JAKARTA: Kebebasan media di Indonesia kembali menjadi perhatian selepas majalah penyiasatan terkenal, Tempo, menerima dua bungkusan berisi bangkai haiwan yang dikerat dalam tempoh tiga hari — satu insiden yang dilabel sebagai cubaan mengugut wartawan.
Tempo, yang terkenal dengan laporan penyiasatan kritikal dan pernah dua kali diharamkan semasa era pemerintahan autoritarian Indonesia, melaporkan bahawa mereka menerima kepala khinzir pada 19 Mac, diikuti enam ekor tikus tanpa kepala pada 22 Mac.
Dalam kenyataan pada 24 Mac, pihak majalah mengesahkan tiada sebarang mesej mahupun pihak yang mengaku bertanggungjawab disertakan bersama bungkusan tersebut.
“Perbuatan ini sangat menakutkan. Ini bukan sekadar ugutan kepada Tempo, tetapi kepada semua wartawan di Indonesia,” kata Timbalan Ketua Pengarang Tempo, Encik Bagja Hidayat, kepada Reuters.
Encik Bagja turut mendedahkan bahawa selepas kejadian pertama, pihaknya menerima mesej di akaun Instagram yang menyatakan bahawa “pengganasan tidak akan berhenti”.
Ketua Pengarang Tempo, Encik Setri Yasra, pula berkata bahawa insiden itu telah dilaporkan kepada Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Komnas HAM), namun mereka tidak menuduh mana-mana pihak tertentu sebagai dalang kerana majalah itu sering menerbitkan pelbagai penyiasatan kritikal.
“Kami tidak menuduh sesiapa secara khusus. Hampir setiap minggu, kami siarkan laporan yang mengkritik institusi berkuasa. Ini boleh datang dari mana-mana pihak yang terganggu dengan pendedahan kami,” ujar Encik Setri.
Susulan insiden itu, beberapa kumpulan kebebasan media dan hak asasi seperti Amnesti Antarabangsa, Gabungan Wartawan Bebas (AJI) dan Jawatankuasa Melindungi Wartawan (CPJ) tampil mengutuk perbuatan tersebut dan menuntut siasatan polis dijalankan dengan segera.
“Ini adalah bentuk ancaman yang disengajakan terhadap media bebas. Tempo dikenali di peringkat antarabangsa kerana keberaniannya. Taktik autoritarian seperti ini tidak seharusnya berlaku di Indonesia,” kata Encik Beh Lih Yi, Penyelaras Program Asia bagi CPJ.
Beliau turut mendesak agar Presiden Prabowo Subianto secara terbuka mengecam insiden itu dan menyatakan komitmen terhadap kebebasan media.
Sementara itu, jurucakap pejabat Presiden Prabowo, Encik Hasan Nasbi, menegaskan bahawa pemenrintah komited terhadap kebebasan media dan menafikan wujudnya sebarang bentuk penapisan media di Indonesia.
Namun begitu, Encik Hasan turut dikecam minggu lalu apabila secara berseloroh menyatakan bahawa Tempo patut “memasak kepala babi” yang diterima — satu kenyataan yang mencetuskan kemarahan di media sosial kerana dianggap memperlekehkan ancaman sebenar terhadap keselamatan wartawan.
Pihak polis nasional belum memberikan kenyataan rasmi pada 24 Mac, namun media tempatan memetik seorang pegawai kanan polis pada 23 Mac yang berkata bahawa siasatan sedang dijalankan.
“Kami tidak akan berhenti melaporkan kebenaran, walaupun berdepan ugutan seperti ini. Kami percaya masyarakat berhak tahu, dan kebebasan media tidak boleh diganggu dengan taktik-taktik menakutkan,” tegas Encik Setri. - Reuters
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg