JAKARTA: Banjir dan tanah runtuh akibat hujan lebat di wilayah Sumatera Utara, Indonesia, telah meragut sekurang-kurangnya 28 nyawa setakat 27 November.
Menurut pegawai, usaha menyelamat terhalang ekoran terputus sepenuhnya laluan jalan raya dan saluran komunikasi.
Taufan tropika yang jarang berlaku telah membadai pulau Sumatera, mengakibatkan kawasan berhampiran Selat Melaka ditenggelami air serta mencetuskan malapetaka banjir dan tanah runtuh.
Demikian menurut agensi meteorologi pada 26 November.
Ketika ini, sebahagian besar Asia Tenggara berdepan banjir yang meragut banyak nyawa.
Seramai 10 orang lagi masih hilang, kata jurucakap agensi pengurusan bencana negara, Encik Abdul Muhari, pada 27 November.
Kira-kira 8,000 penduduk di seluruh Sumatera Utara telah dipindahkan, dan jalan masih terhalang oleh runtuhan tanah.
Bantuan dan logistik kini terpaksa dihantar menggunakan helikopter, kata Encik Abdul.
Kawasan Sibolga dan Tapanuli Tengah merupakan antara yang paling teruk terjejas, kata pegawai agensi di Sumatera Utara, Cik Yuyun Karseno, yang menambah, saluran komunikasi dan bekalan elektrik juga telah terputus.
“Sudah tidak ada jalan masuk, semuanya terputus sepenuhnya,” kata Cik Yuyun ketika ditanya mengenai usaha menyelamat.
“Sehingga kini kami masih tidak dapat berhubung dengan penduduk di Sibolga dan Tapanuli Tengah.”
Antara mangsa yang terkorban ialah sebuah keluarga di Tapanuli Tengah, lapor agensi mencari dan menyelamat Indonesia.
Satu video yang dikongsi saluran radio Elshinta di media sosial menunjukkan seorang individu membawa bayi dalam bekas plastik di atas bumbung rumah di Tapanuli Tengah.
Rakaman video dan foto yang dikongsi oleh agensi menunjukkan arus deras melimpah ke seluruh kawasan itu dan menghancurkan bangunan di laluannya.
Sementara itu, penyelamat menggunakan bot getah berwarna oren untuk mengunjungi rumah-rumah penduduk yang dinaiki air.
Banjir turut menjejaskan wilayah Sumatera Barat dan Aceh, kata pihak berkuasa.
Risiko banjir meningkat di beberapa wilayah Sumatera lain, termasuk Aceh dan Riau, dalam dua hari akan datang, ujar agensi meteorologi, merujuk kepada cuaca yang kian membimbangkan.
Banjir di Indonesia merupakan salah satu daripada siri bencana cuaca yang melanda Asia Tenggara minggu ini.
Lebih 30 orang maut akibat banjir di Thailand dan Malaysia, dengan paras air cukup tinggi untuk menenggelamkan hospital. – Reuters.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg