Majlis perkahwinan adalah saat yang paling dinanti-nantikan keluarga tercinta dan sahabat handai sebagai tanda penyatuan dua hati.
Namun, di Indonesia, perkahwinan bukan hanya menyatukan dua jiwa, malah turut melambangkan kedudukan sosial, kemewahan dan warisan budaya.
Dalam dunia hiburan, artis terkenal sering membawa takrif, ‘Wedding of the Year’ ke tahap yang lebih tinggi dengan majlis perkahwinan mewah yang menjadi perbualan hangat netizen.
Daripada busana mewah hingga hiasan yang memukau, fenomena itu mencerminkan perpaduan seni, budaya dan gaya hidup glamor, melebihi sekadar cinta.
Saya turut perhatikan bahawa perkahwinan artis sering dirancang sebagai pengalaman sinematik.
Sebagai contoh, perkahwinan pasangan selebriti, Raffi Ahmad dan Nagita Slavina, pada 2014, berlangsung dengan megah di pelbagai lokasi eksklusif di sekitar Jakarta, Bandung dan Bali, termasuk hotel lima bintang.
Bahkan, majlis penuh bahagia itu turut menjadi sorotan media dan disiarkan secara langsung di televisyen di Indonesia, pada ketika itu.
Trend ‘destination wedding’ (majlis kahwin di luar tempat tinggal) dalam kalangan artis di Indonesia kemudian menjadi lebih popular, susulan keunikan majlis pasangan selebriti itu.
Tidak hairanlah majlis itu diberi gelaran ‘Wedding of the Year’ dan masih menjadi topik hangat di media sosial hingga kini.
Akhir-akhir ini, saya tidak dapat tidak turut tertarik dengan berita perkahwinan anak sulung penggubah lagu dan penyanyi rok, Ahmad Dhani iaitu, Ahmad Al Ghazali, dengan Alyssa Daguise, seorang peragawati kacukan Perancis-Indonesia.
Pasangan merpati dua sejoli itu sah menjadi suami isteri dalam majlis akad nikah pada 16 Jun yang berlangsung di The St Regis, Jakarta, dihadiri keluarga dan kerabat terdekat.
Tampil anggun dengan busana tradisional Sunda, Al Ghazali memberikan Alyssa bar emas seberat 16.6 gram, perak, serta wang tunai sekitar 2,025 euro ($3,019) sebagai mahar.
Yang buat saya tersentuh ialah bagaimana perkahwinan itu menjadi titik temu antara Ahmad Dhani dengan bekas isterinya, Maia Estianty, yang juga mantan anggota kumpulan Ratu.
Walaupun telah lama berpisah, mereka mampu mengetepikan sejarah lama demi meraikan hari penuh bahagia bagi anakanda tercinta.
Sikap matang dan hormat sebegini benar-benar memberi inspirasi.
Tentunya, saya tidak terkejut apabila Dewa 19, band legenda yang turut membesarkan nama Ahmad Dhani, tampil menghiburkan di acara ‘ngunduh mantu’ (majlis sambut menantu) dalam adat Jawa, yang berlangsung di Pusat Konvensyen Jakarta (JCC), pada 19 Jun.
Dewa 19 tampil memukau dengan susunan istimewa, menghadirkan dua vokalis mereka iaitu, Ari Lasso dan Virzha.
Suasana dewan terus bergema ketika Ari membawakan lagu, Cintakan Membawamu Kembali, lantas membuat tetamu larut dalam kehangatan romantik, sambil mengimbau nostalgia.
Gayanya sudah macam konsert dalam majlis pernikahan!
Tidak sekadar pesta glamor, majlis perkahwinan para artis Indonesia masih mengekalkan nilai kekeluargaan dan kekayaan adat, khususnya detik ucapan restu penuh emosi daripada ibu bapa.
Saya sendiri terharu mendengar ucapan Maia kepada anaknya, Al Ghazali, mengingatkan saya tentang kasih sayang seorang ibu, yang terus mekar walau keadaan sudah berubah warna.
Sambil bergenangan air mata, beliau berkata: “Bonda (panggilan untuk Maia) ikhlas melepaskanmu, bukan tidak ingin bersamamu lagi tetapi kerana cinta ini harus memberi sayap, bukan rantai.”
Inilah sisi perkahwinan artis yang sering kali membuat saya sebak dan mudah tersentuh hati.
Di sebalik kehidupan yang sentiasa menjadi sorotan kamera dan liputan media, mereka (artis) juga hanyalah manusia biasa yang melalui perjalanan hidup yang mematangkan diri dan ingin rasakan kebahagiaan.
Seterusnya, apalagi yang boleh kita teroka dalam pernikahan artis terkenal?
Siaran langsung perkahwinan yang ditonton oleh jutaan peminat kini sudah menjadi norma.
Mungkin, di masa depan, elemen teknologi seperti realiti maya (VR) dan realiti terimbuh (AR) akan menambah dimensi baru kepada majlis perkahwinan artis di dunia hiburan, membawa pengalaman yang lebih mendalam kepada tetamu fizikal dan juga di alam maya.
“
Di sebalik kehidupan yang sentiasa menjadi sorotan kamera dan liputan media, mereka (artis) juga hanyalah manusia biasa yang melalui perjalanan hidup yang mematangkan diri dan ingin rasakan kebahagiaan.Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg