JAKARTA: Penstrukturan semula besar-besaran Tentera Nasional Indonesia (TNI) telah menimbulkan kebimbangan dalam kalangan pemerhati mengenai penggunaan bajet pertahanan yang tidak cekap dan kehadiran tentera yang semakin meningkat di ruang sivik.
Pada 10 Ogos, Presiden Prabowo Subianto mempengerusikan majlis di Batujajar, Jawa Barat untuk merasmikan berpuluh-puluh unit baru dalam TNI.
Di majlis itu, Encik Prabowo secara rasmi mengumumkan penubuhan enam komando wilayah baru Tentera Darat (Kodam), 14 Tentera Laut (Kodaeral) dan tiga Tentera Udara (Kodau).
Beliau juga mewujudkan satu komando operasi udara, enam kumpulan Pasukan Khas Tentera Darat (Kopassus), 20 briged pembangunan wilayah, 100 batalion pembangunan wilayah, lima batalion infantri untuk Kor Marin Tentera Laut dan lima batalion komando untuk Kor Pasukan Cepat Tentera Udara (Kopasgat).
Beliau berkata peluasan itu perlu untuk memperkukuh pertahanan negara, di tengah-tengah ketidakstabilan global yang berpunca daripada peperangan yang berterusan di Eropah dan Timur Tengah.
“Indonesia mesti mengukuhkan pertahanan kita untuk melindungi kedaulatan dan sumber kita,” tegas beliau.
Beliau berkata walaupun Indonesia sebuah negara aman, ia perlu memperkukuh ketenteraan bagi mengelakkan kuasa asing mengeksploitasi sumber alam atau mencetuskan konflik dalaman.
“Perlu diingat bahawa negara kita memerlukan angkatan tentera yang kuat kerana tiada negara boleh kekal merdeka tanpa kekuatan pertahanan yang hebat. Saya ulang sekali lagi, tiada negara yang merdeka tanpa tentera yang kuat,” katanya di Bandung Barat, Jawa Barat pada 10 Ogos,
Majlis tersebut juga menandakan peralihan organisasi yang ketara apabila Encik Prabowo melantik Jeneral Tandyo Budi Revita sebagai timbalan komander TNI.
Encik Prabowo turut menaikkan pangkat komander pasukan elit di semua cabang, Kopassus, Kor Marin dan Kopasgat, daripada dua bintang kepada jeneral tiga bintang.
Penstrukturan semula itu telah mendapat reaksi bercampur-campur daripada pemerhati.
Penganalisis tentera Encik Rizal Darma Putra dari Institut Kajian Pertahanan dan Strategik Indonesia (Lesperssi) berkata pengembangan itu akan membawa kepada kos operasi yang lebih tinggi dan tidak sejajar dengan usaha Encik Prabowo mengurangkan kos.
Menurutnya, pemerintah sebaliknya perlu melabur dalam keupayaan peperangan dan persenjataan berteknologi tinggi.
Kumpulan hak asasi manusia Imparsial pula berkata: “Menambah enam unit perintah ketenteraan serantau baru mengukuhkan struktur yang berakar umbi dalam doktrin dwifungsi Orde Baru.”
Kumpulan itu merujuk kepada sistem ketenteraan di bawah rejim autoritarian mantan Presiden Suharto yang memberikan pengaruh ketara kepada tentera ke atas hal ehwal awam.
Aktivis hak asasi manusia mendapati kehadiran tentera semakin meningkat dalam sektor awam semasa pentadbiran Encik Prabowo.
Penganalisis tentera Encik Khairul Fahmi dari Institut Kajian Keselamatan dan Strategik menyatakan bahawa kenaikan pangkat dan pembesaran akan membantu meningkatkan kepantasan tentera menentang ancaman masa depan.
“Ia akan membolehkan mereka mempunyai koordinasi silang perkhidmatan yang lebih berkesan,” tambahnya. – Agensi berita.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg