Kanak-kanak Indonesia maut dilanggar kereta di S’pura dikebumi di Jakarta
Kanak-kanak Indonesia maut dilanggar kereta di S’pura dikebumi di Jakarta
Polis S’pura masih siasat; ibu turut alami kecederaan serius kemalangan berlaku di kawasan Chinatown
JAKARTA: Kanak-kanak perempuan warga Indonesia berusia enam tahun yang maut selepas dilanggar sebuah kereta di kawasan Chinatown, Singapura, pada 6 Februari, telah selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Umum (TPU) Tanah Kusir, Jakarta Selatan, pada 8 Februari.
Ini ketika pihak berkuasa Singapura meneruskan siasatan terhadap kemalangan maut tersebut.
Mangsa, Allahyarhamha Sheyna Lashira Smaradiani, disemadikan sekitar tengah hari selepas jenazahnya dibawa pulang dari Singapura pada pagi yang sama.
Suasana pilu menyelubungi kawasan perkuburan apabila puluhan anggota keluarga, saudara-mara serta rakan ibu bapa mangsa hadir mengiringi pemergian kanak-kanak itu buat kali terakhir.
Jenazah tiba di TPU Tanah Kusir kira-kira 11.20 pagi waktu tempatan.
Anggota keluarga dilihat membawa keranda sambil memegang gambar Sheyna sebelum upacara pengebumian dijalankan dengan bacaan doa dan taburan bunga di pusara, lapor Kumparan.com.
Bapa mangsa, Encik Ashar Ardianto, kelihatan tidak dapat menahan kesedihan ketika keranda diturunkan ke liang lahad.
Anggota keluarga lain mengelilinginya, memberi sokongan dalam suasana penuh pilu.
Selepas upacara selesai, Encik Ashar dilihat masih berdiri di sisi pusara, meletakkan bunga sambil merenung batu nisan anaknya.
Di kawasan rumah Allahyarhamha, karangan bunga daripada keluarga dan sahabat handai memenuhi pekarangan sebagai tanda simpati atas pemergian Sheyna yang disifatkan ramai sebagai begitu mengejutkan.
Ibu saudara Allahyarhamha yang dikenali sebagai Cik Rara menyifatkan Sheyna sebagai seorang kanak-kanak yang sentiasa membawa keceriaan kepada orang di sekelilingnya.
“Kalau Sheyna, dia memang anak yang baik dan sangat periang, sentiasa menggembirakan orang. Sesiapa yang melihatnya pasti rasa senang,” katanya ketika ditemui di TPU Tanah Kusir.
“Keperibadiannya yang ceria membuatkan ramai rasa kehilangan. Alhamdulillah, sokongan yang diterima keluarga sangat besar, bukan sahaja di sini, malah di Singapura juga,” ujarnya.
Cik Rara turut memaklumkan Allahyarhamha Sheyna masih bersekolah di peringkat tadika.
Kemalangan maut itu berlaku pada pagi Jumaat, 6 Februari, di South Bridge Road, berhampiran Kuil Buddha Tooth Relic, kata Pasukan Polis Singapura (SPF).
Menurut polis, pihaknya menerima panggilan kecemasan sekitar 11.50 pagi melibatkan sebuah kereta dan dua pejalan kaki – seorang wanita berusia 31 tahun dan anak perempuannya yang berusia enam tahun.
Kedua-dua mangsa dibawa ke Hospital Besar Singapura dalam keadaan sedar, kata Pasukan Pertahanan Awam Singapura (SCDF).
Namun, kanak-kanak tersebut kemudian disahkan meninggal dunia akibat cedera parah, manakala ibunya mengalami kecederaan serius.
Laporan Lianhe Zaobao menyatakan ibu dan anak itu merupakan pelancong dari Indonesia.
Kejadian dilaporkan berlaku berhampiran sebuah tempat letak kereta bersebelahan kuil berkenaan yang merupakan lokasi tumpuan pelancong.
Rakaman dan keterangan saksi kejadian kemudian tersebar di media sosial.
Seorang saksi yang dipetik oleh The Straits Times mendakwa kenderaan tersebut keluar dari tempat letak kereta sambil membelok dan didakwa tidak memeriksa kehadiran pejalan kaki di sebelah kanan, sebelum dikatakan memecut secara tiba-tiba.
Polis setakat ini belum memberikan sebarang kenyataan mengenai dakwaan saksi yang tular di media sosial, dan memaklumkan siasatan masih diteruskan.
Seorang lagi saksi, Nguyen Thi Hanh, mendakwa dalam satu hantaran Facebook beliau berjalan di belakang keluarga mangsa ketika kejadian berlaku.
Menurutnya, kenderaan itu keluar dari tempat letak kereta di sisi kuil dan gagal memberi perhatian kepada pejalan kaki.
Beliau mendakwa tayar hadapan kenderaan melanggar kanak-kanak tersebut, diikuti kaki ibunya, sebelum kenderaan terus bergerak dan tayar belakang pula melanggar badan ibu mangsa.
Keadaan selepas kejadian disifatkannya sebagai sangat menyayat hati, dengan kanak-kanak itu dilihat berdarah.
Seorang lagi orang awam, Hannah Dang, berkata bapa mangsa tiba tidak lama kemudian dan memeluk anaknya sambil meminta pertolongan.
Rakaman video yang tular turut menunjukkan orang ramai menggunakan payung untuk melindungi mangsa sementara bantuan tiba.
Polis Singapura memaklumkan seorang wanita berusia 38 tahun telah ditahan pada 6 Februari kerana disyaki memandu tanpa pertimbangan wajar sehingga menyebabkan kematian.
Dalam kemas kini pada 8 Februari, polis berkata siasatan masih diteruskan dan tidak mengulas lanjut mengenai butiran pemandu atau dakwaan saksi.
Kementerian Luar Indonesia mengesahkan bahawa Kedutaan Besar Republik Indonesia (KBRI) di Singapura telah memberikan bantuan penuh kepada keluarga mangsa sejak kejadian berlaku.
“KBRI Singapura telah menghubungi keluarga mangsa, bertemu bapa mangsa dan melawat hospital bagi memberikan sokongan yang diperlukan,” kata Cik Heni Hamidah, pemangku pengarah perlindungan warganegara Indonesia, kepada Antara.
Beliau mengesahkan jenazah kanak-kanak itu diterbangkan pulang ke Indonesia pada 6.50 pagi 8 Februari untuk dikebumikan di Jakarta.
“KBRI Singapura akan terus berkoordinasi rapat dengan pihak berkuasa tempatan dan keluarga bagi memantau perkembangan siasatan serta memberikan bantuan yang diperlukan,” katanya.
Ibu mangsa, Cik Raisha Anindra Pascasiswi, 31 tahun, dilaporkan masih dirawat di SGH dan ditempatkan di Unit Kebergantungan Tinggi (HDU).
Menurut pegawai konsular, Encik Maradona A. Runtukahu, beliau belum disahkan cergas untuk pulang ke Indonesia.
“Doktor belum membenarkan beliau untuk terbang,” katanya.
Anggota keluarga memaklumkan keadaan Cik Raisha stabil, namun beliau mengalami pendarahan dalaman serta patah tulang rusuk dan pinggul. – Agensi berita.

