Majlis Ulama Indonesia kecam persembahan dangdut di majlis Israk Mikraj
Majlis Ulama Indonesia kecam persembahan dangdut di majlis Israk Mikraj
JAKARTA: Sebuah video yang memaparkan seorang biduanita berjoget dangdut di atas pentas sempena majlis memperingati Israk Mikraj di Desa Parangharjo daerah Bayuwangi di Jawa Timur pada 16 Januari lalu telah tular di media sosial dan mencetuskan polemik meluas dalam kalangan masyarakat.
Rakaman itu menimbulkan persoalan mengenai batas kewajaran dalam penganjuran acara keagamaan, khususnya apabila unsur hiburan dilihat tidak seiring dengan sifat suci dan nilai keagamaan majlis tersebut.
Video berkenaan menunjukkan seorang biduanita berpakaian hitam menari di atas pentas yang masih dihiasi perhiasan memperingati peristiwa Israk Mikraj. Aksi tersebut mengundang kecaman pelbagai pihak kerana dianggap tidak sesuai dilakukan dalam konteks program keagamaan, walaupun ia dikatakan berlangsung selepas acara utama selesai.
Majlis Ulama Indonesia (MUI) Banyuwangi tampil menyuarakan kecaman keras, dengan menegaskan bahawa peristiwa itu telah mencalar nilai dakwah Islam dan sensitiviti umat. “Peristiwa ini amat kami kesalkan. Keluhuran dakwah Islam tercemar oleh tindakan yang tidak mencerminkan nilai-nilai Islam,” kata Wakil Ketua Umum Dewan Pimpinan MUI Banyuwangi, Encik Sunandi Zubaidi, dalam satu kenyataan.
Menurut beliau, acara keagamaan yang berunsur ibadah seperti Israk Mikraj tidak wajar dicampur adukkan dengan aktiviti hiburan yang boleh membawa kepada unsur kemaksiatan. MUI turut mengingatkan bahawa peristiwa Israk Mikraj mempunyai makna besar dalam memperkukuh akidah dan akhlak umat Islam.
“Perbuatan mulia seperti memperingati Israk Mikraj tidak sepatutnya digabungkan dengan aktiviti yang mengarah kepada kemaksiatan, termasuk pendedahan aurat, tarian yang tidak sopan dan pergaulan bebas,” katanya. Encik Sunandi menambah, tindakan sedemikian berpotensi disifatkan sebagai satu bentuk penghinaan agama sekiranya tidak dibendung.
Susulan kejadian itu, MUI Banyuwangi memaklumkan pihaknya sedang bekerjasama dengan pihak polis bagi mendapatkan penjelasan lanjut daripada penganjur acara, selain mengambil langkah pencegahan agar insiden seumpama itu tidak berulang pada masa hadapan.
Ketua jawatankuasa penganjur memperingati peristiwa Israk Mikraj Desa Parangharjo, Encik Hadiyanto, mengesahkan bahawa persembahan hiburan berkenaan memang berlaku, namun menegaskan ia diadakan selepas acara utama selesai.
“Hiburan yang menampilkan biduanita itu memang benar. Namun, ia berlangsung selepas acara Israk Mikraj berakhir dan ketika semua tetamu termasuk para kiai dan jemputan rasmi sudah beredar,” katanya kepada media pada 17 Januari.
Menurut Encik Hadiyanto, persembahan tersebut merupakan inisiatif spontan jawatankuasa penganjur dan hanya ditujukan untuk kegunaan pihak penganjur sendiri. Beliau mengakui pihak penganjur kurang mengambil kira implikasi simbolik penggunaan pentas serta atur hias yang masih berkait rapat dengan acara keagamaan.
Berikutan reaksi keras masyarakat, jawatankuasa penganjur telah memohon maaf secara terbuka melalui satu rakaman video penjelasan yang dibuat di balai polis tempatan pada malam 16 Januari. Dalam penjelasan itu, jawatankuasa penganjur mengakui kelemahan dalam membuat pertimbangan dan berjanji akan lebih berhati-hati pada masa depan.
Isu ini turut menarik perhatian ahli Parlimen Indonesia. Timbalan Pengerusi Suruhanjaya VIII Dewan Perwakilan Rakyat (DPR) Encik Singgih Januratmoko, menegaskan bahawa polemik tersebut tidak boleh dianggap sebagai perkara kecil atau sekadar kesilapan teknikal penganjur.
“Polemik penampilan biduanita yang berjoget di pentas memperingati peristiwa Israk Mikraj di Banyuwangi tidak wajar dipandang remeh,” katanya kepada wartawan. “Ia menyentuh persoalan yang lebih mendasar, iaitu bagaimana masyarakat menjaga kesucian ajaran agama dan pada masa yang sama memelihara sensitiviti sosial dalam kehidupan berbangsa.”
Menurut Encik Singgih, Israk Mikraj merupakan peristiwa suci dalam Islam yang menegaskan kedudukan solat, pembentukan akhlak serta ketaatan kepada Allah swt. Menurutnya peristiwa Israk Mikraj bukan sekadar acara tahunan, tetapi berfungsi sebagai wadah pendidikan rohani yang membimbing dan memperkukuh kefahaman umat.
“Setiap aktiviti yang dikaitkan dengan peristiwa Israk Mikraj seharusnya mencerminkan adab, tatasusila dan penghormatan terhadap simbol-simbol agama,” katanya. Beliau turut menolak hujah bahawa hiburan tersebut diadakan selepas acara utama sebagai alasan untuk menutup isu berkenaan.
“Dalam perspektif keagamaan, ruang, simbol dan konteks mempunyai makna yang tidak boleh dipisahkan. “Apabila hiburan yang tidak selari dengan nilai kesopanan Islam berlangsung di pentas dan ruang yang sama, garis pemisah antara kesucian majlis keagamaan dan hiburan biasa menjadi semakin kabur,” jelasnya.
Keadaan inilah, menurut Encik Singgih, yang menimbulkan kegelisahan dalam kalangan umat Islam. Beliau melihat insiden tersebut sebagai petanda lemahnya sensitiviti sosial dalam memahami realiti masyarakat Indonesia yang beragama dan bersifat majmuk. - Agensi berita

