JAKARTA: Gelombang pulang kampung sempena Aidilfitri atau mudik pada 2025 ini dilaporkan berlaku lebih awal berbanding tahun-tahun sebelumnya.
Ia hasil gabungan dasar ‘bekerja dari mana-mana’ (WFA) untuk penjawat awam serta cuti sekolah yang bermula lebih awal.
Langkah itu dikatakan telah memberi ruang kepada jutaan rakyat Indonesia untuk merancang perjalanan lebih awal, sekali gus mengurangkan kesesakan lalu lintas pada hari-hari puncak menjelang Aidilfitri.
Kementerian Pengangkutan Indonesia menganggarkan seramai 146.48 juta orang akan melakukan perjalanan balik ke kampung pada 2025, dengan kemuncak aliran dijangka berlaku pada 28 Mac, iaitu tiga hari sebelum Aidilfitri yang jatuh pada 31 Mac.
Namun begitu, gelombang awal sudah mula terasa sejak hujung minggu antara 22 dengan 23 Mac.
Data yang diperoleh daripada pengendali lebuh raya milik pemerintah, PT Jasa Marga, menunjukkan 115,141 kenderaan telah keluar dari kawasan Jabodetabek (Jakarta, Bogor, Depok, Tangerang dan Bekasi) pada 21 Mac iaitu 10 hari sebelum perayaan – peningkatan 37 peratus berbanding tempoh sama pada 2024.
Pengendali kereta api negara, PT KAI, turut mencatat peningkatan, dengan lebih 174,000 penumpang memulakan perjalanan pada 22 Mac, lonjakan 42.4 peratus dari tahun sebelumnya.
Jurucakap Kementerian Pengangkutan, Encik Elba Damhuri, berkata langkah memperkenal WFA untuk penjawat awam dan cuti sekolah yang panjang memainkan peranan besar dalam melancarkan aliran mudik bagi 2025.
“Dasar ini memberi kesan langsung kerana ia membantu melancarkan aliran perjalanan mudik secara lebih teratur, apabila masyarakat mula bergerak lebih awal,” katanya kepada The Jakarta Post.
Walaupun dasar WFA hanya berjalan selama empat hari, ia membolehkan ramai penjawat awam mula meninggalkan ibu kota seawal 21 Mac.
Tambahan pula, tempoh cuti sekolah yang dilanjutkan bermula 21 Mac, tiga hari lebih awal daripada perancangan asal.
Sehingga 22 Mac, 2.37 juta orang telah memulakan perjalanan mudik, mencatat peningkatan hampir 30 peratus berbanding tempoh sama pada 2024.
Antara bentuk pengangkutan yang mencatat peningkatan tertinggi ialah kenderaan persendirian dan kereta api, disusuli oleh feri (naik 28.3 peratus); kapal terbang (15.3 peratus); dan bas (4.41 peratus).
Pada masa yang sama, untuk menggalakkan lebih ramai rakyat merancang perjalanan awal, pemerintah turut mengurangkan harga tiket penerbangan sebanyak 13 hingga 14 peratus bagi tempoh 24 Mac hingga 7 April, serta memberikan diskaun tol 20 peratus sehingga 28 Mac.
Sebagai usaha tambahan untuk memberi keselesaan kepada pengguna jalan raya, Jasa Marga mengesyorkan penggunaan aplikasi Travoy, bagi memanfaatkan 61 kawasan rehat, dan memastikan kenderaan dalam keadaan baik.
Kementerian Agama Indonesia turut tampil menyokong perjalanan mudik menerusi program, ‘Masjid Ramah’, dengan membuka 6,291 buah masjid di sepanjang laluan mudik di 23 provinsi.
“Kami sediakan air bersih, tempat berehat dan juga makanan berbuka untuk para musafir,” kata Ketua Pengarah Pembangunan Masyarakat Islam Kementerian Agama, Encik Abu Rokhmad.
Menurut beliau, masjid itu akan dibuka 24 jam sehari sepanjang musim mudik.
Usaha tersebut dilaksanakan selaras dengan Pekeliling Menteri Agama Nombor 2 Tahun 2025 dan disambut baik oleh masyarakat yang turut menyumbangkan makanan dan sokongan logistik.
“Inilah contoh khidmat keagamaan yang memberi kesan nyata kepada masyarakat,” kata Abu Rokhmad.
Meskipun aliran awal telah bermula, jumlah keseluruhan perantau bagi 2025 berkurang sekitar 80 juta orang berbanding 2024.
Pemerhati ekonomi mengaitkan penyusutan itu ekoran kemerosotan kuasa beli rakyat dan langkah berjimat-cermat pemerintah akibat unjuran ekonomi yang lebih suram.
“Ramai yang terpaksa menggunakan simpanan untuk bertahan. Ini menjejas kemampuan mereka untuk balik kampung seperti biasa,” kata penganalisis ekonomi bebas, Dr Rendra Faisal. – Agensi berita.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg