Indonesia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Saudi beri amaran kemungkinan potong kuota haji Indonesia hingga 50 peratus

Jun 12, 2025 | 6:37 PM
Umat Islam mengunjungi Masjidil Haram di kota suci Makkah, Arab Saudi pada 8 Jun 2025, sempena penutup ibadah Haji tahunan. 
Umat Islam mengunjungi Masjidil Haram di kota suci Makkah, Arab Saudi pada 8 Jun 2025, sempena penutup ibadah Haji tahunan.  - Foto AFP

DENPASAR: Kerajaan Arab Saudi dilaporkan mengeluarkan amaran tegas kepada Indonesia menjelang musim haji tahun 2026, dengan kemungkinan pengurangan kuota jemaah sehingga 50 peratus.

Amaran ini dikaitkan dengan kelemahan serius dalam pengurusan ibadah haji oleh Indonesia serta tahap kesihatan jemaah yang dikatakan tidak memenuhi piawaian yang ditetapkan.

Menurut Timbalan Ketua Badan Penyelenggara Haji (BP Haji), Encik Dahnil Anzar Simanjuntak, amaran itu disampaikan oleh Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi sebagai satu bentuk peringatan keras terhadap kelemahan pengurusan haji Indonesia pada tahun 2025 ini.

“Mereka menyampaikan kepada kami bahawa pelaksanaan haji tahun ini sangat tidak memuaskan. Wacana pengurangan kuota timbul sebagai satu amaran—mereka mahu Indonesia segera memperbaiki sistem pengurusan,” kata Encik Dahnil dalam sidang media di Jakarta pada 11 Jun.

Antara isu utama yang dibangkitkan Arab Saudi ialah ketidakjelasan data kesihatan jemaah Indonesia. Pihak Saudi menyatakan kekecewaan kerana Indonesia menghantar jemaah yang tidak sihat, malah ada yang berada dalam keadaan tenat ketika berangkat ke Tanah Suci.

“Mereka bertanya, kenapa anda kirim jemaah yang sudah hampir meninggal dunia? Ini menyulitkan pihak kami di dalam negeri,” ujar Encik Dahnil, merujuk kepada keluhan yang disampaikan secara rasmi oleh pihak Arab Saudi.

Tambah beliau, perkara ini menjadi catatan penting yang perlu diberi perhatian serius oleh pihak Indonesia untuk musim haji akan datang.

Selain isu kesihatan, Arab Saudi turut menegur kelemahan pengurusan logistik ketika jemaah berada di Arafah, Muzdalifah dan Mina — kawasan utama dalam ibadah haji. Antara yang menjadi perhatian ialah pengurusan pengangkutan, makanan, dan tempat penginapan.

“Mereka memberikan penilaian yang sangat kritikal terhadap pengurusan kita di Armuzna. Dari sistem pengangkutan hingga ke perkhidmatan makan dan tempat tinggal, semuanya bermasalah,” jelas Encik Dahnil lagi.

Isu ini turut dibangkitkan dalam pertemuan rasmi antara Ketua BP Haji, Encik Mochamad Irfan Yusuf, dan Timbalan Menteri Haji Arab Saudi di Jeddah. Dalam pertemuan itu, Arab Saudi mencadangkan agar satu pasukan petugas khas diwujudkan bersama Indonesia untuk memantau keseluruhan proses pengurusan haji, termasuk aspek kesihatan, logistik dan penerbangan.

Mengulas lanjut, Encik Dahnil menjelaskan bahawa mulai tahun 2026, pengurusan haji akan dipindahkan sepenuhnya daripada Kementerian Agama kepada sebuah badan baru setaraf kementerian yang khusus menguruskan haji. Langkah ini, katanya, merupakan komitmen pemerintah Indonesia untuk memperbaiki kelemahan sedia ada.

“Presiden telah bersetuju membentuk badan khas pengelola haji. Arab Saudi menyambut baik langkah ini kerana mereka melihat ada harapan melalui pengurusan baharu,” ujarnya.
Walaupun isu pengurangan kuota haji ini menimbulkan kebimbangan, Encik Dahnil menjelaskan bahawa wacana itu kini telah ditangguhkan oleh pihak Arab Saudi selepas Indonesia menunjukkan komitmen untuk melakukan pembaharuan.

“Arab Saudi menyatakan kesediaan untuk terus menerima jemaah dari Indonesia dan akan datang ke Jakarta bulan Julai ini untuk membincangkan persiapan musim haji 2026 secara teknikal,” katanya.

Encik Dahnil turut menyeru orang ramai agar tidak panik atau membuat spekulasi berlebihan mengenai kemungkinan pemotongan kuota haji tersebut.

“Kami minta masyarakat tenang. Arab Saudi tetap menghargai jemaah Indonesia sebagai antara yang terbesar dan paling penting. Tapi kita juga harus memastikan jemaah yang dihantar benar-benar layak dari segi kesihatan dan logistiknya,” katanya.

Buat masa ini, kuota rasmi jemaah haji Indonesia bagi tahun 2026 masih belum diumumkan dan dijangka hanya akan diputuskan selepas musim haji tahun ini berakhir. Namun, perbincangan berkaitan isu pemotongan kuota telah mula dibincangkan di peringkat tinggi antara kedua-dua negara.

Langkah susulan dan pemantauan teliti dari Arab Saudi dijangka menjadi satu norma baharu dalam pengurusan jemaah haji, khususnya dari negara-negara yang menghantar jumlah jemaah yang besar seperti Indonesia. - Agensi berita

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg