JAKARTA: Mahkamah Perlembagaan Indonesia dijadual mengumumkan keputusan pada 17 September berhubung cabaran terhadap pindaan undang-undang tentera yang membolehkan peranan lebih besar angkatan bersenjata dalam urusan awam.
Isu itu menjadi salah satu punca kemarahan rakyat yang mencetuskan gelombang bantahan antipemerintah di seluruh negara.
Pindaan itu diluluskan Parlimen pada Mac lalu tanpa perbincangan awam yang mencukupi, menurut pihak plaintif, dan kini dipersoalkan kerana dianggap membuka ruang kepada peluasan pengaruh tentera dalam kehidupan awam di bawah pentadbiran Presiden Prabowo Subianto.
Sejak 11 bulan memegang jawatan, Encik Prabowo, mantan komander pasukan khas semakin bergantung kepada tentera untuk melaksanakan agenda besarnya.
Beliau melantik bekas jeneral ke jawatan penting dan mengerahkan tentera untuk pelbagai tugas, termasuk mengendalikan bantahan jalanan; melaksanakan daya usaha makanan percuma di sekolah; menjayakan program keselamatan makanan; mengeluarkan ubat-ubatan; malah merampas ladang kelapa sawit bagi syarikat milik negara baru.
Keadaan itu menimbulkan kebimbangan terhadap kembalinya suasana era Orde Baru (1966-1998) apabila tentera menguasai politik dan pentadbiran negara.
“Ada ketakutan sebenar bahawa Indonesia sedang bergerak ke arah penguasaan tentera semula,” kata seorang aktivis mahasiswa di Jakarta.
Keputusan mahkamah itu berlaku ketika rasa tidak puas hati rakyat semakin memuncak selepas dua minggu bantahan jalanan, sebahagiannya bertukar ganas.
Isu yang dibangkitkan meliputi elaun wakil rakyat, keutamaan bajet negara, salah laku polis, serta persepsi bahawa tentera semakin mencengkam kehidupan awam.
Seorang penunjuk perasaan berkata: “Kami tidak mahu kembali ke masa lalu. Undang-undang tentera ini hanyalah alasan untuk memberikan lebih kuasa kepada pihak bersenjata.”
Lima petisyen telah difailkan terhadap pindaan undang-undang itu.
Plaintif berhujah bahawa prosesnya tidak telus dan menyalahi peraturan perundangan.
“Kami berharap mahkamah membatalkan undang-undang tentera ini kerana prosesnya tidak selaras dengan undang-undang lain yang mengatur proses legislatif,” kata Encik Ardi Manto Adiputra, salah seorang plaintif, kepada agensi berita, Reuters.
Encik Ardi mendakwa perbincangan dilakukan secara tertutup sebelum Parlimen yang dikuasai sekutu Encik Prabowo meluluskannya dengan tergesa-gesa.
Antara plaintif ialah kumpulan hak asasi manusia, organisasi pelajar, dan Cik Inayah Wahid, anak kepada mantan presiden Indonesia Abdurrahman Wahid.
Menteri Undang-Undang Indonesia menolak dakwaan tersebut, menegaskan proses legislatif dijalankan dengan betul dan pandangan awam telah diambil kira secukupnya.
Bagaimanapun, Mahkamah Perlembagaan dijangka tidak menyentuh isi kandungan undang-undang itu, sebaliknya menilai proses kelulusannya.
Encik Ardi menyatakan kumpulannya merancang untuk mengemukakan semakan kehakiman baru mengenai kandungan substantif undang-undang berkenaan pada masa hadapan.
“Keputusan mahkamah akan diumumkan secara maya, tanpa kehadiran plaintif atau orang awam,” tambahnya.
Keputusan itu dianggap sebagai ujian besar pertama buat pentadbiran Encik Prabowo yang sedang berdepan kemarahan rakyat.
Penganalisis politik menilai bahawa isu itu boleh menjadi penentu sejauh manakah Encik Prabowo mampu mengekalkan keseimbangan antara keperluan reformasi dengan kecenderungan menguatkan peranan tentera.
“Jika mahkamah mengesahkan proses yang cacat, ia memberi mesej buruk tentang masa depan demokrasi di Indonesia,” kata seorang pengamat politik dari Universiti Indonesia. – Agensi berita.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg