BOGOR: Di tengah-tengah cadangan Presiden Amerika Syarikat Donald Trump untuk memindahkan penduduk Gaza ke Mesir dan Jordan, Indonesia dan Turkey tampil menegaskan semula sokongan mereka terhadap Palestin yang merdeka.
Ia termasuk penyelesaian dua negara sebagai satu-satunya jalan yang boleh dilaksanakan untuk keamanan di Timur Tengah.
“Tidak mungkin mana-mana negara di Timur Tengah boleh mencapai kestabilan sehinggalah rakyat Palestin menikmati keamanan,” kata Presiden Turkey, Encik Recep Tayyip Erdogan.
Beliau menyatakan demikian selepas mengadakan pertemuan dengan Presiden Prabowo Subianto, pada 12 Februari.
Encik Erdogan turut menyatakan Ankara berhasrat menjalin kerjasama dengan Jakarta untuk membina semula Gaza dan memajukan perjuangan rakyat Palestin.
Beliau yang tiba di istana Bogor di Jawa Barat, menerima sambutan penuh istiadat melibatkan tembakan meriam dan perbarisan kadet tentera.
Lawatan beliau ke Indonesia adalah sempena menandakan tahun ke-75 hubungan Indonesia-Turkey.
Meskipun gencatan senjata antara Israel dengan Hamas telah dipersetujui pada awal 2025, prospek keamanan berkekalan untuk lebih dua juta penduduk Gaza kelihatan kabur.
Ini terutamanya selepas kenyataan Encik Trump mengenai rancangannya untuk mengambil alih Gaza dengan memindahkan secara paksa rakyat Palestin ke Mesir dan Jordan.
Encik Trump merancang mengubah Gaza menjadi kawasan peranginan tepi pantai atau ‘Riviera Timur Tengah’.
Cadangannya menyebabkan gelombang kejutan serta mencetuskan kecaman di seluruh dunia dan mendorong beberapa negara, termasuk Turkey, sebuah kuasa serantau yang semakin meningkat di Timur Tengah, mempergiat usaha antarabangsanya untuk berkempen demi perjuangan rakyat Palestin.
Lawatan Encik Erdogan ke Jakarta adalah dalam rangka kunjungan rasmi ke tiga negara.
Dua lagi ialah Malaysia dan Pakistan.
Selepas pertemuannya dengan Encik Prabowo, beliau berkata pihaknya akan “terus bekerjasama dengan Indonesia dalam usaha membina semula Gaza dan mempertahankan isu Palestin”.
“Izinkan saya menggariskan sekali lagi: Penubuhan sebuah negara Palestin yang berdaulat, wilayah menyeluruh, berdasarkan sempadan 1967, dengan al-Quds Timur sebagai ibu kotanya, tidak boleh ditangguhkan lagi,” tegas Encik Erdogan.
“Sebarang langkah, sebarang cadangan, apa-apa projek yang menghakis ini, pada pandangan kami, tidak sah dan bermakna lebih banyak konflik, lebih banyak pertumpahan darah dan ketidakstabilan,” sambungnya.
Encik Prabowo, sebaliknya, menekankan bahawa kedua-dua pemimpin berkongsi pandangan yang sama – “usaha untuk mencapai keamanan di Palestin adalah mencapai kemerdekaannya melalui penyelesaian dua negara”. – Agensi berita.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg