MAKKAH: Kementerian Agama Indonesia tampil memohon maaf kepada jemaah haji selepas insiden yang menyaksikan ratusan jemaah terpaksa berjalan kaki sejauh empat kilometer dari Muzdalifah ke Mina akibat kelewatan pengangkutan.
Kejadian ini telah mencetuskan kritikan hebat daripada anggota pengawasan Haji Dewan Perwakilan Rakyat (DPR) yang menyifatkan kegagalan pengurusan ini sebagai sesuatu yang tidak wajar berulang setiap musim haji.
Menurut laporan, ribuan jemaah terkandas di Muzdalifah awal pagi Jumaat, 6 Jun lalu apabila bas yang sepatutnya membawa mereka ke Mina lewat tiba dan jadual pengangkutan tidak konsisten.
Keadaan ini telah menyebabkan ramai jemaah tiba lewat untuk melaksanakan ibadah melontar jamrah.
“Sebahagian jemaah mula cemas apabila menyedari bas masih belum tiba menjelang pagi. Akibat itu, ada yang mengambil keputusan untuk berjalan kaki ke Mina secara spontan,” kata Dr. Hilman Latief, Ketua Pengarah Penyelenggaraan Haji dan Umrah Kementerian Agama, dalam satu kenyataan pada 7 Jun.
Sebuah video tular menunjukkan ratusan jemaah Indonesia berjalan kaki dari Muzdalifah ke Mina, sambil membawa barang peribadi di bawah cuaca panas.
Perjalanan ini dianggarkan sejauh empat kilometer dan menyebabkan keletihan melampau kepada jemaah, khususnya warga emas.
Terdapat sekitar 203,000 jemaah Indonesia menunaikan haji di tanah suci pada 2025.
Dr Hilman menjelaskan bahawa PPIH (Petugas Penyelenggara Ibadah Haji) segera memohon campur tangan pihak berkuasa Arab Saudi untuk mempercepat penghantaran bas, selain memohon bantuan air minuman, makanan ringan dan payung bagi melindungi jemaah daripada panas.
“Alhamdulillah, sekitar 8.50 pagi waktu Arab Saudi, empat kontena bantuan logistik tiba di lokasi jemaah Indonesia di Muzdalifah,” katanya.
Namun, Dr Hilman tidak menafikan bahawa sebahagian jemaah telah terlanjur berjalan keluar dari kawasan Muzdalifah dan menyebabkan kesesakan di laluan utama yang digunakan oleh bas haji.
“Sebagai pihak bertanggungjawab, kami memohon maaf atas ketidakselesaan ini. Kami juga berterima kasih kepada pihak Arab Saudi atas kerjasama mereka dalam menyelesaikan masalah ini,” ujarnya.
Insiden ini mendapat teguran keras daripada Ahli DPR, Encik Adies Kadir daripada Parti Golkar, yang menyalahkan kegagalan perancangan PPIH dalam mengatur pergerakan jemaah secara teratur.
“Jangan anggap biasa kenyataan seperti ‘jemaah Indonesia kuat berjalan kaki’ seolah-olah mereka boleh dibiarkan tanpa bantuan. Keutamaan seharusnya diberikan kepada kesejahteraan fizikal dan mental mereka,” katanya.
Kritikan ini timbul menyusuli beberapa isu lain yang menjejaskan pelaksanaan haji tahun ini, termasuk masalah penempatan khemah di Arafah yang menyebabkan sebahagian jemaah menghadapi kesukaran mendapatkan tempat berlindung.
Ketua PPIH Arab Saudi, Encik Mukhlis M. Hanafi, turut memohon maaf atas isu kekurangan tempat di Arafah.
Beliau menjelaskan, ruang dalam khemah tidak dapat dimaksimumkan dan sistem penempatan berdasarkan hotel menyukarkan koordinasi.
“Sebahagian jemaah juga berpindah khemah secara sepihak, menyebabkan ketidakseimbangan beban dan menyukarkan kawalan,” katanya.
Beliau menambah bahawa PPIH telah mengalihkan khemah petugas dan Misi Haji Indonesia untuk digunakan jemaah, selain berunding dengan syarikat untuk penambahan khemah baru.
Sehingga 8 Jun, seramai 175 jemaah Indonesia dilaporkan meninggal dunia akibat serangan jantung, jangkitan pernafasan akut, dan kekurangan air.
Ketua Bahagian Kesihatan PPIH, Dr. Mohammad Imran, mengingatkan agar semua jemaah terus menjaga kesihatan dan mengelakkan diri daripada keletihan melampau.
“Kami berharap semua jemaah dapat menyelesaikan ibadah dengan lancar dan pulang ke tanah air dalam keadaan sihat,” katanya. - Agensi berita.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg