Lirik sensasi sekadar buru kontroversi tanpa fikir adab, harga diri?

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Lirik sensasi sekadar buru kontroversi tanpa fikir adab, harga diri?

Lagu ‘Masuk Lagi’ oleh Baby Shima satu pengajaran tentang amanah besar penulis lirik dalam bawa industri muzik Melayu ‘terbang tinggi’
Jan 12, 2026 | 5:30 AM

Lirik sensasi sekadar buru kontroversi tanpa fikir adab, harga diri?

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula
Sanisah Huri, Lagu Peribahasa, lyrics, lirik
‘Lagu Peribahasa’, dendangan biduanita legenda Singapura, Sanisah Huri, mempunyai keistimewaan kerana penulis lirik, Allahyarham Yusnor Ef, menyisipkan banyak pepatah Melayu sebagai pengajaran hidup. - Foto fail

Semasa di bangku sekolah rendah sekitar era 1980-an, saya akan duduk di tepi radio transistor di rumah sambil menyiapkan tugasan sekolah.

Antara lagu yang sering berkumandang ketika itu adalah, Lagu Peribahasa (dendangan Sanisah Huri); Pesan Orang Tua (Rafeah Buang); Senandung Hidup (J. Mizan); dan Cacat Di Dalam (Al-Jawaher).

Sekecil usia 10 atau 11 tahun, saya sudah cenderung ‘membedah’ lagu berkenaan, bukan sahaja dari segi iramanya yang syahdu atau rancak, bahkan maksudnya yang tersirat.

Hingga ke hari ini, setiap kali ada lagu baru yang disajikan wadah penstriman Spotify dan ‘meletup’, saya pastinya akan mengamati bait-bait liriknya untuk memahami jalan cerita setiap lagu.

Saya cukup terkesan dengan lagu yang liriknya ditulis dengan penuh teliti dan peka pada suasana kebudayaan masyarakat Melayu/Islam.

Berkali-kali saya beritahu biduanita legenda, Sanisah Huri, dalam kesempatan bertemu beliau di mana-mana acara kesenian, betapa saya suka dengan lirik, Lagu Peribahasa, yang ditulis dengan penuh indah oleh penerima Pingat Kebudayaan, Majlis Seni Kebangsaan (NAC), Allahyarham Yusnor Ef.

Sekali gus apabila saya mengamati liriknya, saya lebih jatuh cinta pada keindahan bahasa Melayu yang beralas.

Selain membaca buku teks Bahasa Melayu, saya turut belajar peribahasa dan perlambangan daripada lagu.

Berikut saya tukil lirik lagu berkenaan yang dicipta iramanya oleh Allahyarham Kassim Masdor:

Jangan diikut resmi lalang
Tegak berdiri tiada guna
Ikutlah saja resmi padi
menunduk dan berisi

Jangan diikut resmi ayam
Telur sebiji riuh sekampung
Ikutlah contoh resmi penyu
Banyak bertelur tapi tak riuh

Namun, dalam saya memuji barisan penulis lirik handalan seperti Yusnor, Datuk Habsah Hassan, Datuk Sheila Majid, serta dalam dunia muzik Inggeris, Graham Russell (daripada kumpulan Air Supply) dan Burt Bacharach (penulis lirik lagu, That’s What Friends Are For), yang mampu membawa saya ‘belayar jauh’ dalam perjalanan mengamati nilai kehidupan menerusi coretan lirik indah, saya cukup terpukul dengan kejadian yang menggegarkan dunia muzik Melayu, baru-baru ini.

Penulisan lirik lagu dangdut terkini penyanyi Malaysia, Baby Shima, dari seberang Tambak, Masuk Lagi, mendapat kecaman hebat netizen, penulis lirik lain dan penggiat seni dangdut.

Ini kerana ia dianggap mempunyai dua maksud, satu masuk meminang dan satu lagi maksud tersirat berbaur seksual.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Zulkifli Hasan, pula mengeluarkan peringatan supaya semua pemain industri hiburan, khususnya bidang nyanyian, mematuhi garis panduan yang ditetapkan mengenai lirik hiburan.

Habsah, sebagai penulis lirik mapan yang disegani berpendapat usaha mengekang lirik lagu berbaur lucah sepatutnya dilaksanakan lebih awal, memandangkan keadaan kini dilihat semakin tidak terkawal, khususnya dengan kepesatan media sosial.

Beliau, bagaimanapun, menganggap tidak salah bagi penulis lirik lagu masa kini berpegang pada keinginan mengikut trend semasa, tetapi jangan sampai menjejas maruah anak Melayu atau terpesong daripada nilai akhlak dan adab masyarakat.

Penyanyi dangdut dan penyampai radio Kool FM, Haiza, pula menasihatkan Baby Shima supaya tidak membiasakan lagu berunsur lucah, sebaliknya berfikir secara matang setiap kali muncul dengan karya baru.

Menurut Haiza kepada Berita Harian Malaysia (BHM), tindakan Baby Shima itu turut memberi tempias kepada penyanyi dangdut lain, walhal hanya Baby Shima yang tampil dengan lirik tidak sensitif.

“Saya rasa selepas ini, dia kena fikir betul-betul. Mungkin ada sesetengah orang setiap kali nak keluar lagu, dia mahu lagunya diperkatakan.

“Memang terpulang kepada Baby Shima untuk tampil dengan lirik seperti itu, tetapi sebagai senior, saya nasihatkan supaya dia mencari lirik yang mendidik,” jelasnya.

Saya menonton beberapa klip video pempengaruh sosial yang juga mengecam lagu berkenaan yang dicipta Harry Khalifah, dengan liriknya ditulis Ajim Maze.

“Jangan nak menggatal dan ‘menggedik’ ya... aku salahkan bukan sahaja Baby Shima, tetapi si penulis lirik, Ajim Maze,” jelas seorang pempengaruh, yang menggunakan nama Chinta, di TikTok.

Meskipun sebilangan besar pendengar muzik tidak mengetahui penulis lirik lagu hit dan hanya mengenali penyanyinya, penting untuk karyawan muzik yang mengilhamkan lirik lagu menjunjung tinggi amanah mereka sebagai penyampai maksud atau jalan cerita sesebuah lagu.

Siapa tahu menerusi lirik lagu anda, ia mampu membuat seseorang berubah kehidupannya yang suram menjadi lebih yakin dan positif?

Setakat menjadi teman apabila berada jauh di rantauan dan mengenang kampung halaman – ia juga sudah cukup bermakna.

Sheila Majid, yang menghasilkan lirik lagu kerohanian, Ku Mohon, memberitahu saya:

“Adik, kita nak bikin lirik... jangan kita buat sesuka hati. Saya buat lirik ini ketika saya berada dalam titik terendah hidup saya.

“Bagi saya, ia merupakan satu doa, yang boleh saya kongsi dengan pendengar lagu ini, yang mungkin menghadapi kegetiran hidup.

“Daripada lirik lagu, kita boleh buat orang yang bersedih bangkitkan harapan untuk kembali bersemangat kerana yakin Tuhan akan memudahkan segala perjalanan hidupnya.

“Ada ramai siswa Malaysia yang menuntut di kejauhan Britain atau Australia yang memberitahu saya, lagu saya jadi teman sebab unsur kemelayuan dan jati dirinya begitu kuat.

“Kalau rindu Malaysia dan kampung halaman, mereka akan pasang lagu saya dan dengarkan untuk mengubati rindu,” jelasnya.

Banyak lagu Inggeris yang menjadi siulan seperti Wannabe (Spice Girls), Genie In A Bottle (Christina Aguilera), Watermelon Sugar (Harry Styles), Shut Up and Drive (Rihanna) dan Little Red Corvette (Prince), merupakan antara lagu Barat yang mendapat sambutan pendengar merata dunia tetapi dikatakan mempunyai unsur seksual.

Tak perlulah rasanya nak jadikan lagu ciptaan anda tular dalam era TikTok yang mengejar jumlah tontonan atau ‘views’ mahupun perkongsian (share) tetapi menggadai nilai bangsa Melayu dan agama Islam.

Lagu bernada ‘happy-happy’ yang menceriakan tetapi menginsafkan sudah memadai.

Yang penting, ia akan kekal malar segar berpuluh tahun lamanya sampai ke era cucu cicit kita.

Apa nak saya ulangi dialog dalam filem, Seniman Bujang Lapok, dengan pertukaran konteks daripada filem kepada lagu?

“Tak boleh ke bikin lagu tentang cerita emas ke... cerita ayam ke... cerita ikan belaga ke... cerita kumbang terbang ke... Tak boleh?”

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg