JAKARTA: Ketegangan politik dalam pertubuhan Islam paling berpengaruh di Indonesia, Nahdlatul Ulama (NU), semakin memuncak selepas sebuah audit dalaman yang bocor mendakwa jutaan dolar telah disalurkan ke akaun lembaga pusat organisasi itu di bawah pimpinan pengerusinya, Encik Yahya Cholil Staquf, dalam satu skim pengubahan wang haram yang dikaitkan dengan beliau.
Audit itu, yang dikatakan dijalankan firma perakaunan awam Gatot Permadi, Azwir and Abimail (GPAA), mengesan beberapa potensi ketidakselarasan dalam penyata kewangan NU tahun 2022, lapor The Jakarta Post pada 3 Disember.
Antara dapatan itu ialah empat transaksi pemindahan berjumlah 100 bilion rupiah ($7.8 juta) pada Jun ke akaun lembaga pusat NU.
Menurut laporan berkenaan, dana itu berasal daripada PT Batulicin Enam Sembilan Group, sebuah syarikat pegangan yang mempunyai operasi perlombongan dan sedang disiasat oleh Suruhanjaya Pembanterasan Rasuah (KPK).
Syarikat itu dimiliki bendahari agung NU ketika itu, Encik Mardani H. Maming.
Pemindahan dana tersebut, yang direkodkan sebagai perbelanjaan sambutan 100 tahun NU dan kos operasi, berlaku dalam tempoh dua hari tidak lama sebelum Encik Maming, yang juga bekas Bupati (Ketua Daerah) Tanah Bumbu di Kalimantan Selatan, dinamakan sebagai suspek dalam kes rasuah permit perlombongan oleh KPK.
Laporan audit itu menyebut: “Penemuan ini menunjukkan kelemahan dalam tadbir urus kewangan dan boleh mendedahkan NU kepada risiko undang-undang, termasuk dakwaan pengubahan wang haram.”
Sebahagian transaksi turut didakwa dihantar kepada Encik Abdul Hakam, Setiausaha Badan Bantuan Guaman NU (LPBHNU), yang pernah membantu Encik Maming dalam kes rasuahnya.
Walaupun dakwaan itu semakin tersebar, pada awalnya Encik Yahya masih berdiam diri. Namun penyokongnya, termasuk Timbalan Setiausaha Agung NU, Encik Najib Azca, pada 2 Disember menafikan pembabitan NU dalam sebarang skim pengubahan wang haram. Beliau menyifatkan dakwaan itu sebagai “tergesa-gesa” dan “tidak berasas.”
Laporan yang bocor ini muncul ketika Majlis Syuriah NU menggesa Encik Yahya meletak jawatan berikutan jemputannya kepada seorang sarjana pro-Israel pada Ogos lalu dan dakwaan “salah urus kewangan”.
Majlis Syuriah turut menjadikan audit itu sebagai sebahagian asas untuk menggugurkan Encik Yahya, dengan memberi amaran bahawa salah urus sedemikian boleh melanggar nilai Islam, peraturan negara dan perlembagaan NU, sekali gus mengancam status sah pertubuhan itu.
Encik Yahya menolak keras dakwaan pengubahan wang haram itu, sambil menegaskan bahawa isu tersebut harus ditangani oleh pihak berkuasa.
“Ini isu undang-undang. Kalau perlu, PBNU (Badan Eksekutif Nahdlatul Ulama) mengundang pihak penguat kuasa untuk menjalankan pemeriksaan mengikut peruntukan,” katanya dalam sidang media di Jakarta.
Beliau juga menambah: “Pertuduhan yang dibuat tanpa asas yang jelas adalah tidak wajar. Jangan belum apa-apa sudah dituduh TPPU (Kesalahan Pengubahan Wang Haram) dan dijadikan alasan, sedangkan faktanya tidak ada dan buktinya pun tidak jelas.”
Encik Yahya turut mempersoalkan logik dakwaan yang menurutnya hanya disandarkan pada kenyataan sepihak. “Proses undang-undang yang hanya berdasarkan pernyataan tanpa asas sukar diterima,” katanya.
Menurutnya, dakwaan itu berpunca daripada manipulasi proses dalaman organisasi. Beliau mendakwa data yang belum dimuktamadkan telah disalahgunakan bagi membentuk persepsi negatif terhadap kepimpinannya.
“Data yang belum lengkap itu dimanipulasi untuk membuat tuduhan. Bahkan auditor sendiri, jika membuat kenyataan kepada media, akan menarik balik kerana data itu belum siap tetapi telah diputarbelitkan,” jelasnya.
KPK dalam kenyataannya berkata pihaknya akan menyiasat dakwaan aliran dana daripada bekas Bupati Tanah Bumbu itu. Dana tersebut dikatakan mengalir ke PBNU, namun KPK menegaskan bahawa pencarian fakta undang-undang akan dijalankan dengan memegang prinsip sangkaan tidak bersalah.
Encik Najib berkata dalam satu kenyataan bertulis: “Dakwaan pengubahan wang haram terhadap kepimpinan pusat NU dan ancaman pembubaran adalah naratif politik yang tidak disokong fakta undang-undang.” Beliau menegaskan bahawa mahkamah hanya mensabitkan Encik Mardani atas kes sogokan permit perlombongan bukan pengubahan wang haram.
Kontroversi itu turut memaksa GPPA meletak jawatan sebagai juruaudit kewangan NU pada 2 Disember. Setiausaha Agung NU, Encik Amin Said Husni, berkata firma itu tidak mahu terheret dalam konflik dalaman.
“Audit yang belum selesai itu telah disebarkan terlalu awal, malah diputarbelitkan untuk menyokong kesimpulan tertentu,” kata Encik Amin, seperti dipetik daripada Tempo.co.
Ketua Majlis Syuriah, Encik Miftachul Akhyar yang sebelum ini menyokong gesaan agar Encik Yahya berundur mengumumkan rancangan menubuhkan satu pasukan pencari fakta untuk menilai maklumat yang tular di media sosial, termasuk dakwaan pengubahan wang haram.
Timbalan Ketua Penguatkuasaan KPK, Asep Guntur Rahayu, berkata siasatan lanjut akan dijalankan. “Kami pasti akan mengambil tindakan lanjut perkara ini. Direktorat Penyiasatan menyambut baik dapatan audit dan akan berkomunikasi dengan NU untuk mendapatkan laporan penuh,” katanya. - Agensi berita


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg