JAKARTA: Satu letupan berlaku di sebuah masjid dalam kompleks sekolah di ibu negara Indonesia, Jakarta, pada 7 November, menyebabkan beberapa orang cedera, lapor media tempatan.
Punca letupan itu masih belum dikenal pasti. Rakaman media menunjukkan unit khas polis berada di lokasi kejadian bagi mengawal keadaan.
Media tempatan melaporkan beberapa individu mengalami kecederaan dengan jumlah yang berbeza-beza dan sebahagian daripada mereka telah dibawa ke hospital. Reuters tidak dapat mengesahkan bilangan mangsa yang terlibat secara bebas.
Polis Jakarta belum memberikan sebarang kenyataan rasmi berhubung kejadian itu, manakala pejabat datuk bandar, polis daerah dan polis nasional juga belum dapat dihubungi untuk mendapatkan maklumat lanjut.
Saluran berita KompasTV dan MetroTV menyiarkan rakaman kawasan sekolah yang ditutup dengan pita polis, dengan ambulans bersiap sedia berhampiran lokasi. Gambar yang disiarkan menunjukkan tiada kerosakan besar pada bangunan masjid tersebut. - REUTERS


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg