Indonesia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Larangan eksport pasir laut Indonesia dikuat kuasa semula

Mahkamah Agung Indonesia arah pemerintah segera batalkan kebenaran yang ditandatangani pada Mei 2023
Jul 7, 2025 | 5:30 AM
eksport pasir, indonesia
Gambar menunjukkan kawasan tambakan laut di salah satu lokasi pesisir Indonesia yang dipercayai terjejas akibat kegiatan pengorekan pasir laut. - Foto INSTAGRAM #EKSPORTPASIRINDONESIA#

Keputusan terkini Mahkamah Agung, telah membatalkan peraturan kontroversi pemerintah pada 2023 yang sebelum ini menarik balik larangan eksport pasir laut yang telah berkuat kuasa selama 20 tahun.

Para aktivis menyambut baik keputusan itu, dan menyifatkannya sebagai satu tamparan hebat terhadap kegiatan pengorekan pasir laut yang berisiko tinggi merosakkan ekosistem marin kepulauan, mengancam kelangsungan pulau-pulau kecil, serta menjejas mata pencarian masyarakat setempat.

Mahkamah Agung pada 2 Jun memutuskan untuk memihak kepada pemohon, Encik Muhammad Taufiq, pensyarah undang-undang yang berpangkalan di Solo, Jawa Tengah, dan mengarahkan pemerintah agar segera membatalkan peraturan berkaitan pengurusan sedimen laut yang ditandatangani pada Mei 2023 oleh Presiden ketika itu, Encik Joko ‘Jokowi’ Widodo.

Peraturan tersebut didapati bertentangan dengan Undang-Undang Maritim 2014, khususnya Artikel 56 yang mewajibkan usaha melindungi dan memelihara ekosistem marin, serta tidak menyatakan pengorekan pasir laut secara komersial sebagai sebahagian daripada langkah perlindungan tersebut.

“Sehubungan itu, dasar untuk mengkomersialkan penggunaan sedimen, khususnya pasir laut, boleh dianggap sebagai pengabaian terhadap tanggungjawab pemerintah dalam melindungi dan memelihara kawasan pesisir serta alam sekitar laut,” demikian petikan keputusan Mahkamah Agung.

Encik Parid Ridwanuddin, Ketua Penyelidikan maritim di Yayasan Auriga Nusantara, sebuah kumpulan penyokong pemuliharaan alam sekitar, berkata keputusan tersebut jelas bertentangan dengan kebolehupayaan pemerintah yang mengatakan peraturan itu dikeluarkan bagi menjaga kesihatan laut dan mengurangkan pemendapan sedimen.

“Keputusan ini merupakan tamparan hebat terhadap hujah pemerintah.

“Mereka memiliki pemahaman yang kabur mengenai sedimen, yang dikatakan punca kelodak yang menutupi terumbu karang dan perlu dibersihkan, sedangkan sebahagian besar terbentuk secara semula jadi akibat letusan gunung berapi purba berskala besar,” katanya kepada Berita Harian (BH).

Kementerian Kelautan dan Perikanan sebelum ini menyatakan sekurang-kurangnya 66 syarikat telah melahirkan minat untuk memohon lesen bagi mengorek pasir laut di tujuh lokasi yang ditetapkan di perairan Kalimantan Timur, serta tiga pulau kecil termasuk Bintan di Laut Natuna Utara, dan di sepanjang Laut Jawa yang meliputi pantai di Jawa Barat, Jawa Tengah dan Jawa Timur.

Data daripada kementerian menunjukkan keseluruhan kawasan yang ditetapkan itu meliputi sekitar 5,888 kilometer persegi, yang mengandungi potensi pasir laut sebanyak 17.66 kilometer padu untuk dilombong dengan had kedalaman pengorekan tiga meter.

BH telah cuba menghubungi beberapa pegawai pemerintah untuk mengulas mengenainya, namun, tiada yang memberikan maklum balas ketika artikel ini diterbitkan.

Namun menurut portal berita Kompas.com pada 26 Jun, Menteri Kelautan dan Perikanan, Encik Sakti Wahyu Trenggono, berkata pemerintah akan mematuhi keputusan mahkamah, walaupun beliau masih belum membaca keputusan tersebut.

Encik Sakti, yang memegang jawatan yang sama semasa peraturan itu dikeluarkan dalam pentadbiran terdahulu, berkata pada Mei 2023 bahawa pengorekan pasir laut yang dibenarkan di bawah peraturan tersebut adalah perlu bagi memenuhi permintaan dalam negara yang besar.

Kegiatan tersebut dibenarkan selagi ia dikawal dan diukur dengan teliti bagi mengelakkan pengorekan haram di lokasi yang salah, yang boleh membahayakan ekosistem laut, ujarnya.

Pasir laut yang dikorek juga tidak akan dieksport melainkan keperluan dalam negara telah dipenuhi.

Pentadbiran Presiden Megawati Sukarnoputri mengeluarkan larangan eksport pasir laut pada 2003, dan penggantinya, Presiden Susilo Bambang Yudhoyono, mengekalkan larangan tersebut sehingga ia ditarik balik oleh Presiden berikutnya, Encik Jokowi pada 15 Mei 2023.

Dalam mempertahankan keputusan pentadbirannya untuk menarik balik larangan itu, Encik Jokowi berhujah pada September 2024 bahawa pasir laut dan sedimen ialah dua perkara berbeza, dan pengorekan sedimen diperlukan kerana ia membentuk timbunan yang boleh menghalang laluan maritim.

“Sekali lagi, ia bukan pasir laut, tetapi sedimen, dan ia menghalang laluan laut,” katanya.

Menurut badan pemikir dasar Tenggara Strategies, Presiden Suharto mula membenarkan eksport pasir laut pada pertengahan 1970-an, terutama bagi memenuhi permintaan dari luar negara untuk projek penambakan darat.

Sebahagian besar pasir yang dieksport, dari 1976 hingga 2002 dengan bekalan tahunan sekitar 250 juta tan, dikorek dari pulau-pulau kecil di Kepulauan Riau mengakibatkan dakwaan kehilangan pulau-pulau tersebut.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg