Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Saudi peruntuk 50 hektar tanah untuk Kampung Haji Indonesia

Dec 30, 2024 | 11:01 AM
Menteri Agama, Encik Nasaruddin Umar, mengadakan pertemuan dengan Duta Besar Arab Saudi, Encik Faisal Abdullah Al-Amudi, pada 19 November di Jakarta.
Menteri Agama, Encik Nasaruddin Umar, mengadakan pertemuan dengan Duta Besar Arab Saudi, Encik Faisal Abdullah Al-Amudi, pada 19 November di Jakarta. - Foto INSTAGRAM NASARUDDIN UMAR

JAKARTA: Kerajaan Arab Saudi dilaporkan telah menyediakan kawasan seluas 50 hektar bagi pembangunan Kampung Haji Indonesia.

Projek itu dijangka mempermudah urusan dan meningkatkan mutu layanan kepada jemaah haji serta umrah dari Indonesia.

Langkah itu juga turut mencerminkan hubungan erat antara kedua-dua negara dalam menguruskan keperluan ibadah berjuta-juta umat Islam dari Indonesia.

“Putera Mahkota Muhammad Bin Salman telah menyerahkan tanah seluas 50 hektar dengan konsesi selama 100 tahun,” kata Wakil Menteri Agama Indonesia, Encik Romo HR Muhammad Syafi’i, semasa sidang media di Jakarta, seperti dilaporkan oleh Antara pada 29 Disember.

Encik Romo menjelaskan bahawa idea itu timbul susulan keprihatinan Presiden Prabowo Subianto terhadap mutu layanan yang diterima oleh jemaah haji Indonesia.

“Ramai anggota jemaah telah menabung bertahun-tahun untuk melaksanakan ibadah haji, namun layanan yang mereka terima sering kali tidak memuaskan,” katanya.

Beliau menambah bahawa Encik Prabowo bercadang membina Kampung Haji Indonesia yang mempunyai kemudahan lengkap, termasuk penginapan moden, pusat kesihatan, dan kawasan ibadah eksklusif.

“Presiden mahu jemaah berasa lebih selesa dan dapat menjalankan ibadah mereka dengan tenang,” tambah Encik Romo.

Menteri Agama, Encik Nasaruddin Umar, menambah respons daripada kerajaan Arab Saudi terhadap cadangan itu amat positif.

Beliau menyatakan bahawa kampung tersebut bukan sahaja akan memanfaatkan jemaah haji, malah jemaah umrah.

“Ini adalah langkah yang lebih cekap dalam jangka panjang kerana ia melibatkan jutaan umat Islam dari Indonesia setiap tahun,” ujar beliau.

Menurut Encik Nasaruddin, pembincangan lanjut mengenai pembangunan kampung itu akan diteruskan selepas musim haji 2025.

“Ini adalah keutamaan kerana ia berkaitan dengan keselesaan ribuan anggota jemaah setiap tahun,” katanya di Istana Presiden Jakarta.

Kementerian Agama Indonesia turut memberi perhatian kepada kos ibadah haji yang semakin meningkat sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

Menteri Agama menyatakan bahawa usaha sedang dijalankan untuk mengurangkan kos tanpa menjejas mutu layanan.

“Presiden memberi arahan supaya pengurusan kos dibuat dengan lebih berkesan, termasuk mencari alternatif penerbangan dan mengurangkan tempoh tinggal di Arab Saudi,” jelas Encik Nasaruddin. – Agensi berita.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg