Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Jumlah korban pesantran runtuh di Indonesia cecah 49 orang

Oct 6, 2025 | 3:15 PM
pesantran runtuh, Indonesia
Para anggota penyelamat giat mencari dan menyelamat mangsa di tapak runtuhan bangunan Pesantren Al Khoziny di Sidoarjo, Jawa Timur, pada 5 Oktober 2005. - Foto AFP

JAKARTA: Angka kematian akibat keruntuhan sebuah pondok pesantren di Indonesia minggu lalu melonjak kepada sekurang-kurangnya 49 orang apabila pasukan penyelamat selesai menjalankan pemeriksaan ke atas puing-puing bangunan yang menyembah bumi itu.

Agensi mitigasi bencana negara itu dalam satu kenyataan yang diedarkan pada 6 Oktober menyatakan puing-puing pesantren itu menimpa ratusan remaja lelaki dalam kejadian di Pesantren Al Khoziny di bandar Sidoarjo, di wilayah Jawa Timur.

Akibatnya, mangsa terperangkap dan menyebabkan ramai daripada mereka terbunuh.

Sehingga lewat 5 Oktober, para anggota penyelamat yang menggunakan jengkaut telah membersihkan 80 peratus daripada serpihan bangunan dan menemui kebanyakan mangsa yang maut, kata kenyataan agensi itu.

Agensi itu berkata usaha mencari dan menyelamat lebih ramai mangsa masih diteruskan.

Selain 49 mangsa yang dilaporkan maut, seramai 97 mangsa telah dirawat kerana pelbagai kecederaan dan dibebaskan pada 5 Oktober. Enam yang lain mengalami kecederaan serius dan telah dimasukkan ke hospital.

Pegawai penyelamat membawa beg mayat berwarna jingga keluar daripada runtuhan bangunan, menurut rakaman yang dikongsi oleh agensi tersebut.

Mengenai punca kejadian itu, pihak berkuasa menyatakan asas bangunan pesantren itu tidak dapat menyokong kerja-kerja pembinaan yang sedang dijalankan di tingkat atas dan lantas menyebabkan keruntuhan berlaku.

Polis berkata dua tingkat ditambah pada bangunan asal setinggi dua tingkat itu tanpa permit yang membawa kepada kegagalan struktur. Ini telah mencetuskan kemarahan yang meluas terhadap pembinaan haram di Indonesia.

“Pembinaan tidak dapat menampung beban semasa konkrit dituang untuk membina tingkat tiga kerana ia tidak memenuhi piawaian dan menyebabkan keseluruhan pembinaan seluas 800 meter persegi runtuh,” kata Encik Mudji Irmawan, pakar pembinaan dari Institut Teknologi Sepuluh November.

Beliau juga berkata pelajar tidak sepatutnya dibenarkan masuk ke dalam bangunan yang sedang dalam pembinaan.

Ketua polis daerah Sidoarjo, Encik Subandi, mengesahkan apa yang telah diumumkan polis sebelum ini bahawa pengurusan pesantren tidak memohon permit yang diperlukan sebelum memulakan pembinaan.

Di seluruh Indonesia, terdapat kira-kira 42,000 pesantren atau bangunan sekolah Islam, menurut data Kementerian Agama negara itu.

Hanya 50 pesantren mempunyai permit bangunan, kata Encik Dody Hanggodo, Menteri Kerja Raya negara itu, dipetik media tempatan sebagai berkata demikian pada 5 Oktober.

Usaha untuk menghubungi pihak berkuasa sekolah bagi mendapatkan komen masih belum berhasil. – Reuters, Agensi Berita

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg