Topik diikuti
Pergi ke BHkuKes serangan asid aktivis: Selepas sebulan siasatan masih berjalan
Kes serangan asid aktivis: Selepas sebulan siasatan masih berjalan
Kes serangan asid aktivis: Selepas sebulan siasatan masih berjalan
Sudah lebih 30 hari sejak aktivis hak asasi berusia 27 tahun, Encik Andrie Yunus, diserang oleh dua lelaki bermotosikal yang menyimbah asid ke arahnya ketika beliau menunggang motosikal pada petang Khamis, 12 Mac, selepas meninggalkan pejabat Yayasan Lembaga Bantuan Hukum Indonesia (YLBHI) di Jakarta Pusat.
Timbalan penyelaras Suruhanjaya Orang Hilang dan Mangsa Keganasan (KontraS) itu telah menjalani lima pembedahan termasuk cantuman kulit dan dijangka menjalani lebih banyak pembedahan dalam beberapa bulan akan datang bagi memulihkan matanya.
Namun, rakan sekerjanya berkata proses siasatan undang-undang berjalan sangat perlahan, tanpa perkembangan jelas ke arah penyelesaian kes secara telus dan bertanggungjawab.
Empat anggota Agensi Perisikan Tentera Indonesia (Bais) telah dinamakan sebagai suspek dan kes kini dikendalikan di bawah bidang kuasa tentera, satu proses yang menurut aktivis boleh menyukarkan usaha memastikan ketelusan, kebertanggungjawaban dan keadilan untuk Encik Andrie.
Susulan pendedahan itu, dua pegawai kanan Bais telah dipindahkan, manakala siasatan bebas oleh aktivis yang menjadi peguam Encik Andrie mendapati sebuah rumah di lokasi strategik di Jakarta Selatan yang didakwa digunakan sebagai pangkalan suspek, disenaraikan sebagai aset kementerian pertahanan.
Penyelaras KontraS, Encik Dimas Bagus Arya, berkata sejak awal lagi, negara itu melalui agensi penguatkuasaan undang-undang termasuk polis dilihat lambat bertindak terhadap pelaku, berbeza dengan tindakan pantas terhadap aktivis selepas bantahan besar-besaran pada Ogos 2025.
Akibatnya, suspek yang sepatutnya berada di bawah siasatan polis bagi kes jenayah umum telah ‘diamankan’ lebih awal oleh Polis Tentera.
“Situasi ini mewujudkan risiko tinggi konflik kepentingan kerana individu terlibat berada dalam struktur institusi yang sama,” kata Encik Dimas.
Beliau turut menambah, pihak berkuasa termasuk presiden, tentera, polis dan Ahli Parlimen yang bertanggungjawab dalam hal keadilan dilihat berdiam diri walaupun terdapat tekanan awam agar kes itu dibicarakan di mahkamah sivil, termasuk petisyen dalam talian yang ditandatangani sekurang-kurangnya 3,200 orang, termasuk lebih 100 tokoh Indonesia.
Dalam satu pertemuan bersama wartawan dan pakar pada Mac, Presiden Prabowo Subianto menggesa siasatan menyeluruh dijalankan termasuk mengenal pasti dalang utama, walaupun melibatkan pihak atasan.
Beliau menyifatkan serangan itu sebagai “keganasan, perbuatan kejam” dan menegaskan, tiada kekebalan untuk pelaku, termasuk mereka di peringkat tertinggi.
Naib Presiden, Encik Gibran Rakabuming, turut mengeluarkan kenyataan pada 9 April, menekankan kepentingan melibatkan hakim ad hoc yang berwibawa dalam perbicaraan kes cubaan pembunuhan terancang terhadap Encik Andrie.
Kenyataan itu dibuat sehari selepas Pusat Polis Tentera memaklumkan siasatan kes tersebut telah dipindahkan kepada pendakwa tentera.
Namun, gabungan aktivis di bawah Koalisi Masyarakat Sivil untuk Reformasi Sektor Keselamatan menyuarakan kebimbangan bahawa siasatan dalaman tentera gagal menghuraikan penemuan dan bukti yang dikemukakan oleh Pasukan Advokasi untuk Demokrasi (Taud) yang mewakili Encik Andrie.
“Bukti penglibatan 16 individu yang melakukan pemantauan serta berkomunikasi dan berkoordinasi sebelum kejadian, termasuk petunjuk operasi terancang dan kemungkinan arahan berstruktur, masih belum didedahkan,” ujar kenyataan gabungan itu.
Pengerusi YLBHI, Encik Muhammad Isnur, berkata serangan terhadap Encik Andrie meningkatkan kebimbangan dalam kalangan aktivis, khususnya mereka yang lantang mengkritik pemerintah.
“Terdapat operasi untuk melemahkan pembangkang, menekan kritikan dan menyekat semangat aktivis muda daripada bersuara, sama ada melalui tindakan di lapangan atau ancaman di media sosial,” katanya.
Menurutnya, Encik Andrie sebelum ini dilihat sebagai aktivis berprofil tinggi yang seolah-olah dilindungi kedudukannya.
“Tetapi jika aktivis sepertinya turut menjadi sasaran, ia boleh menimbulkan ketakutan kepada aktivis lain yang kurang dikenali,” katanya.
KontraS turut memaklumkan individu yang menyatakan sokongan kepada Encik Andrie selepas kejadian turut berdepan gangguan dan intimidasi.
Mereka menegaskan mekanisme undang-undang yang tidak telus dan kurang adil tidak akan memberi kesan pencegahan kepada pelaku dan institusi terlibat, manakala Ahli Parlimen dalam Suruhanjaya III yang bertanggungjawab terhadap undang-undang gagal mendesak penubuhan Pasukan Pencari Fakta Bersama yang bebas.
“Semua pihak berkaitan perlu menjalankan tugas secara telus, bertanggungjawab dan berprinsip, dengan menjunjung nilai demokrasi, hak asasi manusia dan kedaulatan undang-undang bagi memastikan penyelesaian yang adil,” kata Encik Dimas.
