JAKARTA: Ketika kos sara hidup terus meningkat dan kesedaran terhadap kelestarian semakin meluas, rancangan pemerintah Indonesia untuk memperketat larangan terhadap import pakaian terpakai mencetuskan perdebatan hangat dalam kalangan rakyat.
Langkah itu dilihat sebagai usaha melindungi industri tekstil tempatan yang kian merosot akibat lambakan pakaian murah dari luar negara.
Namun, pada masa sama menimbulkan kebimbangan terhadap nasib peniaga kecil dan pengguna berpendapatan rendah yang bergantung pada pasaran pakaian terpakai untuk keperluan harian.
Bagi penyokong dasar ini, sekatan terhadap pakaian import terpakai dianggap langkah penting untuk menyelamatkan industri tempatan dan peluang pekerjaan dalam sektor tekstil.
Namun, bagi sebahagian rakyat, larangan itu dilihat sebagai beban baru di tengah-tengah tekanan ekonomi dan peningkatan harga barangan.
Bagi mereka, pakaian terpakai bukan sekadar pilihan gaya hidup, malah keperluan ekonomi, satu-satunya cara untuk terus hidup dengan bermaruah dalam suasana ekonomi yang tidak menentu.
Pasar Senen di Jakarta Pusat sejak sekian lama menjadi pusat jual beli pakaian terpakai.
Ribuan pelanggan membanjiri lorong sempitnya setiap hari untuk mencari pakaian berjenama dari Jepun, Korea Selatan, bahkan Eropah dengan harga yang jauh lebih murah berbanding pakaian baru.
“Saya beli semua pakaian di sini, daripada kasut hingga jaket. Harganya murah dan masih elok dipakai,” kata Encik Al Ghifary, 24 tahun, lulusan baharu yang sudah lama menjadi peminat barangan terpakai atau ‘thrifting’.
Namun, bagi penjual seperti Encik Muhammad Dede Purnomo, 20 tahun, larangan baru itu ibarat tamparan keras.
“Kami sudah bina pelanggan setia selama bertahun-tahun. Kalau pemerintah betul-betul kuat kuasa larangan ini, ramai yang tak mampu beli pakaian lagi,” katanya kepada The Jakarta Post.
Encik Dede biasanya membeli satu guni pakaian seberat 150 kilogram daripada pembekal di Bandung pada harga antara 5 juta rupiah ($390) dengan 12 juta rupiah.
Keuntungan bulanannya sekitar dua juta rupiah – cukup untuk menampung keperluan asas.
Bagi pemerintah, langkah itu bukan sekadar isu perdagangan, malah strategi untuk memulihkan industri tekstil tempatan yang tenat akibat lambakan pakaian import murah.
Presiden Persekutuan Kesatuan Pekerja Muslim Indonesia (Sarbumusi), Encik Irham Ali Saifuddin, menyifatkan inisiatif Menteri Kewangan, Encik Purbaya Yudhi Sadewa, sebagai “langkah strategik dan lama tertangguh”.
“Kita sangat menghargai inisiatif ini. Industri tekstil negara sedang tenat, dengan gelombang pemberhentian kerja berpunca daripada banjiran pakaian terpakai import,” katanya ketika menghadiri acara Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO) di Jakarta, pada 29 Oktober 2025.
Beliau menegaskan bahawa larangan itu harus disertai dengan pelaburan baru dan dasar perindustrian semula untuk menghidupkan semula sektor berintensif buruh seperti tekstil dan kasut.
“Negara mesti bertindak strategik. Sektor pengilangan semakin merosot dan ini berita buruk untuk pekerja.
“Langkah menyeluruh amat diperlukan, bukan sekadar larangan separuh hati,” tambahnya.
Institut Penyelidikan Ekonomi dan Kewangan Indonesia (Indef) mengingatkan bahawa lebih 500,000 pekerja tekstil telah kehilangan pekerjaan akibat kehilangan pasaran kepada pakaian terpakai import.
Menurut Pengarah Eksekutif Indef, Cik Esther Sri Astuti, pengeluaran dalam negara kini kehilangan 15 peratus pegangan pasaran kerana kehadiran barangan terpakai murah.
“Bukan hanya kehilangan jualan, malah juga hasil cukai negara. Industri kecil dan sederhana terpaksa menutup operasi,” katanya.
Beliau menambah, kehilangan ekonomi dianggar mencecah 1 trilion rupiah ($78 juta) setahun.
“Selain melemahkan pasaran tempatan, lambakan itu menambah beban sisa tekstil negara.
“Dalam satu guni pakaian terpakai, hanya 20 peratus boleh dijual; selebihnya menjadi sampah yang mencemar alam,” katanya.
Kementerian Perdagangan Indonesia pada awal Oktober merampas lebih 19,000 guni pakaian terpakai dari 11 gudang di Jawa Barat bernilai lebih 112 bilion rupiah.
Menteri Perdagangan, Encik Budi Santoso, menegaskan bahawa pengedaran pakaian terpakai import adalah dilarang sepenuhnya di bawah Undang-Undang No. 7 Tahun 2014.
“Barangan ini mengancam industri tempatan dan membahayakan kesihatan awam,” katanya di Bandung.
Beliau menjelaskan bahawa penguatkuasaan dijalankan dengan kerjasama Agensi Risikan Negara (BIN), Polis Republik Indonesia (Polri), dan pemerintah tempatan.
“Kita akan terus bertindak tegas. Rakyat juga mesti berperanan memerangi barangan haram ini,” katanya.
Sementara itu, Ketua Jabatan Kastam dan Eksais, Encik Djaka Budhi Utama, mendedahkan kebanyakan barangan seludup datang dari Malaysia, melalui sempadan di Kalimantan dan Selat Melaka.
“Hampir semua penghantaran haram menembusi negara kita melalui Malaysia. Kami akan memperhebat operasi di pelabuhan dan sempadan,” katanya.
Namun, bagi ramai warga Jakarta, larangan itu membawa dilema lain antara kelangsungan hidup dengan kesedaran alam sekitar.
“Saya faham niat pemerintah mahu lindungi industri tempatan, tapi mereka lupa ramai rakyat beli pakaian terpakai kerana harga yang mampu milik,” kata Encik Ghifary, yang kini bekerja sambilan sambil menanggung pinjaman pelajar.
Dalam sebuah laporan Badan Pusat Statistik (BPS), perbelanjaan isi rumah di Jakarta kini purata 14 juta rupiah sebulan, menjadikan pakaian terpakai sebagai pilihan logik bagi golongan muda dan berpendapatan sederhana.
Sementara itu, pakar ekonomi Encik Bhima Yudhistira, Pengarah Eksekutif Pusat Kajian Ekonomi dan Undang-Undang (Celios), berkata tindakan keras terhadap pasaran terpakai perlu diimbangi dengan dasar yang realistik.
“Tidak cukup dengan larangan. Pemerintah mesti sediakan alternatif contohnya skim bantuan atau latihan kepada peniaga kecil yang terjejas,” katanya.
Encik Bhima menegaskan bahawa melarang tanpa mencipta pasaran baharu hanya akan menghapuskan sumber rezeki ribuan rakyat miskin bandar.
Dari sudut kesihatan awam, larangan itu ada asasnya.
Pakar dermatologi di Universiti Udayana, Dr I Gusti Nyoman Darmaputra, memberi amaran bahawa pakaian terpakai yang diimport tanpa proses pembersihan mikrob berisiko membawa bakteria, kulat, dan parasit.
“Kalau pakaian tidak dibersihkan secara mendalam, pemakai boleh terkena jangkitan kulit atau penyakit lain. Tapi larangan total bukan penyelesaian,” katanya.
Beliau mencadangkan pemantauan ketat dan standard kebersihan sebagai langkah lebih seimbang.
Penganalisis berpendapat pemerintah perlu melihat isu itu bukan sekadar melalui lensa sekatan, bahkan sebagai peluang untuk membina ekonomi hijau berasaskan fesyen lestari.
Di negara maju seperti United Kingdom, platform seperti, Depop dan ThredUp, di Amerika Syarikat membuktikan jual beli pakaian terpakai boleh menjadi industri sah dan mampan.
“Jika diuruskan dengan baik, kesedaran terhadap fesyen lestari dalam kalangan Gen Z Indonesia boleh melahirkan perniagaan baharu yang hijau dan beretika,” ujar Encik Bhima.
Beliau mencadangkan penubuhan ‘perpustakaan fesyen’ atau pasaran dalam talian tempatan yang menjual barangan preloved hasil kitar semula domestik, bukan import.
Langkah itu, katanya, bukan sahaja melindungi industri tekstil tempatan malah mewujudkan pekerjaan hijau dan mengurangkan pencemaran.
Rancangan pemerintah untuk menghentikan import pakaian terpakai bukanlah soal kecil antara undang-undang dengan ekonomi semata-mata.
Ia adalah ujian terhadap keupayaan Indonesia menyeimbangkan perlindungan industri tempatan dengan realiti sosial dan alam sekitar.
Dalam dunia yang semakin sedar tentang kelestarian, masa depan thrifting di Indonesia bergantung kepada sejauh manakah pemerintah mampu mengubah larangan menjadi peluang, daripada ekonomi murahan kepada ekonomi hijau yang berdaya tahan dan terangkum. – Agensi berita.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg