JAKARTA: Kapal terbang pengangkut berat Airbus A400M pertama milik Tentera Udara Diraja Indonesia (TNI AU) selamat mendarat di Pangkalan Udara Halim Perdanakusuma, Jakarta Timur, pada pagi 3 November menandakan satu lagi langkah besar dalam usaha pemodenan ketenteraan negara itu.
Pesawat dengan nombor ekor A-4001 dan tanda panggilan RAJA 401 tiba pada jam 7.35 pagi, tiga minit lewat daripada jadual asal. Pesawat itu berlepas dari Seville, Sepanyol, pada 1 November lalu, berhenti semalaman di Dubai, Amiriah Arab Bersatu, sebelum meneruskan perjalanan ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kualanamu, Deli Serdang, Sumatera Utara, pada 2 November.
Ketua Staf TNI AU, Marsyal Udara Tonny M. Harjono, menyambut ketibaan pesawat bersama empat juruterbang Indonesia dan empat juruterbang Airbus. “Hari ini bukan sekadar ketibaan sebuah pesawat, tetapi simbol kebanggaan dan kemajuan pertahanan udara Indonesia,” kata Marsyal Udara Tonny kepada media selepas majlis ketibaan.
Pesawat itu bakal diserahkan secara rasmi kepada TNI AU oleh Menteri Pertahanan, Encik Sjafrie Sjamsoeddin, dengan Presiden Prabowo Subianto dijangka turut hadir menyaksikan upacara penyerahan.
Empat juruterbang utama pesawat ini — Leftenan Kolonel Putut Satriya; Mejar Riki Sihaloho; Mejar Fathir M. Hadid dan Kapten Indra Kusuma N. telah menamatkan latihan penerbangan khas di Pusat Latihan Antarabangsa Airbus (ITC) di Seville.
Selain itu, dua loadmaster atau pegawai pengurusan muatan pesawat dan 12 juruteknik turut dihantar untuk menerima latihan operasi dan penyelenggaraan pesawat A400M, memastikan kemampuan penuh TNI AU dalam mengendalikan teknologi canggih tersebut.
“Kami bangga dengan pasukan juruterbang dan juruteknik muda yang kini mampu mengoperasikan salah satu pesawat pengangkut paling canggih di dunia,” ujar Marsyal Udara Tonny.
Pesawat A400M ini bukan sahaja direka untuk operasi ketenteraan, tetapi juga boleh digunakan dalam misi bantuan kemanusiaan. Airbus menjelaskan bahawa A400M mampu membawa muatan berat seperti trak bahan api, jentolak, bekalan makanan dan ubat-ubatan, serta mendarat di landasan pendek atau rosak - ciri penting untuk negara kepulauan seperti Indonesia.
Presiden Prabowo menegaskan bahawa pesawat itu akan memperkukuh keupayaan Indonesia membantu negara lain yang terjejas akibat bencana. “Sebagai sebahagian daripada komuniti global, kita mesti membantu negara-negara lain yang sedang melalui masa sukar. Pesawat ini akan memainkan peranan besar dalam misi kemanusiaan, termasuk di Gaza,” katanya ketika meninjau pesawat di Jakarta.
Dalam kenyataan kepada media, Encik Prabowo turut mengumumkan bahawa pemerintah berhasrat untuk berunding bagi pembelian empat lagi unit A400M bagi memperkukuh keupayaan logistik TNI AU.
“Kami mungkin akan berunding tidak lama lagi untuk menandatangani pembelian empat lagi unit,” kata Encik Prabowo tanpa menjelaskan tempoh rundingan tersebut.
Kontrak asal pembelian dua pesawat A400M ditandatangani pada 2021, ketika beliau masih menyandang jawatan Menteri Pertahanan. Pesawat kedua dijangka tiba pada awal 2026, menurut kenyataan Airbus.
Sejak Encik Prabowo mengambil alih portfolio pertahanan pada 2019 dan kini sebagai presiden, pemerintah Indonesia telah mempergiatkan pelbagai perolehan ketenteraan besar termasuk jet pejuang baru dan kapal selam sebagai sebahagian daripada agenda pemodenan sistem pertahanan nasional.
Selain memperkukuh aset ketenteraan, Encik Prabowo juga memperluas peranan TNI dalam bidang awam seperti pertanian, kesihatan, dan pelaksanaan program makanan percuma nasional.
Ketibaan pesawat A400M ini dilihat oleh penganalisis menandakan permulaan era baru bagi TNI AU, sebuah simbol teknologi, ketahanan, dan cita-cita Indonesia untuk muncul sebagai kuasa udara utama di rantau Asia Tenggara. - Agensi berita


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg