JAKARTA: Menteri Agama Indonesia, Dr. Nasaruddin Umar, menafikan pernah menerima maklumat rasmi mengenai cadangan pemotongan kuota haji Indonesia sehingga 50 peratus bagi musim haji tahun 2026.
Penegasan itu dibuat selepas wujud laporan bahawa Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi sedang mempertimbangkan pengurangan ketara terhadap kuota jemaah Indonesia susulan kelemahan pengurusan ibadah haji tahun 2025 ini.
“Saya tidak pernah dengar. Beberapa kali kami bermesyuarat dengan pihak Arab Saudi, perkara ini tidak pernah disebut,” katanya seperti yang dilapor Antaranews pada 13 Jun.
Dr. Nasaruddin turut menjelaskan bahawa hubungan antara pemerintah Indonesia dan Arab Saudi kekal utuh. “Hubungan kita dengan kerajaan Saudi Arabia sangat baik, saya selalu tekankan hal ini,” ujarnya sambil menambah bahawa kelemahan dalam pelaksanaan ibadah haji adalah perkara yang mungkin berlaku di mana-mana negara. “Memang ada kelemahan, tapi semua negara juga tidak sempurna,” katanya lagi.
Dr. Nasaruddin memberikan respons terhadap laporan terdahulu Ketua Badan Penyelenggara Haji (BP Haji), Encik Mochamad Irfan Yusuf atau lebih dikenali sebagai Gus Irfan, mengesahkan bahawa isu pengurangan kuota sedang dibincangkan bersama pihak berkuasa Arab Saudi.
Dalam satu pertemuan rasmi dengan Timbalan Menteri Haji Arab Saudi di Jeddah pada 10 Jun lalu, kedua-dua pihak dilaporkan membincangkan prestasi pengurusan musim haji 2025 serta persiapan awal bagi musim haji 1447H atau 2026.
“Memang ada wacana pengurangan kuota sehingga 50 peratus, tetapi belum ada keputusan rasmi. Kami sedang dalam proses rundingan,” jelas Gus Irfan. Beliau menambah bahawa pihaknya mengambil serius teguran Arab Saudi dan berusaha untuk menunjukkan penambahbaikan menerusi pengurusan baharu yang lebih profesional.
Sebelum ini, Timbalan Ketua BP Haji, Encik Dahnil Anzar Simanjuntak, menjelaskan bahawa pengurusan haji kini tidak lagi di bawah Kementerian Agama tetapi dikendalikan sepenuhnya oleh BP Haji, sebagai langkah reformasi menyeluruh. Menurutnya, perubahan ini adalah untuk membuktikan kepada kerajaan Arab Saudi bahawa Indonesia komited untuk memperbaiki sistem pengurusan haji secara menyeluruh.
“Pihak Arab Saudi sendiri menyatakan harapan besar terhadap pengurusan baru. Mereka menantikan tata kelola yang lebih baik,” kata Encik Dahnil dalam rancangan Metro Pagi Primetime pada 12 Jun. “Jangan sampai berkembang persepsi seolah-olah Saudi sudah pasti akan potong kuota haji Indonesia tahun depan. Itu hanya wacana sebagai amaran awal berdasarkan kelemahan musim haji kali ini,” tegas beliau.
Menurut Encik Dahnil lagi, kerajaan Arab Saudi telah memberi isyarat positif terhadap komitmen Presiden Prabowo Subianto yang membentuk BP Haji sebagai badan khusus bagi mempertingkatkan tata kelola haji. Katanya, keyakinan itu menjadi asas kepada kerjasama masa depan antara kedua-dua negara dalam memperkukuh sistem pengurusan jemaah haji Indonesia.
“Mereka menyampaikan lagi, tak usah khuatir. Sebab mereka percaya Presiden sudah bentuk pengurusan baru. Harapannya ini jadi titik awal pembaikan yang menyeluruh,” ujar Encik Dahnil sambil menekankan bahawa kerjasama erat dengan pihak Saudi akan diteruskan dalam semangat memperbaiki mutu perkhidmatan haji kepada rakyat Indonesia. - Agensi berita


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg