Topik diikuti
Pergi ke BHkuKrisis minyak sejagat paksa Indonesia nilai semula subsidi bahan api
Krisis minyak sejagat paksa Indonesia nilai semula subsidi bahan api
Krisis minyak sejagat paksa Indonesia nilai semula subsidi bahan api
JAKARTA: Keputusan pemerintah Indonesia menaikkan harga Pertamax, petrol tanpa subsidi paling popular di negara itu, dilihat sebagai langkah sukar tetapi penting untuk mengurangkan tekanan fiskal selepas beberapa bulan menanggung lonjakan harga minyak dunia susulan konflik Amerika Syarikat-Israel dengan Iran serta ketegangan di Selat Hormuz.
Walaupun kenaikan itu dijangka membantu kedudukan kewangan negara dalam jangka pendek, ramai penganalisis percaya ia turut membuka ruang kepada reformasi lebih besar terhadap sistem subsidi bahan api yang sekian lama dianggap tidak tepat sasaran.
PT Pertamina Patra Niaga pada 10 Jun lalu menaikkan harga Pertamax (RON 92) daripada 12,300 rupiah ($0.89) kepada 16,250 rupiah seliter, manakala Pertamax Green (RON 95) naik kepada 17,000 rupiah seliter.
Langkah itu dibuat selepas pemerintah selama berbulan-bulan menangguhkan kenaikan harga walaupun harga minyak sejagat melonjak akibat gangguan penghantaran minyak melalui Selat Hormuz.
Anggota Majlis Tenaga Nasional (DEN), Dr Satya Widya Yudha, berkata pelarasan itu perlu dilakukan bagi memulihkan mekanisme harga pasaran untuk bahan api tanpa subsidi.
“Pemerintah sebelum ini banyak menyerap kenaikan kos tenaga. Pelarasan ini diperlukan supaya beban fiskal tidak terus meningkat,” katanya.
Namun, kesan segera kenaikan itu mula dirasai apabila ramai pengguna beralih kepada Pertalite (RON 90) yang masih disubsidi dan dijual pada harga 10,000 rupiah seliter.
Perubahan tingkah laku pengguna itu menyebabkan permintaan terhadap Pertalite melonjak di beberapa wilayah sehingga mencetuskan barisan panjang di stesen minyak dan kekurangan bekalan sementara.
Pakar ekonomi menganggarkan jika peralihan besar-besaran itu berterusan, beban subsidi pemerintah boleh meningkat sehingga 19.5 trilion rupiah.
Keadaan itu sekali lagi memperlihatkan kelemahan struktur sistem subsidi bahan api Indonesia yang sejak sekian lama dikritik kerana lebih banyak dinikmati golongan berpendapatan tinggi berbanding rakyat miskin.
Menurut Bank Dunia, 20 peratus isi rumah terkaya menikmati lebih separuh manfaat subsidi bahan api kerana mereka memiliki lebih banyak kenderaan dan menggunakan lebih banyak petrol.
“Subsidi bahan api bersifat umum sangat mahal dan manfaatnya lebih tertumpu kepada golongan berpendapatan tinggi,” jelas Bank Dunia dalam laporan Prospek Ekonomi Indonesia.
Institusi itu turut menegaskan subsidi bahan api menelan kos sekitar 1.6 peratus daripada Hasil Kasar Dalam Negeri (GDP) Indonesia, tetapi hanya memberi bantuan terhad kepada golongan miskin.
Justeru, Bank Dunia terus menggesa Indonesia beralih kepada sistem bantuan lebih bersasar melalui pemindahan tunai langsung kepada isi rumah miskin.
Pakar ekonomi kanan, Encik Wijayanto Samirin, berkata Indonesia perlu meninggalkan pendekatan subsidi pukal yang menganggap semua rakyat memerlukan bantuan sama.
“Secara teknologi, Indonesia sebenarnya mampu melaksanakan sistem bantuan bersasar menggunakan pangkalan data digital dan pemindahan tunai terus kepada golongan layak,” katanya.
Ketua Eksekutif, Institut Reformasi Perkhidmatan Asasi (IESR), Encik Fabby Tumiwa, pula berkata matlamat asal subsidi bahan api adalah untuk memastikan rakyat miskin mendapat akses tenaga pada kos mampu milik.
“Masalahnya, sistem kawalan masih lemah. Akibatnya ramai pengguna berkemampuan turut menikmati subsidi,” katanya.
Walaupun begitu, ramai pemerhati melihat pemerintah Presiden Prabowo Subianto, kini cuba mengambil pendekatan lebih berhati-hati dengan memastikan sebarang pembaharuan subsidi disertai perlindungan sosial lebih kukuh.
Menteri Hal Ehwal Sosial, Encik Saifullah Yusuf, berkata pemerintah sedang meneliti kemungkinan menambah bantuan sosial atau meluaskan jumlah penerima bantuan bagi mengurangkan kesan kenaikan harga bahan api.
Pakar ekonomi turut mencadangkan pemerintah memperkukuh bantuan kepada pekerja sektor tidak formal, perusahaan mikro serta pengangkutan awam melalui bantuan tunai sementara dan kawalan harga makanan.
Dalam masa sama, ketegangan pasaran minyak sejagat mula menunjukkan tanda reda selepas Washington dan Teheran menandatangani Memorandum Persefahaman (MOU) pada 17 Jun lalu bagi melanjutkan gencatan senjata dan membuka rundingan damai selama 60 hari.
Selepas pengumuman itu, harga minyak Brent turun kepada sekitar AS$79.55 ($103) setong berbanding paras lebih tinggi ketika kemuncak konflik.
Agensi Tenaga Antarabangsa (IEA) sebelum ini melaporkan gangguan di Selat Hormuz semasa konflik menjejas penghantaran kira-kira 14 juta tong minyak sehari, berbanding sekitar 20 juta tong sehari dalam keadaan biasa.
Penganalisis percaya penurunan harga minyak dunia memberi ruang kepada Indonesia melaksanakan reformasi subsidi secara lebih tersusun tanpa tekanan mendadak terhadap pengguna.
Namun, cabaran terbesar bukan lagi sekadar harga minyak sejagat, tetapi persepsi masyarakat sendiri terhadap subsidi bahan api.
Pengarah Institut Dasar Awam Universiti Paramadina, Dr Muhamad Rosyid Jazuli, berkata subsidi bahan api selama puluhan tahun telah membentuk mentaliti bahawa petrol murah adalah “hak rakyat”, bukan bantuan pemerintah.
“Subsidi bahan api sudah menjadi seperti ketagihan. Masyarakat menganggap ia hak yang mesti diterima, sebab itu reformasi menjadi sukar,” katanya.
Pakar Ekonomi BRI Danareksa Sekuritas, Encik Ebenezer Mesotuho Harefa, pula berkata pemerintah perlu memastikan data penerima bantuan benar-benar tepat sebelum melaksanakan reformasi lebih besar.
Menurutnya, kelemahan pangkalan data dan amalan pilih kasih di peringkat akar umbi masih menyebabkan banyak bantuan tersasar kepada golongan tidak layak.
“Sebahagian besar subsidi dan bantuan sosial pemerintah masih mengalami ketirisan akibat masalah data dan pelaksanaan,” katanya.
Walaupun begitu, ramai pemerhati percaya krisis semasa sebenarnya membuka peluang kepada Indonesia untuk memperbaiki sistem subsidi secara lebih adil dan mampan.
Dengan harga minyak sejagat yang semakin stabil dan teknologi digital yang kian berkembang, pemerintah kini mempunyai ruang lebih luas untuk melaksanakan reformasi yang sebelum ini sukar disentuh.
Bagi banyak pihak, kenaikan Pertamax bukan sekadar isu harga petrol, bahkan titik penting untuk menentukan masa depan dasar subsidi Indonesia dalam era ekonomi baharu. – Agensi berita.
