SPH Logo mobile
Langgan|

Pegawai kanan tentera Indonesia letak jawatan susulan serangan asid terhadap aktivis

Pegawai kanan tentera Indonesia letak jawatan susulan serangan asid terhadap aktivis

Mar 26, 2026 | 3:46 PM

Pegawai kanan tentera Indonesia letak jawatan susulan serangan asid terhadap aktivis

Aktivis daripada Pasukan Advokasi untuk Demokrasi (TAUD) memegang poster sebagai tanda sokongan kepada Andrie Yunus dalam satu sidang media di pejabat YLBHI di Menteng, Jakarta Pusat pada 16 Mac 2025.
Aktivis daripada Pasukan Advokasi untuk Demokrasi (TAUD) memegang poster sebagai tanda sokongan kepada Andrie Yunus dalam satu sidang media di pejabat YLBHI di Menteng, Jakarta Pusat pada 16 Mac 2025. - FOTO IHSAN YAYASAN LEMBAGA BANTUAN HUKUM INDONESIA (YLBHI)

JAKARTA: Seorang pegawai kanan tentera Indonesia melepaskan jawatan susulan serangan asid terhadap seorang aktivis hak asasi yang lantang mengkritik perluasan peranan tentera, menurut jurucakap pada 26 Mac.

Mangsa, Encik Andrie Yunus, timbalan koordinator Suruhanjaya Orang Hilang dan Mangsa Keganasan (KontraS), mengalami kecederaan melecur pada kira-kira 20 peratus muka dan badan selepas diserang oleh individu bermotosikal pada 12 Mac.

Insiden itu mencetuskan kecaman meluas di dalam dan luar negara. Ketua Hak Asasi Manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, Encik Volker Turk, menyifatkan serangan tersebut sebagai “tindakan ganas yang pengecut”.

Jurucakap tentera, Cik Aulia Dwi Nasrullah, mengesahkan bahawa ketua unit perisikan tentera, Encik Yudi Abrimantyo, telah meletakkan jawatan sebagai tanda tanggungjawab terhadap insiden itu.

Sebelum ini, tentera Indonesia memaklumkan penahanan empat anggota unit perisikan berhubung kes tersebut. Jika didapati bersalah, mereka berdepan hukuman daripada tindakan disiplin sehingga pemecatan tidak hormat, katanya.

Encik Yudi bagaimanapun tidak termasuk dalam kalangan empat anggota yang ditahan.

Kes itu turut mencetuskan kebimbangan terhadap hak asasi dan nilai demokrasi di Indonesia, khususnya apabila peranan tentera dalam urusan awam dan perniagaan milik negara dilihat semakin meluas di bawah pentadbiran Presiden Prabowo Subianto.

Dalam satu temu bual meja bundar minggu lalu, Encik Prabowo menyifatkan serangan terhadap Andrie sebagai “tindakan keganasan” dan berjanji siasatan menyeluruh akan dijalankan tanpa sebarang kekebalan.

Ratusan kumpulan masyarakat sivil, termasuk Amnesty International, menyifatkan serangan itu sebagai cubaan membunuh. Insiden berlaku tidak lama selepas Encik Andrie merakam episod podcast berkaitan isu perluasan peranan tentera.

Encik Andrie kini dirawat di hospital di Jakarta dan berada dalam unit rawatan rapi selepas menjalani pembedahan pada 25 Mac, termasuk rawatan pada mata kanan serta pemindahan kulit di bahagian mata, dada dan bahu, menurut KontraS.

Mengulas peletakan jawatan itu, KontraS menggesa Presiden Prabowo menubuhkan pasukan bebas bagi menyiasat kes tersebut, selain menegaskan ia wajar dibicarakan di mahkamah sivil, bukan mahkamah tentera.

“Kes ini merupakan jenayah serius yang berlaku di ruang awam dan tidak berkait dengan tugas ketenteraan atau operasi pertahanan negara,” menurut kenyataan bersama kumpulan masyarakat sivil. - Agensi berita

Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Berita Harian di Mudah Alih

  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg