ACEH: Bupati (Ketua Daerah) Aceh Selatan, Mirwan MS, berdepan kritikan meluas selepas beliau dan keluarganya berlepas menunaikan umrah pada 2 Disember, ketika banjir besar dan tanah runtuh melanda 11 daripada 18 kecamatan (daerah) di wilayah tersebut.
Kontroversi ini tercetus selepas Encik Mirwan mengeluarkan surat pada 27 November yang menyatakan ketidakmampuannya mengendalikan respons bencana di Aceh Selatan.
Walaupun situasi darurat sedang berlangsung, beliau tetap berangkat ke Tanah Suci.
Jurucakap pemerintah Aceh, Teuku Kamaruzzaman, berkata Gabenor Aceh Muzakkir Manaf tidak meluluskan permohonan perjalanan umrah Encik Mirwan.
“Gabenor menolak permohonan itu kerana Aceh sedang dilanda bencana alam dan berada dalam keadaan darurat,” katanya kepada The Jakarta Post.
Penolakan itu dibuat menerusi surat bertarikh 28 November.
Namun, Encik Mirwan tetap berlepas ke Makkah.
Menurut Encik Kamaruzzaman, pihaknya telah menerima maklumat dari Kementerian Dalam Negeri supaya Encik Mirwan segera pulang ke Aceh.
“Wilayah Aceh Selatan memerlukan perhatian pemimpinnya. Dalam keadaan darurat seperti ini, beliau tidak boleh sekadar pergi begitu sahaja,” tegas beliau.
Encik Kamaruzzaman turut menyatakan bahawa sekurang-kurangnya dua kecamatan (daerah) berada dalam keadaan sangat terjejas dan memerlukan perhatian kepimpinan daerah.
Setiausaha Daerah Aceh Selatan, Encik Diva Samudra Putra, menolak dakwaan bahawa Encik Mirwan meninggalkan rakyat ketika berada dalam keadaan kritikal.
“Bupati dan isterinya berangkat ke Makkah selepas keadaan di Aceh Selatan stabil dan mangsa telah ditangani dengan baik,” katanya.
Encik Diva menjelaskan bahawa Encik Mirwan berangkat pada 2 Disember selepas mengagihkan bantuan kepada mangsa di Trumon Raya.
Beliau menambah bahawa semua mangsa yang berpindah telah kembali ke rumah masing-masing.
“Ini membuktikan kesungguhan semua pihak dalam menangani banjir dan tanah runtuh di Aceh Selatan,” katanya.
Jurucakap Aceh Selatan, Encik Denny Herry Safputra, mempertahankan Encik Mirwan dengan berkata bahawa beliau hanya berangkat selepas keadaan di Bakongan Raya dan Trumon Raya “mula stabil”.
Dalam kenyataan bertulis, Encik Mirwan berkata beliau sendiri telah turun padang meninjau keadaan mangsa.
“Daripada hasil koordinasi, keadaan waktu itu sudah terkawal, bermakna saya boleh pergi menunaikan umrah,” katanya seperti dipetik oleh kompas.com.
Tindakan Encik Mirwan turut mengundang reaksi politik.
Parti Gerindra memutuskan untuk memecat Encik Mirwan daripada jawatannya sebagai ketua parti di Aceh Selatan.
Setiausaha Agung Gerindra, Encik Sugiono, berkata: “Kami amat kesal dengan sikap dan kepimpinan beliau.
Justeru, parti memutuskan untuk menyingkirkan beliau daripada posisi ketua cabang Aceh Selatan.”
Jurucakap pemerintah Aceh, Encik Muhammad MTA, berkata permohonan Encik Mirwan untuk keluar negeri dibuat pada 24 November, tetapi ditolak atas alasan bencana meluas di Aceh.
“Gabenor telah mengeluarkan surat rasmi pada 28 November menyatakan permohonan itu tidak boleh diluluskan,” katanya.
Beliau menegaskan bahawa Gabenor Muzakkir Manaf kini berada di lapangan menyelaras operasi penyelamatan dan pusat kawalan bencana.
Foto Encik Mirwan dan keluarganya di Makkah yang tular minggu ini mencetuskan kemarahan ramai pengguna media sosial yang menuduh beliau mengabaikan rakyatnya ketika 11 kecamatan ditenggelami banjir.
Bencana banjir dan tanah runtuh di Aceh telah menyebabkan 345 kematian dan 174 lagi masih hilang, menurut laporan kerajaan setakat ini. Ribuan rumah dan kemudahan awam turut musnah. – Agensi berita.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg