JAKARTA: Kematian dua murid sekolah rendah di Riau dan Sulawesi Selatan, Indonesia, yang dilaporkan berpunca daripada kejadian buli, menimbulkan kebimbangan serius tentang peningkatan keganasan di sekolah serta kegagalan pemerintah dalam memastikan persekitaran pembelajaran yang selamat untuk kanak-kanak.
Khris Topel Butarbutar, pelajar berusia lapan tahun, meninggal dunia pada 26 Mei lalu selepas didakwa dipukul oleh pelajar lebih tua di sebuah sekolah rendah negeri di Kabupaten Indragiri Hulu, Riau.
Menurut bapanya, Encik Gimson Butarbutar, Khris yang ketika itu berada di tahun dua mula mengadu demam dan sakit perut pada 20 Mei, sehari selepas pulang awal dari sekolah kerana tayar basikalnya dikempiskan oleh pelajar lain.
“Pada mulanya dia tidak memberitahu saya sebab dia sakit, tetapi selepas saya bertanya kepada kawan-kawannya, mereka berkata dia telah dipukul oleh empat pelajar lebih tua kira-kira seminggu sebelumnya,” kata Encik Gimson pada 8 Jun, seperti dipetik oleh Kompas.
“Apabila saya tanya kepada Khris sendiri, dia mengesahkannya. Dia kata dia telah dibuli sejak sekian lama kerana agama dan etniknya,” tambahnya.
Menurut Encik Gimson, Khris dimasukkan ke hospital tidak lama selepas itu dan mengalami sawan serta mula berdarah dari mulut dan telinga. Keadaannya terus merosot sehingga dia meninggal dunia.
Encik Gimson telah membuat laporan polis terhadap lima pelajar berusia antara 11 hingga 13 tahun yang didakwa membuli anaknya. Polis Riau memaklumkan bahawa pihaknya telah menyoal siasat 22 saksi berkaitan kes ini. Hasil bedah siasat ke atas tubuh Khris menunjukkan terdapat lebam pada perut dan paha kirinya yang konsisten dengan kecederaan akibat hentakan objek tumpul.
Namun begitu, polis menyatakan bahawa punca kematian Khris adalah jangkitan sistemik akibat usus buntu yang pecah. Sehingga kini masih belum jelas sama ada pecahnya pangkal usus itu berpunca daripada serangan yang didakwa berlaku.
Kurang seminggu selepas kematian Khris, seorang lagi pelajar bernama Muhammad Raja Afnan, 15 tahun, yang bersekolah di sebuah sekolah rendah negeri di Makassar, Sulawesi Selatan, turut meninggal dunia selepas didakwa diserang oleh tiga rakannya, lapor The Jakarta Post.
Pelajar tahun enam itu meninggal dunia pada 30 Mei selepas dirawat di hospital selama lima hari di tiga fasiliti berbeza, bermula dengan aduan sakit dada. Menurut keluarganya, tubuh Raja dipenuhi lebam dan terdapat kesan terbakar menyerupai bekas puntung rokok.
Pada mulanya, Raja mendakwa kecederaannya berpunca daripada terjatuh semasa bermain bola sepak, namun kemudian dia memberitahu bahawa dia sebenarnya telah diserang oleh dua pelajar sekolah rendah dan seorang pelajar sekolah menengah pertama.
Keluarga Raja telah membuat laporan kepada polis Makassar dan pihak berkuasa kini sedang menjalankan siasatan. Data daripada Rangkaian Pemantauan Pendidikan Indonesia (JPPI) menunjukkan peningkatan kes buli yang dilaporkan di institusi pendidikan sejak beberapa tahun kebelakangan ini.
Pada tahun 2024, JPPI mencatatkan sebanyak 573 kes buli di sekolah dan pondok pesantren di seluruh Indonesia, lebih dua kali ganda berbanding 285 kes pada tahun sebelumnya.
Sementara itu, Suruhanjaya Perlindungan Kanak-Kanak Indonesia (KPAI) melaporkan bahawa sekitar 21,000 kanak-kanak menjadi mangsa keganasan pada tahun 2024, iaitu peningkatan 34 peratus berbanding tahun sebelumnya.
Daripada jumlah itu, 17 peratus berlaku dalam institusi pendidikan, dengan 9 peratus melibatkan kes buli dalam kalangan rakan sebaya.
Menurut tinjauan Program Pentaksiran Pelajar Antarabangsa (PISA) pada tahun 2018, sebanyak 41 peratus pelajar Indonesia mengaku menjadi mangsa buli sekurang-kurangnya beberapa kali sebulan. Angka ini hampir dua kali ganda berbanding purata 23 peratus yang dicatatkan oleh negara-negara anggota Pertubuhan Kerjasama dan Pembangunan Ekonomi (OECD).
Pada tahun 2023, pemerintah Indonesia telah mengeluarkan satu peraturan anti-buli sebagai respons terhadap peningkatan keganasan di sekolah. Antara isi kandungannya ialah keperluan semua institusi pendidikan menubuhkan pasukan pencegahan dan pengendalian keganasan bagi melindungi pelajar.
Namun begitu, para pemerhati menyatakan bahawa pelaksanaan peraturan tersebut masih lemah, dengan ramai guru tidak memiliki latihan mencukupi untuk mengenal pasti tanda awal buli dan melaksanakan langkah pencegahan secara berkesan.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg