JAKARTA: Majlis Ulama Indonesia (MUI) menggesa pemerintah agar mengawal selia penggunaan sistem bunyi horeg selepas fatwa mengharamkannya tersebar di media sosial.
Video beserta fatwa tersebut menunjukkan penduduk mengadu tingkap pecah dan bumbung rosak, disebabkan oleh getaran kuat daripada perarakan yang menggunakan sistem horeg melintasi kawasan rumah mereka.
Encik Muzahidin, yang menjalankan perniagaan sistem bunyi “horeg” di Studio Brewog, di Blitar, berkata populariti “horeg” telah dipertingkatkan oleh media sosial yang mendapati ia berfungsi sebagai cara untuk penduduk kampung berhibur.
Cawangan MUI di Jawa Timur baru-baru ini mengeluarkan fatwa mengharamkan sitem bunyi tersebut dan menggesa pemerintah supaya mengawal selia penggunaannya.
Horeg, yang bermaksud “bergerak” atau “bergetar” dalam bahasa Jawa, merujuk kepada amalan menyusun pembesar suara yang besar untuk menghasilkan muzik dengan bunyi bass yang kuat sehingga boleh menggoncang dinding, memecahkan tingkap dan juga menurunkan bumbung.
Akibat masalah yang ditimbulkan itu, Ketua Bahagian Fatwa MUI, Encik Asrorun Niam, telah menyeru pemerintah mengeluarkan peraturan untuk mengawal penggunaan sistem bunyi horeg.
Menurutnya, sistem bunyi tersebut mengganggu ketenteraman dan kesejahteraan masyarakat.
“Ramai penduduk telah melaporkan gangguan serius yang disebabkan oleh sistem bunyi ini, termasuk kerosakan pada rumah mereka dan tingkap pecah akibat muzik gemuruh.
“Paras hingar daripada horeg juga melebihi paras bunyi yang disyorkan oleh pakar kesihatan.
“Jangan biarkan amalan ini berterusan tanpa kawalan semata-mata atas sebab ekonomi, lebih-lebih lagi apabila ramai yang terjejas kerananya,” tambah Encik Asrorun.
Horeg telah menjadi satu bentuk hiburan biasa semasa acara kampung, perhimpunan agama, perkahwinan dan perayaan lain sejak seawal 2000-an.
Penganjur acara sering memasang timbunan pembesar suara yang menjulang tinggi pada trak untuk perarakan dan juga di atas bot.
Dalam beberapa tahun kebelakangan ini, kumpulan-kumpulan bersaing untuk melantunkan audio paling kuat sehingga menarik ribuan penonton.
Bagaimanapun, apabila amalan itu semakin popular, semakin ramai penduduk telah menyuarakan kebimbangan mengenai pencemaran bunyi yang disebabkan oleh sistem bunyi horeg, terutamanya terhadap warga emas, kanak-kanak dan mereka yang mempunyai masalah kesihatan.
Susulan fatwa tersebut, beberapa wilayah di Jawa Timur dan Jawa Tengah telah mengeluarkan surat pekeliling yang melarang amalan tersebut. Antaranya Trenggalek, Magetan, Madiun, Malang, Mojokerto, Pati, Sampang dan Blitar.
Gabenor Jawa Timur, Cik Khofifah Indar Parawansa berkata pentadbirannya akan menyiapkan peraturan berkaitaan penggunaan horeg. - Agensi berita
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg