JAKARTA: Perayaan Aidilfitri tahun ini dijangka menjadi antara yang paling sibuk dalam sejarah Indonesia, dengan jumlah pergerakan anggota masyarakat sepanjang musim mudik atau balik kampung mencecah 146.48 juta orang, atau kira-kira 52 peratus daripada keseluruhan penduduk negara.
Tradisi pulang ke kampung sempena Aidilfitri di Indonesia, dikenali sebagai ‘mudik’, melibatkan puluhan juta orang bergerak ke seluruh negara dan ia sering menyebabkan kesesakan teruk.
Unjuran itu diumumkan oleh Menteri Perhubungan, Encik Dudy Purwagandhi, berdasarkan hasil kajian yang dijalankan oleh Badan Kebijakan Transportasi (BKT) di bawah kementeriannya.
Lonjakan besar itu bukan sekadar cabaran logistik, bahkan juga ujian penyelarasan antara pemerintah pusat, pemerintah wilayah, dengan pelbagai pihak berkepentingan dalam sektor pengangkutan.
“Puncak arus mudik dijangka berlaku pada 28 Mac 2025 dengan potensi 12.1 juta orang bergerak dalam satu hari,” kata Encik Dudy dalam satu taklimat rasmi di Jakarta, pada 14 Mac.
Laporan BKT menunjukkan bahawa Jawa Barat, Jawa Timur dan Jawa Tengah akan menjadi pusat utama pergerakan, sama ada sebagai titik asal mahupun destinasi.
Jawa Barat dijangka mencatat jumlah pengembara tertinggi, iaitu 30.9 juta orang, manakala Jawa Tengah menjadi destinasi paling popular, menerima kira-kira 36.6 juta orang.
Encik Dudy turut menegaskan bahawa sebahagian besar masyarakat memilih untuk menggunakan kenderaan persendirian, mencatatkan angka tertinggi iaitu 33.66 juta orang atau 23 peratus daripada keseluruhan pergerakan.
Ini diikuti oleh penggunaan bas (24.76 juta); kereta api antara kota (23.58 juta); pesawat (19.77 juta) dan motosikal (12.74 juta).
“Faktor keselesaan dan kebebasan bergerak menjadi sebab utama mengapa ramai memilih kenderaan sendiri,” katanya.
Pihak pemerintah melalui Kementerian Pengangkutan telah merancang pelbagai langkah untuk menghadapi lonjakan itu, termasuk pelaksanaan dasar, ‘Bekerja Dari Mana-Mana’ (WFA), penyediaan program pulang kampung percuma, pengubahsuaian laluan trafik, serta pengurusan aliran kenderaan di kawasan berisiko tinggi mengalami kesesakan.
Dengan jutaan rakyat Indonesia bersiap sedia untuk pulang ke kampung halaman sempena Aidilfitri, pemerintah mengumumkan dasar pelan kerja fleksibel (FWA) bagi membantu mengurangkan kesesakan dalam tempoh perjalanan yang paling sibuk sepanjang tahun.
Menurut kenyataan Kementerian Penyelaras Bidang Infrastruktur dan Pembangunan Wilayah, daya usaha yang membolehkan pekerja bertugas dari luar pejabat sebelum Aidilfitri itu bertujuan menyuraikan perjalanan secara berperingkat, serta mengelakkan kesesakan teruk di lebuh raya, lapangan terbang dan pengangkutan awam.
Menterinya, Agus Harimurti Yudhoyono, berkata dasar itu dibangunkan dengan kerjasama Kementerian Pentadbiran dan Pembaharuan Birokrasi bagi melaksanakan FWA, yang sebelum ini dikenali sebagai ‘bekerja dari mana-mana’, bagi menyalurkan aliran pergerakan dengan lebih sekata dan mengurangkan kesesakan pada waktu sibuk.
“Bermula 24 Mac, seminggu sebelum Aidilfitri, kami menjangkakan FWA akan dilaksanakan bagi membolehkan orang ramai memulakan perjalanan lebih awal dan mengelakkan kesesakan lalu lintas,” katanya.
Encik Agus berkata cabaran 2025 lebih besar kerana Aidilfitri kebetulan jatuh dengan acara Nyepi, Hari Senyap masyarakat Hindu di Bali.
Maka pemerintah sedang mempertimbangkan untuk menyesuaikan cuti sekolah bagi menguruskan peningkatan jumlah pengembara.
“Inisiatif ini adalah sebahagian daripada komitmen kami untuk memastikan perjalanan yang lebih lancar dan selesa bagi semua yang menyambut Aidilfitri,” katanya.
Encik Dudy juga telah mengadakan pertemuan dengan Gabenor Jawa Barat, Encik Dedi Mulyadi dan Gabenor Banten, Encik Andra Soni, dalam usaha menyelaras peranan pemerintah wilayah dalam pengurusan prasarana dan penyampaian maklumat kepada masyarakat.
“Kerjasama antara pemerintah pusat dengan daerah amat penting dalam menangani lonjakan perjalanan,” tegasnya.
Wilayah Banten, sebagai pintu masuk penting antara Pulau Jawa dengan Sumatera, turut menjadi tumpuan khas.
Menurut Encik Dudy, Pelabuhan Merak, Pelabuhan Bandar Bakau Jaya Bojonegoro, Pelindo 2, dan Pelabuhan Ciwandan akan menerima pengawasan intensif sepanjang tempoh Aidilfitri.
Banten dijangka menyumbang 1.7 peratus daripada jumlah keseluruhan pergerakan.
Di samping itu, pemerintah sedang menyiapkan sistem pemantauan digital untuk menyelaraskan arus keluar masuk kenderaan di plaza tol utama antara Jakarta, Jawa Barat, dengan Jawa Tengah.
Mudik bukan sekadar pergerakan fizikal, ia adalah fenomena sosial yang mencerminkan hubungan emosi masyarakat Indonesia dengan kampung halaman mereka.
Tradisi itu semakin berkembang sejak era kemerdekaan, apabila ramai penduduk luar bandar mula berhijrah ke bandar besar untuk bekerja atau belajar.
Menurut laporan di udm.ac.id, sambutan Aidilfitri menjadi satu-satunya masa dalam tahun apabila perantau kembali ke desa untuk berkumpul bersama keluarga.
“Mudik bukan sekadar tradisi, ia adalah perayaan emosi, kenangan, dan identiti budaya,” kata pakar sosiologi dari Universiti Indonesia, Dr. Nurhayati Saad.
Namun begitu, realiti moden turut menuntut agar tradisi itu dilaksanakan dengan perancangan dan kesedaran keselamatan yang tinggi.
Jalan raya yang padat, kejadian nahas, dan kesesakan di terminal atau pelabuhan menjadi cabaran tahunan yang masih belum dapat ditangani sepenuhnya.
Perayaan Aidilfitri 2025 jelas akan menjadi ujian besar – bukan sahaja kepada sistem pengangkutan nasional, bahkan juga kepada toleransi masyarakat, kesediaan prasarana, dan kemampuan pihak berkuasa menyelaraskan jutaan perjalanan secara serentak.
Langkah-langkah mitigasi yang telah diumumkan kelihatan menyeluruh, namun pelaksanaan di lapangan akan menjadi penentu utama kejayaannya.
“Yang penting adalah kerjasama dan kesiapsiagaan di semua peringkat.
“Kami tidak boleh bekerja sendirian. Ini adalah tanggungjawab bersama,” ujar Encik Dudy menutup sidang media. – Agensi berita.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg