MAGELANG (Jawa Tengah): Sebuah kem latihan rahat ‘glamping’, atau perkhemahan mewah, selama seminggu bagi lebih 500 pemimpin wilayah mencetuskan perdebatan hangat di Indonesia.
Glamping ialah akronim perkataan ‘glamour’ dan ‘camping’ yang membawa maksud percutian berkonsep kegiatan perkhemahan yang selesa dan mewah.
Kem di Akademi Tentera Magelang, Jawa Tengah, dari 21 hingga 28 Februari itu menghimpunkan 503 ahli politik, termasuk gabenor, wali kota (datuk bandar) dan bupati (ketua daerah), dan berkonsep ketenteraan.
Ia berlangsung di lokasi sama barisan menteri Kabinet Presiden Prabowo Subianto yang baru dilantik menginap dalam program perkhemahan mewah pada Oktober 2024, yang turut beliau sertai.
Namun, acara itu menimbulkan kritikan kerana diadakan pada masa pemotongan belanjawan besar-besaran oleh pemerintah.
Kritikan timbul sedang Encik Prabowo mengurangkan belanjawan kementerian, setelah beliau mengarahkan pemotongan 306.7 trilion rupiah ($25.3 bilion) pada Januari.
Kem itu bertujuan melatih pemimpin wilayah mengenai tadbir urus baik; penambahbaikan perkhidmatan awam; membina persefahaman; serta kerjasama antara pemimpin.
Menurut jurucakap presiden, Encik Hariqo Wibawa Satria, latihan itu sebahagian daripada usaha Encik Prabowo dalam memastikan penyelarasan antara kepimpinan pusat dengan wilayah.
“Latihan ini lebih ringkas berbanding sebelumnya, yang mengambil masa satu setengah bulan dan melibatkan dua institusi berasingan.
“Sekarang, ia disusun agar lebih menjimatkan kos,” kata Encik Hariqo.
Ia juga melibatkan kegiatan kawad, taklimat mengenai dasar nasional, dan pembentangan ‘Asta Cita’ – lapan matlamat utama Encik Prabowo yang merangkumi ideologi negara, keselamatan makanan dan tenaga serta usaha menghapus kemiskinan.
Naib Presiden, Encik Gibran Rakabuming Raka, dalam ucapannya menekankan kepentingan penyelarasan agenda nasional pada peringkat tempatan.
“Kita mesti bekerjasama dan memantau pelaksanaan dasar ini bersama-sama,” katanya.
Selain itu, mantan presiden, Encik Susilo Bambang Yudhoyono, memberi taklimat kepada pemimpin wilayah, berkongsi pengalaman mengenai selok-belok pentadbiran pemerintah.
“Pemimpin perlu memahami asas tadbir urus yang cekap, berintegriti, dan bertanggungjawab kepada rakyat,” katanya dalam sesi tersebut.
“Ketua daerah menjalani latihan berkaitan tadbir urus baik, penambahbaikan perkhidmatan awam dan menjalin keserasian,” ujar Encik Bambang.
Kem itu menelan belanja 13.2 bilion rupiah yang diperuntukkan daripada belanjawan Kementerian Dalam Negeri.
Perbelanjaan itu mencetuskan kemarahan netizen dan menerima kritikan badan bukan pemerintah (NGO) serta badan pemantau kewangan yang mempersoal keperluan mengadakannya pada saat pemerintah mengarahkan pemotongan belanjawan.
“Apa keperluannya? Kenapa mesti ‘glamping’ bersama pegawai? Kenapa tidak memilih kaedah latihan lebih murah?” soal seorang pengguna di platform media sosial X.
Badan pemantau Ketelusan Antarabangsa Indonesia menyifatkan pemotongan belanjawan Encik Prabowo “tidak selari dengan keperluan rakyat” dan “tidak peka” pada beban kewangan negara.
Encik Prabowo mempertahankan keputusan itu dengan menyatakan program itu bukan satu pembaziran.
“Penjimatan belanjawan tetap dilakukan, tetapi latihan kepimpinan juga perlu diteruskan,” ujar beliau.
Seorang penganalisis kewangan, Encik Rahmat Hidayat, dari Institut Kajian Fiskal Indonesia, berkata sebarang program kepimpinan harus mengambil kira keadaan ekonomi negara.
“Sekiranya terdapat keperluan untuk program seperti ini, mengapa tidak mencari alternatif yang lebih menjimatkan dan tetap berkesan?” katanya.
Satu lagi aspek yang menjadi perhatian ialah penggunaan unsur ketenteraan dalam latihan itu.
Peserta dikehendaki memakai pakaian celoreng, mengikuti latihan berkawad dan menyertai acara seperti perarakan yang turut dihadiri Encik Bambang dan mantan presiden, Encik Joko Widodo.
Imej dari kem itu yang memperlihatkan Encik Prabowo dan para menteri berpakaian tentera menimbulkan kebimbangan dalam kalangan aktivis hak asasi manusia, yang khuatir program itu boleh mengukuhkan kembali pengaruh tentera dalam pentadbiran awam Indonesia.
“Langkah ini seolah-olah menunjukkan kembalinya budaya autoritarian dengan tentera menguasai politik negara,” kata seorang pengamat politik Universiti Indonesia.
Sebagai bekas jeneral di bawah pemerintahan Suharto, Encik Prabowo sering dikaitkan dengan usaha mengembalikan pengaruh tentera dalam sistem demokrasi Indonesia.
Namun, penyokong beliau berkata pendekatan itu perlu untuk meningkatkan disiplin dan kecekapan pemimpin wilayah.
Seorang pegawai kanan pemerintah yang enggan dikenali berkata:
“Kem latihan ini bukan untuk menghidupkan semula pengaruh ketenteraan dalam politik, tetapi untuk menanam nilai kepimpinan dan kerja berpasukan.”
Kem itu juga berlangsung di tengah-tengah ketegangan antara Encik Prabowo dengan pengerusi Parti Demokrasi Indonesia Perjuangan (PDI-P), Cik Megawati Sukarnoputri, yang mengarahkan 97 pemimpin wilayah daripada partinya menangguhkan penyertaan mereka dalam kem itu.
Tindakan Cik Megawati sebagai bantahan terhadap penahanan setiausaha agung PDI-P, Encik Hasto Kristiyanto, berkaitan satu kes rasuah.
Namun, sebahagian besar pemimpin PDI-P tetap menghadiri latihan itu, termasuk Gabenor Jakarta, Encik Pramono Anung.
“Ini menunjukkan hubungan antara PDI-P dengan Prabowo semakin tegang, walaupun parti itu pada dasarnya tidak menentang pentadbiran semasa,” kata seorang penganalisis politik Lembaga Penyelidikan Indonesia.
Menurut laporan, sekitar 450 daripada 503 pemimpin yang dijemput menghadiri kem itu, sementara 47 tidak hadir dan enggan memberikan sebarang maklum balas.
Encik Prabowo, yang hadir pada acara penutup pada hari terakhir kem itu, menandakan berakhirnya satu eksperimen kepimpinan yang mencetuskan perdebatan nasional.
Sama ada program itu benar-benar akan meningkatkan tadbir urus atau sekadar satu bentuk simbolisme politik masih menjadi persoalan.
Namun, bagi mereka yang mengkritik perbelanjaan besar bagi program itu di tengah-tengah pemotongan belanjawan, jawapan mungkin terletak pada kenyataan seorang netizen:
“Pemerintah bercakap tentang penjimatan belanjawan, tetapi dalam masa yang sama membelanjakan wang untuk kem mewah. Ini bukan tentang kepimpinan, ini tentang keutamaan.” – Agensi berita.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg