Indonesia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Ribuan mangsa di Sumatera hadapi kematian akibat kurang air bersih, rawatan perubatan

Dec 10, 2025 | 2:04 PM
Sumatera, banjir, menimpa
Penduduk menyeberangi sungai menggunakan jambatan baru yang dibina semula bagi menghubungkan Aceh dan Sumatera Utara selepas jambatan asal musnah akibat banjir kilat di Sungai Peusangan, daerah Bireuen, Aceh, pada 9 Disember 2025. - Foto AFP

SUMATERA: Ketiadaan air bersih, kekurangan rawatan perubatan dan keadaan pusat pemindahan yang sesak menyebabkan ribuan mangsa banjir dan tanah runtuh di utara Sumatera jatuh sakit, malah ada yang meninggal dunia sebelum sempat menerima bantuan.

Dua minggu selepas bencana banjir besar melanda Aceh, Sumatera Utara dan Sumatera Barat, keadaan semakin kritikal dengan 964 kematian disahkan, sekurang-kurangnya 262 masih hilang, lebih 5,000 cedera, lebih 152,000 rumah musnah dan hampir 1,200 kemudahan awam rosak di 52 wilayah.

Jumlah pelarian kini mencecah 800,000 orang, manakala bantuan makanan, ubat dan air bersih masih sukar disalurkan akibat jambatan runtuh, jalan terputus serta infrastruktur yang musnah.

Walaupun penghantaran bantuan melalui udara diteruskan, ribuan penduduk kekal terperangkap tanpa sebarang akses darat.

Agensi Pengurusan Bencana Negara (BNPB) melaporkan lebih 500 kampung di Bener Meriah dan Aceh Utara masih terasing sepenuhnya, selain dua wilayah di Sumatera Utara dan Sumatera Barat yang turut tidak dapat dihubungi.

Jurucakap BNPB, Encik Abdul Muhari, berkata pembaikan jalan nasional yang rosak sedang dipercepatkan.

“Akses darat amat penting untuk meningkatkan penghantaran bantuan ke kawasan terjejas,” katanya sambil menjelaskan bahawa di Sumatera Barat, sebaik sahaja jalan dibuka, 17 lori membawa 27 tan bantuan dapat memasuki kawasan dengan cepat.

Di pusat pemindahan, situasi semakin meruncing. Di Kuala Simpang, Aceh Tamiang, ambulans berulang-alik membawa pelarian sakit ke Langsa selepas hospital daerah dinaiki air dan tidak boleh beroperasi.

“Hampir setiap hari ada pelarian dibawa ke Langsa. Kebanyakan mengalami cirit-birit, demam dan ruam kulit,” kata seorang penduduk, Encik Fajri Akbar.

Beliau menambah bahawa banyak kampung pedalaman kekal terputus hubungan dan tidak dapat menerima rawatan. “Adik kawan saya meninggal tiga hari lalu di pusat pemindahan kerana sakit dan tidak sempat dibawa ke hospital,” katanya.

Pemangku Ketua Jabatan Kesihatan Aceh, Encik Ferdiyus, berkata 18 wilayah terpencil sangat memerlukan perkhidmatan kesihatan asas, namun tujuh pusat kesihatan (Puskesmas) kini lumpuh.

“Perkara paling membimbangkan ialah ketiadaan air bersih, yang menjejas kesihatan pelarian,” katanya.

Penyakit kulit dan jangkitan saluran pernafasan akut (ISPA) meningkat mendadak, manakala peralatan perubatan tidak dapat dibawa masuk kerana jalan masih terhalang.

Pada minggu lalu, seorang penduduk di pusat pemindahan Cik Aisyah, meninggal dunia selepas lebih seminggu tidak mendapat rawatan untuk kencing manis, lapor Reuters.

Di Sumatera Utara, pejabat kesihatan mencatat 6,433 kes penyakit kulit, 5,151 kes ISPA, 1,065 kes cirit-birit, 755 kes influenza, 7 kes denggi, serta 534 kes disyaki tifoid.

Seorang seorang penduduk di pusat pemindahan di Adiankoting, Encik Fitri, berkata anaknya sudah tiga hari mengalami cirit-birit teruk.

“Anak saya sampai sawan, matanya berpusing. Tak pernah sakit seteruk ini. Mungkin bakteria, lumpur, banjir… semua sekali,” katanya.

Di Tapanuli Tengah, penduduk merayu bantuan makanan bayi. “Makanan bayi langsung tak ada,” kata seorang penduduk, Juliandika, seperti dilaporkan Kompas.com.

Gabenor Sumatera Utara, Encik Bobby Nasution, berkata 13 kecamatan (daerah) masih tidak dapat diakses.

“Kami akan berusaha sebaik mungkin mempercepatkan pengurusan bencana, termasuk membaiki semua kerosakan akibat banjir dan tanah runtuh,” katanya selepas mesyuarat maya dengan Presiden Prabowo Subianto.

Bagi menangani krisis kesihatan ini, Kementerian Kesihatan telah mula menghantar pasukan perubatan termasuk doktor pelatih ke kawasan terjejas.

Sekitar 300 doktor tentera dan polis turut dikerahkan bagi menyokong operasi sementara ramai petugas kesihatan tempatan turut menjadi mangsa bencana.

Seorang pegawai kementerian berkata langkah ini penting kerana “ramai pelarian kini berada dalam keadaan sangat lemah dan risiko penyakit berjangkit semakin meningkat.”
Dengan hujan masih turun dan banyak kawasan belum diselamatkan sepenuhnya, pihak berkuasa memberi amaran bahawa angka korban dan jumlah pesakit mungkin terus meningkat sekiranya akses bantuan tidak dapat dipulihkan segera. - Agensi berita

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg