Indonesia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Mudik lebih suram: Rakyat berjimat, permintaan mudik ‘gratis’ meningkat

Mar 28, 2025 | 2:44 PM
A boy lies down on his father's lap as they wait to depart on a bus that the Jakarta Provincial Government has arranged for free of cost as people return to their hometowns, known locally as "mudik", ahead of the Eid al-Fitr celebration, at the National Monument in Jakarta, Indonesia, March 27, 2025. REUTERS/Ajeng Dinar Ulfiana
A boy lies down on his father's lap as they wait to depart on a bus that the Jakarta Provincial Government has arranged for free of cost as people return to their hometowns, known locally as "mudik", ahead of the Eid al-Fitr celebration, at the National Monument in Jakarta, Indonesia, March 27, 2025. REUTERS/Ajeng Dinar Ulfiana - Foto REUTERS

JAKARTA: Sambutan Aidilfitri tahun ini dijangka lebih sederhana berbanding tahun-tahun sebelumnya apabila semakin ramai rakyat memilih untuk tidak pulang ke kampung halaman disebabkan tekanan ekonomi, kehilangan pekerjaan yang meluas dan langkah penjimatan besar-besaran yang diperkenalkan oleh Presiden Prabowo Subianto.

Menurut Menteri Pengangkutan, Encik Dudy Purwagandhi, puncak pergerakan mudik mula berlaku pada 28 Mac, iaitu tiga hari sebelum 1 Syawal. Beliau turut menasihatkan agar rakyat memulakan perjalanan lebih awal untuk mengelakkan kesesakan.

“Pihak kementerian telah meminda cuti sekolah lebih awal dan melaksanakan dasar ‘bekerja dari mana-mana’ (WFA) bagi penjawat awam untuk melancarkan aliran mudik secara berperingkat,” katanya.

Walaupun data dari Jasa Marga menunjukkan lebih 955,000 kenderaan telah keluar dari Jakarta sejak 21 Mac hingga 26 Mac, angka itu hanya mencatatkan kenaikan kecil berbanding tempoh sama tahun 2024. Kenaikan ketara hanya dikesan di laluan ke Lebuhraya Trans-Java, manakala arah ke barat (Merak) dan selatan (Puncak) kekal sederhana.

Kajian Kementerian Pengangkutan menunjukkan bahawa jumlah perantau tahun ini dijangka seramai 146 juta orang — penurunan sebanyak 23 peratus berbanding 193 juta yang dijangka tahun 2024. Malah, selepas Aidilfitri tahun 2024, kementerian merekodkan jumlah sebenar mencecah 242 juta orang.

Ramai penganalisis ekonomi menyifatkan penurunan ini berpunca daripada kelembapan ekonomi dan pemotongan bajet besar oleh pemerintah. Presiden Prabowo sebelum ini telah mengarahkan pemotongan perbelanjaan negara sebanyak 306 trilion rupiah ($2.4 bilion) bagi membiayai program makan percuma.

Pengarah Eksekutif Pusat Kajian Ekonomi dan Undang-Undang (Celios),  Encik Bhima Yudhistira Adhinegara berkata: “Kecenderungan ramai rakyat memilih program mudik percuma menunjukkan betapa kuasa beli masyarakat semakin lemah.”

Pakar ekonomi Institut Pembangunan Ekonomi dan Kewangan (INDEF) Encik Tauhid Ahmad turut bersetuju, “Ramai yang lebih memilih untuk berjimat tahun ini dan tidak sanggup menanggung kos perjalanan tinggi.”

Sebagai langkah membantu golongan yang memerlukan, pemerintah dan syarikat berkaitan pemerintah (GLC) telah memperluas program mudik percuma. Pada 26 Mac, lebih 14,000 penduduk Jakarta menyertai program ini dengan menaiki 289 buah bas dari Taman Mini Indonesia Indah ke pelbagai destinasi di Jawa Tengah.

Antaranya ialah Cik Faedah, seorang ibu tunggal yang cacat penglihatan, dan anaknya Arif, yang pulang ke kampung di Cilacap. “Alhamdulillah, saya sangat gembira dan selesa. Program ini bantu kami jimat 500,000 rupiah,” katanya kepada The Jakarta Post.

Seorang lagi peserta, pemandu e-hailing, Encik Mundoko, melahirkan rasa syukur kerana dapat pulang bersama isterinya. “Tanpa program ini, saya mungkin tak mampu balik kampung tahun ini,” katanya.

Kementerian Pengangkutan turut menambah lebih 1,000 tiket tambahan, manakala Bank Negara Indonesia (BNI) menggandakan jumlah tiket percuma kepada 6,000, dua kali ganda berbanding tahun 2024.

Menurut Setiausaha Agung Organisasi Pengangkutan Darat (Organda), Encik Ateng Aryono, kadar isian bas hanya sekitar 60 peratus, jauh lebih rendah daripada kebiasaan musim mudik. “Kebiasaannya, menjelang Aidilfitri, kadar isian bas mencecah 80 hingga 90 peratus. Tapi tahun ini sangat berbeza,” ujarnya.

Sementara itu, Timbalan Pengerusi Kamar Dagang dan Industri Indonesia (Kadin), Encik Sarman Simanjorang, menjangkakan peredaran wang semasa Aidilfitri tahun ini akan menurun sebanyak 12.3 peratus berbanding tahun lalu.

“Pada 2024, peredaran wang semasa Aidilfitri dianggarkan sebanyak 157.3 trilion rupoiah. Tahun ini, kami jangka hanya sekitar 138 trilion rupiah,” kata Encik Sarman seperti dilaporkan Kompas.
“Tahun ini ramai berjimat. Ini Aidilfitri yang lebih senyap — tapi bukan tanpa makna,” kata Encik Bhima.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg