera.

Namun ia terancam oleh pembangunan, pembalakan haram dan penggunaan tanah bagi pertanian.

Pada 1971, hutan merangkumi 75 peratus dari wilayah itu.

Namun, antara 1990 dengan 2000, lebih 30,900 hektar hutan dibersihkan setiap tahun.

Sebagai contoh, kawasan hutan luas di Aceh Singkil telah digantikan dengan perladangan kelapa sawit, dan tanah itu kini semakin terancam oleh banjir yang kerap berlaku semasa musim hujan, tambah kertas penyelidikan itu.

Tanah di ladang kelapa sawit lazimnya lebih padat, justeru kurang mampu meresap air banjir. 

Keadaan itu seterusnya meningkatkan hakisan tanah dan aliran air hujan di atas permukaan tanah.

“Kajian kami menekankan kaitan penting antara pemeliharaan hutan dengan pencegahan banjir, serta peranan utama hutan dalam memastikan kesejahteraan masyarakat tempatan, khususnya mereka yang terjejas oleh kemiskinan,” lapor kertas penyelidikan itu.

Meskipun kepentingan hutan dalam mengurangkan kesan banjir jelas, bukti saintifik itu kurang memberi kesan terhadap perubahan dasar pengurusan banjir.

Salah satu sebabnya adalah, di lapangan, sukar untuk mengaitkan kejadian banjir secara langsung dengan pembasmian hutan, kata Dr Irfansyah.

Terdapat faktor lain yang turut memainkan peranan, termasuk rupa bumi, iklim, penggunaan tanah dan kepadatan penduduk.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg