Topik diikuti
Pergi ke BHkuKapal induk ‘KRI Sriwijaya’ buka era baharu kuasa maritim Indonesia
Kapal induk ‘KRI Sriwijaya’ buka era baharu kuasa maritim Indonesia
JAKARTA: Ketibaan bekas kapal induk ringan tentera laut Italy, ITS Giuseppe Garibaldi, di Pelabuhan Tanjung Priok pada 18 September bukan sekadar menambah sebuah kapal perang besar kepada armada Indonesia.
Ia menandakan percubaan lebih luas Jakarta untuk mengubah cara Tentera Nasional Indonesia Angkatan Laut (TNI AL) beroperasi – daripada sebuah angkatan laut yang sebahagian besarnya tertumpu melindungi perairan kepulauan kepada pasukan yang mampu beroperasi lebih jauh dan lebih lama di lautan terbuka.
Kapal berusia lebih empat dekad itu diserahkan secara rasmi kepada Indonesia pada 24 September dan dinamakan KRI Sriwijaya, sekali gus menjadi kapal induk pertama TNI AL.
Indonesia juga bakal menjadi negara kedua di Asia Tenggara selepas Thailand yang mengendalikan kapal sedemikian.
KRI Sriwijaya dijangka dapat menjadi pemangkin kepada pembangunan keupayaan angkatan laut lepas atau blue-water navy Indonesia menjelang 2045, sekali gus memperkukuh kemampuan TNI AL melaksanakan operasi secara berterusan di kawasan yang lebih jauh.
Konsep blue-water navy merujuk kepada angkatan laut yang bukan sekadar mampu mempertahankan perairan pesisir, bahkan mengekalkan operasi dalam tempoh panjang di lautan terbuka.
Ini memerlukan lebih daripada sebuah kapal induk.
Berbeza dengan kapal induk Amerika Syarikat atau China yang dibina khusus untuk membawa pesawat tempur dan memancarkan kuasa ketenteraan jauh dari tanah air, Indonesia memberikan KRI Sriwijaya fungsi yang lebih luas.
Ketua Staf TNI AL, Laksamana Muhammad Ali, berkata kapal itu akan digunakan secara khusus bagi operasi ketenteraan selain perang, termasuk bantuan kemanusiaan dan operasi menangani bencana.
Presiden Prabowo Subianto pula mahu kapal itu diubah suai untuk membawa helikopter dan dron, termasuk bagi operasi memadam kebakaran hutan.
“Kita akan ubah suai, kita jadikan kapal pembawa helikopter dan juga dron,” kata Encik Prabowo ketika mesyuarat pengurusan bencana pada 7 September.
Menurut beliau, kapal itu boleh menempatkan kira-kira 10 helikopter kelas sederhana yang boleh digunakan lebih dekat dengan kawasan titik panas untuk operasi pengeboman air.
Pendekatan itu mempunyai rasional tersendiri bagi negara kepulauan seperti Indonesia.
Gempa bumi, letusan gunung berapi, banjir serta kebakaran hutan dan tanah sering berlaku jauh dari pusat logistik utama.
Sebuah kapal besar dengan geladak penerbangan boleh bertindak sebagai pangkalan udara bergerak untuk membawa helikopter, dron, kakitangan dan bekalan ke kawasan bencana.
Kementerian Pertahanan Indonesia berkata keadaan kapal masih sesuai dioptimumkan bagi operasi sedemikian, termasuk pengagihan bantuan ke kawasan terpencil.
Nilai strategik KRI Sriwijaya, bagaimanapun, mungkin terletak pada sesuatu yang lebih besar daripada fungsi bantuan bencana.
Kapal itu berpotensi menjadi ‘makmal’ operasi bagi TNI AL untuk mempelajari bagaimana sebuah kumpulan armada besar beroperasi jauh dari pangkalan sendiri.
Indonesia perlu menggabungkan kapal pengiring, kapal selam, kapal tangki bekalan, kapal hospital, pesawat rondaan dan sistem logistik ke dalam satu pasukan petugas yang mampu bergerak serta beroperasi secara bersepadu.
KRI Sriwijaya boleh menjadi pusat proses pembelajaran itu.
Semasa memasuki perairan Indonesia, kapal itu diiringi antara lain oleh dua frigat baharu, KRI Brawijaya-320 dan KRI Prabu Siliwangi-321; selain disokong pesawat, CN-235 dan NC-212; serta helikopter, AS565 MBe Panther.
Latihan sedemikian penting kerana operasi kapal induk bukan hanya mengenai kapal itu sendiri.
Ia memerlukan juruterbang yang terlatih mendarat di atas kapal bergerak, sistem kawalan udara, perlindungan kapal pengiring, bekalan bahan api serta penyelenggaraan yang boleh dilakukan secara berterusan.
TNI AL sudah menghantar 100 anggota ke Italy untuk menjalani latihan sebelum kapal itu belayar ke Indonesia.
Laporan terkini menyatakan sekitar 400 anggota telah disediakan untuk mengendalikan KRI Sriwijaya.
Memiliki kapal induk, bagaimanapun, tidak sama dengan mempunyai keupayaan kapal induk.
Inilah perbezaan penting dari sudut doktrin ketenteraan.
Kapal yang dilancarkan pada 1983 itu sudah berusia lebih 40 tahun dan telah dilucutkan daripada perkhidmatan tentera laut Italy pada 2024.
Sistem persenjataan tertentu juga perlu dipasang semula, sementara radar, penderia, sistem kemudi dan sistem pengurusan tempurnya mungkin memerlukan pemodenan.
TNI AL berkata perkara berkaitan sistem itu masih perlu dikaji dan keputusan akhirnya akan dibuat di peringkat Kementerian Pertahanan.
Indonesia juga perlu menentukan pesawat yang benar-benar boleh beroperasi dari kapal tersebut.
Pemerintah telah membeli dron buatan Turkey termasuk Bayraktar TB3, manakala terdapat rancangan mendapatkan helikopter sederhana, AW149 daripada syarikat berbilang negara Italy yang pakar dalam bidang aeroangkasa, pertahanan, dan keselamatan, Leonardo.
Ia boleh meluaskan lagi pilihan operasi pada masa depan.
Namun, menggabungkan kapal, helikopter, dron, sistem komunikasi dan kapal pengiring menjadi satu rangkaian operasi memerlukan latihan bertahun-tahun.
Penganalisis turut mengingatkan Giuseppe Garibaldi tidak mempunyai well deck – ruang dalaman yang membolehkan kapal pendarat kecil keluar masuk membawa kenderaan dan bantuan.
Pensyarah hubungan antarabangsa Universiti Binus, Encik Tangguh Chairil, berkata Indonesia perlu menentukan terlebih dahulu helikopter manakah yang sesuai bagi operasi pengeboman air dan sama ada pesawat itu boleh beroperasi dari kapal induk.
Ini bermakna fungsi bantuan bencana yang sering diketengahkan pemerintah masih memerlukan ekosistem sokongan khusus.
Cabaran paling besar mungkin bukan teknologi, tetapi kewangan.
Kementerian Kewangan Indonesia dilaporkan meluluskan pembiayaan AS$450 juta ($578 juta) bagi program kapal induk pada 2025, sedangkan anggota Suruhanjaya I Dewan Perwakilan Rakyat (DPR), Encik TB Hasanuddin, menganggarkan kos pengubahsuaian boleh mencecah 16 trilion rupiah ($1.23 bilion).
Kos sebenar juga tidak berakhir selepas pengubahsuaian.
Sebuah kapal induk memerlukan ratusan anggota, bahan api, penyelenggaraan, helikopter atau dron, peluru, kemudahan pelabuhan serta kapal pengiring.
Penganalisis Pusat Kajian Strategik dan Antarabangsa (CSIS), Encik Muhammad Fauzan Malufti, mengingatkan bahawa keputusan itu perlu berdasarkan keperluan operasi sebenar dan kemampuan Indonesia mengendalikan kapal berkenaan.
“Rancangan ini perlu dilaksanakan secara terancang dengan memastikan Indonesia mempunyai kemampuan kewangan, tenaga kerja dan sokongan operasi yang mencukupi.
“Dengan persediaan yang tepat, manfaat strategik kapal itu dapat dimaksimumkan dalam jangka panjang,” katanya.
Pengalaman Thailand menjadi perbandingan yang relevan.
HTMS Chakri Naruebet ialah kapal pemerintah Tentera Laut Diraja Thailand yang telah beroperasi sejak 1997, tetapi kekangan kewangan dan operasi mengehadkan penggunaan kapal itu sepanjang sebahagian besar hayat perkhidmatannya.
Atas sebab itu, kepentingan KRI Sriwijaya tidak harus diukur berdasarkan saiz kapal atau status Indonesia sebagai negara kedua Asia Tenggara memiliki kapal induk.
Ukuran yang lebih bermakna adalah sama ada Jakarta mampu membina doktrin, tenaga manusia, aset udara, kapal pengiring dan rangkaian logistik yang membolehkan kapal itu digunakan secara tekal.
Jika digunakan terutama bagi operasi kemanusiaan pada peringkat awal, Indonesia boleh memperoleh pengalaman mengendalikan operasi penerbangan dari laut sambil membangunkan secara bertahap-tahap keupayaan angkatan laut lepas.
Kapal itu kemudian boleh digunakan untuk pemindahan rakyat Indonesia dari zon konflik, operasi bantuan bencana, misi pengaman antarabangsa serta kehadiran maritim di Lautan Hindi dan Pasifik.
Dalam konteks itu, KRI Sriwijaya bukan semata-mata kapal induk.
KRI Sriwijaya berpotensi menjadi pemangkin kepada usaha Indonesia menterjemahkan cita-cita maritimnya kepada keupayaan yang lebih kukuh dan mampan.
Ketibaan kapal itu membuka lembaran baharu bagi TNI AL, bukan sahaja melalui operasi kapal induk pertama negara itu, malah dalam membangunkan kepakaran, doktrin, latihan dan sistem sokongan yang diperlukan bagi operasi jarak jauh.
Dengan pembangunan keupayaan secara berperingkat, KRI Sriwijaya boleh menjadi asas penting kepada aspirasi Indonesia membentuk angkatan laut lepas yang lebih moden menjelang 2045. – Agensi berita.