Kesan krisis tenaga sejagat ketika rakyat siap mudik Lebaran
Kesan krisis tenaga sejagat ketika rakyat siap mudik Lebaran
Sepanjang musim mudik, perbelanjaan pengguna meningkat beli makanan, pakaian, hadiah serta naik pengangkutan balik kampung
JAKARTA: Ketika Indonesia menghampiri penghujung Ramadan dan sambutan Aidilfitri, negara itu berdepan satu cabaran ekonomi yang semakin terasa akibat ketegangan geopolitik sejagat, khususnya konflik antara Amerika Syarikat-Israel dengan Iran yang menjejas pasaran tenaga dunia.
Lonjakan harga minyak mentah melepasi paras AS$100 ($127) setong pada 9 Mac, telah memberi kesan langsung kepada negara pengimport tenaga seperti Indonesia, sekali gus menimbulkan tekanan terhadap belanjawan negara dan kos sara hidup rakyat.
Walaupun keadaan itu menimbulkan kebimbangan, ramai penganalisis menekankan bahawa krisis semasa juga membuka peluang kepada pemerintah Indonesia memperkukuh dasar fiskal dan mempercepat reformasi tenaga jangka panjang.
Selat Hormuz dan kesan ekonomi Indonesia
Antara faktor utama yang diperhatikan oleh pakar ekonomi adalah ketegangan di Selat Hormuz, laluan laut strategik yang menghubungkan Teluk Parsi dengan pasaran tenaga sejagat.
Sebahagian besar eksport minyak dari negara Teluk melalui laluan itu, menjadikannya nadi penting ekonomi dunia.
Pakar ekonomi daripada Institut Pembangunan Ekonomi dan Kewangan (Indef), Encik Afaqa Hudaya, menjelaskan bahawa sebarang gangguan di selat tersebut akan memberi kesan pantas kepada ekonomi negara pengimport minyak seperti Indonesia.
“Bagi negara pengimport minyak seperti Indonesia, ketegangan di Selat Hormuz boleh menyebabkan kos tenaga meningkat hampir serta-merta di seluruh kepulauan,” katanya.
Menurut beliau, kenaikan harga minyak bukan sahaja memberi tekanan kepada belanjawan negara, malah turut mempengaruhi harga barangan asas serta kos pengangkutan.
Namun beliau menegaskan bahawa keadaan itu juga boleh mendorong pemerintah mempercepatkan usaha memperkukuh keselamatan tenaga nasional.
Indonesia mengawal harga bahan api domestik melalui sistem subsidi, satu dasar yang bertujuan melindungi rakyat daripada turun naik harga tenaga sejagat.
Namun, apabila harga minyak dunia melonjak, beban subsidi kepada pemerintah turut meningkat.
Belanjawan negara 2026 pada asalnya dibina berdasarkan andaian harga minyak sekitar AS$70 setong.
Dengan harga semasa jauh melebihi paras itu, jurang tersebut berpotensi meningkatkan perbelanjaan subsidi kepada ratusan trilion rupiah.
Menteri Kewangan Indonesia, Encik Purbaya Yudhi Sadewa, berkata pemerintah sedang memantau perkembangan pasaran dengan teliti.
“Sekiranya harga minyak meningkat hingga sekitar AS$90 atau AS$92 setong tanpa pelarasan dasar fiskal, defisit belanjawan boleh meningkat kepada sekitar 3.6 peratus daripada Hasil Kasar Dalam Negeri (GDP),” katanya.
Walaupun begitu, beliau menegaskan bahawa pemerintah masih yakin mampu mengekalkan defisit di bawah had undang-undang iaitu 3 peratus daripada GDP.
Kenyataan itu menunjukkan keyakinan Jakarta bahawa dasar fiskal negara masih berada di landasan yang stabil walaupun berdepan tekanan luar.
Tradisi mudik tingkatkan permintaan tenaga
Keadaan itu berlaku ketika Indonesia memasuki musim mudik, tradisi tahunan yang menyaksikan jutaan rakyat pulang ke kampung halaman bagi menyambut Aidilfitri bersama keluarga.
Pada 2026, Kementerian Perhubungan Indonesia menganggarkan sekitar 143 hingga 144 juta orang akan melakukan perjalanan sempena musim perayaan tersebut, iaitu hampir separuh daripada jumlah penduduk negara itu.
Mudik bukan sekadar tradisi budaya yang mengukuhkan hubungan kekeluargaan, malah, ia juga menjadi pemangkin penting kepada kegiatan ekonomi.
Sepanjang tempoh itu, perbelanjaan pengguna biasanya meningkat dengan ketara apabila orang ramai membeli makanan, pakaian, hadiah serta menggunakan pelbagai perkhidmatan pengangkutan untuk pulang ke kampung halaman.
Lonjakan pergerakan manusia dan perbelanjaan itu menjadikan musim mudik sebagai salah satu tempoh paling aktif dalam ekonomi Indonesia setiap tahun
Terminal bas, pelabuhan feri dan lapangan terbang di seluruh negara sedang meningkatkan kapasiti bagi menampung jumlah penumpang yang tinggi.
Pada masa yang sama, syarikat logistik meningkatkan penghantaran makanan dan barangan pengguna ke seluruh kepulauan.
Keadaan itu secara semula jadi meningkatkan penggunaan bahan api secara mendadak.
Namun, penganalisis menekankan bahawa peningkatan permintaan itu juga memberi kesan positif kepada ekonomi domestik melalui peningkatan perdagangan dan kegiatan perniagaan.
Namun dalam kehidupan seharian, kesan kenaikan harga minyak sejagat paling dirasai oleh isi rumah kelas pertengahan.
Sistem bahan api dua peringkat di Indonesia memainkan peranan penting dalam menentukan kesan tersebut.
Bahan api bersubsidi Pertalite yang mempunyai kadar oktana rendah dijual pada harga sekitar 10,000 rupiah ($0.75) seliter, menjadikannya pilihan mampu milik bagi kebanyakan rakyat.
Namun, ramai pemilik kenderaan memilih menggunakan Pertamax, iaitu bahan api beroktan lebih tinggi yang tidak menerima subsidi pemerintah.
Ini bermakna harga Pertamax bergerak seiring dengan pasaran minyak sejagat.
Apabila harga minyak dunia meningkat, kos bahan api bagi kumpulan itu turut bertambah kerana mereka menggunakan bahan api tanpa subsidi.
Kenaikan kos tersebut sering memberi kesan kepada perbelanjaan harian, terutama bagi mereka yang bergantung kepada kenderaan untuk bekerja atau berniaga.
Pada masa yang sama, permintaan yang meningkat menjelang Ramadan dan Aidilfitri lazimnya turut menolak harga makanan di pasar tempatan.
Walaupun pemerintah kerap mengingatkan peniaga supaya tidak menaikkan harga secara berlebihan, faktor seperti kos logistik yang lebih tinggi serta permintaan pengguna yang meningkat sering menyebabkan harga tetap naik.
Cabaran bekalan tenaga
Selain kenaikan harga minyak dunia, satu lagi isu yang kerap dibangkitkan adalah tahap rizab minyak kecemasan Indonesia yang masih terhad.
Namun, pemerintah menegaskan keadaan bekalan negara masih berada dalam tahap selamat.
Menteri Tenaga dan Sumber Mineral, Encik Bahlil Lahadalia, berkata rizab bahan api Indonesia ketika ini bersamaan kira-kira 22 hingga 23 hari penggunaan, iaitu melebihi standard minimum nasional yang ditetapkan pemerintah.
Beliau menjelaskan bahawa angka tersebut bukan berpunca daripada kekurangan bekalan, tetapi disebabkan oleh keterbatasan kapasiti penyimpanan tenaga di negara itu.
“Jangan salah faham. Stok kita sebenarnya selamat.
“Namun, kapasiti penyimpanan kita memang terhad kepada sekitar 21 hingga 25 hari penggunaan,” katanya kepada wartawan di Kompleks Istana Presiden di Jakarta.
Menurut Encik Bahlil, persoalan utama yang dihadapi Indonesia bukan sekadar menambah import minyak, tetapi menyediakan kemudahan penyimpanan yang mencukupi.
“Kadangkala orang bertanya mengapa kita tidak menyimpan minyak sehingga 60 hari. Persoalannya, di mana kita mahu menyimpannya? Kapasiti tangki kita memang terhad,” katanya.
Bagaimanapun beliau menegaskan bahawa pemerintah sedang mengambil langkah proaktif untuk memperkukuh keselamatan tenaga negara.
Presiden Prabowo Subianto telah mengarahkan pembangunan kemudahan penyimpanan minyak baharu bagi meningkatkan rizab strategik negara sehingga tiga bulan atau sekitar 90 hari penggunaan, sejajar dengan amalan antarabangsa.
Langkah tersebut dilihat sebagai usaha penting untuk mengurangkan kerentanan terhadap gangguan bekalan sejagat, terutama ketika ketegangan geopolitik di Asia Barat semakin meningkat.
Dalam masa yang sama, Encik Bahlil berkata pemerintah turut berusaha mempelbagaikan sumber import tenaga bagi mengurangkan kebergantungan kepada satu rantau sahaja.
Beliau menjelaskan sebahagian import minyak mentah Indonesia memang datang dari Asia Barat, manakala bekalan bahan api siap pula banyak diperoleh dari negara Asia Tenggara.
Keadaan itu menjadikan kestabilan geopolitik di Asia Barat tetap penting kepada keselamatan tenaga Indonesia.
Namun, pemerintah yakin langkah pengukuhan prasarana dan kepelbagaian sumber bekalan akan membantu negara menghadapi sebarang gangguan pada masa hadapan.
“Kita masih dalam keadaan selamat buat masa ini.
“Namun, dalam jangka panjang, kita perlu memperkuat rizab tenaga supaya negara lebih bersedia menghadapi sebarang krisis sejagat,” tambah beliau. – Agensi berita.

