JAKARTA/WASHINGTON: Pengumuman kerjasama baharu antara Amerika Syarikat dengan Indonesia melalui rangka kerja Perkongsian Kerjasama Pertahanan Utama (MDCP) menandakan satu langkah penting dalam memperkukuh hubungan dua hala, khususnya dalam bidang keselamatan dan pertahanan.

Dalam konteks geopolitik Indo-Pasifik yang kian kompleks, kerjasama itu dilihat sebagai usaha strategik untuk mengekalkan kestabilan serantau sambil meningkatkan keupayaan pertahanan kedua-dua negara.

Perjanjian tersebut dimeterai susulan pertemuan antara Setiausaha Pertahanan Amerika Syarikat, Encik Pete Hegseth, dengan Menteri Pertahanan Indonesia, Encik Sjafrie Sjamsoeddin, di Pentagon.

Kedua-dua pihak menegaskan kerjasama itu bukan sahaja berasas kepentingan keselamatan semasa, bahkan juga visi jangka panjang untuk membina keupayaan pertahanan yang lebih moden dan berdaya tahan.

Kerjasama Berasas Tiga Teras Utama

MDCP dibina atas tiga teras utama yang mencerminkan pendekatan menyeluruh terhadap pertahanan moden.

Teras pertama, melibatkan pemodenan ketenteraan dan pembangunan kapasiti, termasuk peningkatan keupayaan teknologi serta kesiapsiagaan pertahanan.

Teras kedua, memberi tumpuan kepada latihan dan pendidikan ketenteraan profesional yang bertujuan membina kepakaran dan kepimpinan dalam kalangan anggota tentera.

Teras ketiga pula, menekankan latihan bersama serta kerjasama operasi bagi meningkatkan keserasian dan keberkesanan tindakan di lapangan.

Menurut Encik Hegseth, kerjasama itu bukan sekadar simbolik, malah, berfungsi sebagai asas kepada inisiatif keselamatan masa hadapan.

“Kerangka ini bertujuan mengekalkan keamanan dan kestabilan di Indo-Pasifik,” katanya, sambil menambah bahawa kedua-dua negara akan terus “meneroka inisiatif keselamatan berteknologi tinggi” dalam tempoh akan datang.

Beliau turut memuji peranan Indonesia sebagai kuasa sederhana yang semakin berpengaruh di peringkat sejagat.

“Seperti Presiden (Donald) Trump, presiden anda juga percaya kepada keamanan melalui kekuatan,” katanya, merujuk kepada Presiden Indonesia, Encik Prabowo Subianto.

Dari perspektif Indonesia, kerjasama itu membuka ruang kepada transformasi ketenteraan yang lebih sistematik.

Melalui pemindahan teknologi, latihan bersama dan peningkatan akses kepada peralatan moden, Indonesia berpotensi memperkukuh keupayaan pertahanan secara signifikan.

Jurucakap Kementerian Pertahanan Indonesia, Encik Rico Ricardo Sirait, menegaskan bahawa manfaat praktikal menjadi keutamaan dalam setiap bentuk kerjasama.

“Kerjasama ini memberi peluang untuk memperkukuh kapasiti pertahanan negara, tetapi mesti dilaksanakan dalam kerangka dasar bebas dan aktif serta menghormati kedaulatan,” katanya.

Selain aspek ketenteraan tradisional, kerjasama itu turut merangkumi bidang seperti bantuan kemanusiaan dan pengurusan bencana, yang kian penting dalam menghadapi cabaran keselamatan bukan konvensional di rantau ini.

Kerjasama itu juga perlu dilihat dalam konteks perubahan dinamik keselamatan di Indo-Pasifik.

Ketegangan di Laut China Selatan, persaingan kuasa besar, serta cabaran keselamatan rentas sempadan menjadikan kerjasama pertahanan kian relevan.

Penganalisis berpendapat peningkatan hubungan pertahanan antara Washington dengan Jakarta mencerminkan usaha menyeimbangkan pengaruh kuasa besar di rantau ini, sambil memastikan kestabilan jangka panjang.

Dalam masa yang sama, ia memperkukuh kedudukan Indonesia sebagai pemain utama dalam keselamatan Asia Tenggara, sejajar dengan peranannya dalam Asean dan forum antarabangsa lain.

Isu Kedaulatan, Imbangan Strategik, Implikasi Serantau dan Masa Depan

Walaupun kerjasama itu membawa banyak manfaat, ia turut mencetuskan perbincangan mengenai isu kedaulatan dan dasar luar Indonesia yang bebas dan aktif.

Perhatian khusus diberikan kepada cadangan akses penerbangan ketenteraan Amerika di ruang udara Indonesia, yang walaupun tidak termasuk dalam MDCP, tetap menjadi isu sensitif dalam perdebatan awam.

Kementerian Luar Indonesia dilaporkan mengingatkan bahawa sebarang bentuk akses tanpa kawalan ketat boleh menjejas kedudukan berkecuali negara serta berpotensi melibatkan Indonesia dalam konflik serantau.

Dalam hal ini, Encik Rico menegaskan prinsip kedaulatan tidak akan dikompromi.

“Semua bentuk kerjasama mesti memberi manfaat nyata kepada Indonesia dan tidak boleh menjejas prinsip asas kedaulatan negara,” katanya.

Pakar hubungan antarabangsa, Encik Ahmad Rizky M. Umar, melihat kerjasama itu sebagai satu peluang, tetapi memerlukan pengurusan strategik yang teliti.

“Jika akses tertentu diberikan, ia boleh dilihat sebagai langkah ke arah pakatan tidak rasmi dengan Amerika,” katanya.

Beliau memberi amaran bahawa langkah sedemikian boleh menjejas kewibawaan Indonesia sebagai negara berkecuali, khususnya dalam forum seperti Asean.

Pandangan itu turut dikongsi penganalisis dari Institut Kajian Pertahanan dan Strategik Indonesia, Encik Beni Sukadis, yang menekankan kepentingan kawalan penuh terhadap ruang udara dan wilayah negara.

“Dalam senario terburuk, ruang udara Indonesia boleh menjadi sebahagian daripada laluan operasi ketenteraan kuasa besar,” katanya.

Walaupun berdepan pelbagai cabaran, pendekatan berhati-hati yang diambil Indonesia sebenarnya mencerminkan kekuatan diplomatik negara tersebut.

Jadi Jambatan Kuasa Besar

Dengan mengekalkan keseimbangan antara kerjasama strategik dengan kedaulatan nasional, Indonesia berupaya memainkan peranan sebagai jambatan antara kuasa besar.

Sebagai negara kepulauan strategik dengan lebih 17,000 pulau, kedudukan geografi Indonesia menjadikannya penting dalam keselamatan maritim sejagat, khususnya di laluan perdagangan utama.

Pendekatan itu selaras dengan prinsip dasar luar bebas dan aktif yang telah lama menjadi tunjang kepada dasar diplomasi Indonesia.

MDCP antara Amerika dengan Indonesia membuka peluang besar untuk memperkukuh keselamatan serantau serta meningkatkan keupayaan pertahanan nasional.

Namun, kejayaan kerjasama itu bergantung kepada keupayaan kedua-dua negara mengurus keseimbangan antara kepentingan strategik dengan sensitiviti politik domestik.

Dalam dunia yang semakin tidak menentu, kerjasama seperti itu bukan sahaja penting, bahkan juga perlu dilaksanakan dengan penuh berhati-hati.

Seperti yang ditegaskan oleh pihak Kementerian Pertahanan, matlamat utama kekal jelas – bukan sekadar memperkukuh pertahanan, tetapi memastikan setiap langkah diambil tanpa mengorbankan prinsip kedaulatan dan dasar berkecuali negara.

Dalam erti kata lain, kerjasama itu bukan sekadar ujian kepada kekuatan ketenteraan, malah kepada kematangan diplomasi Indonesia dalam menghadapi realiti geopolitik abad ke-21. – Agensi berita.