Tidak lama selepas mengangkat sumpah pada 20 Oktober, presiden baru Indonesia, Encik Prabowo Subianto, mengumumkan Kabinet yang besar dan pelbagai untuk memacu pentadbirannya dalam lima tahun akan datang.
Menariknya, Kabinet itu menyertakan wakil daripada semua parti dan organisasi Islam utama di Indonesia, menekankan kesediaan Encik Prabowo menghimpunkan semua kelompok Islam dan menggalakkan perpaduan politik.
Kabinet Encik Prabowo tidak hanya melibatkan wakil daripada Nahdlatul Ulama (NU) – organisasi Islam terbesar di Indonesia dan parti politik berkaitannya, Parti Kebangkitan Bangsa (PKB), tetapi juga daripada Muhammadiyah – organisasi Islam kedua terbesar di Indonesia – serta dua parti kecil yang cenderung ke arah Islam, iaitu Parti Keadilan Sejahtera (PKS) dan Parti Gelora Indonesia.
Dua parti terakhir itu mewakili gerakan Tarbiyah yang diilhamkan oleh ideologi Ikhwanul Muslimin.
Beberapa organisasi Islam kecil turut diwakili dengan ketara, menambah lagi komitmen Encik Prabowo ke arah keterangkuman politik yang luas.
Kehadiran parti dan organisasi Islam dalam Kabinet baru Encik Prabowo bermakna beliau berjaya menghimpunkan tiga aliran ideologi yang mengemudi politik Islam di Indonesia sejak era Reformasi negara itu bermula pada 1998.
Tiga aliran itu termasuk Islam tradisionalis (yang diwakili terutamanya oleh NU); Islam moden (yang diwakili terutama oleh Muhammadiyah); dan Islam rentas nasional (yang diwakili khususnya oleh PKS).
Ketiga-tiga aliran itu tidak hanya membezakan Islam Indonesia mengikut orientasi ideologi, malah latar belakang sosioekonomi.
Pengikut NU cenderung berasal daripada golongan Muslim desa dengan latar belakang pendapatan sederhana yang bekerja dalam bidang pertanian dan pekerjaan separuh mahir.
Manakala pengikut Muhammadiyah ramai dari kota dan berasal daripada kalangan karyawan berpendapatan tinggi seperti doktor dan peguam.
Pengikut Tarbiyah adalah karyawan berpendapatan tinggi yang menerima pendidikan tinggi di luar negara dalam bidang kejuruteraan atau sains.
Sepanjang dekad pentadbiranya, pendahulu Encik Prabowo, Encik Joko ‘Jokowi’ Widodo telah mencari sokongan politik daripada NU kerana statusnya sebagai organisasi Islam terbesar di Indonesia.
Encik Jokowi banyak bergantung kepada sokongan politik kepimpinan NU ketika berdepan cabaran daripada golongan Islam yang meragui keabsahan politiknya melalui penganjuran perhimpunan Aksi Bela Islam (212) pada 2016 hingga 2017.
Dengan sokongan NU, Encik Jokowi berjaya mengatasi cabaran itu dengan mengharamkan organisasi Islam yang menjadi penaja utama perhimpunan 212– termasuk Hizbut Tahrir Indonesia (HTI) dan Front Pembela Islam (FPI).
Terhalang oleh larangan itu, organisasi Islam lain termasuk PKS berhenti daripada mengkritik Encik Jokowi.
Banyak daripada mereka memilih untuk tidak lagi aktif secara politik semasa kempen pilihan raya umum Indonesia 2024.
Dalam penggal kedua Encik Jokowi, lima jawatan Kabinet diberikan kepada ulama dan ahli politik yang berkait dengan NU dan PKB, termasuk Naib Presiden, Encik Ma’ruf Amin dan Menteri Agama, Encik Yaqut Cholil Qoumas.
Walaupun menerima sokongan daripada beberapa aktivis Muhammadiyah, Encik Jokowi hanya memberikan satu jawatan Kabinet dan satu jawatan timbalan menteri kepada ahli politik daripada organisasi tersebut.
Oleh itu, semasa musim kempen presiden dari November 2023 hingga Februari 2024, Muhammadiyah melobi pasukan Encik Prabowo untuk memasukkan lebih ramai anggotanya dalam Kabinetnya – terutama di Kementerian Pendidikan, yang pernah mempunyai beberapa menteri Muhammadiyah pada awal era pasca-Reformasi.
Sepanjang kedua-dua penggal Presiden Jokowi, PKS tidak mempunyai sebarang perwakilan dalam Kabinetnya.
Pengecualian itu berpunca daripada sokongan parti itu dalam pilihan raya 2014 dan 2019 untuk Encik Prabowo, pesaing Jokowi dalam pemilihan presiden.
Tambahan pula, pendirian ideologi PKS bertentangan dengan Parti Demokrasi Indonesia Perjuangan (PDI-P), sekutu politik utama Encik Jokowi sepanjang banyak penggalnya.
Usaha lobi Muhammadiyah membuahkan hasil apabila Encik Prabowo melantik tujuh pemimpin dan ahli politik agama dari organisasi tersebut ke dalam Kabinetnya.
Mereka termasuk Encik Abdul Mu’ti, Setiausaha Agung organisasi, yang dilantik sebagai Menteri Pendidikan Rendah dan Menengah; Dr Raja Juli Antoni, daripada Parti Solidariti Indonesia (PSI) sebagai Menteri Kehutanan; dan Dr Dahnil Anzar Simanjuntak daripada Parti Gerindra yang berkhidmat sebagai Timbalan Ketua Agensi Urusan Haji dan Umrah yang baru ditubuhkan.
Selain itu, empat ahli politik daripada Parti Amanat Nasional (PAN), yang berkait dengan Muhammadiyah, juga menerima pelantikan menteri.
Mereka termasuk Ketua PAN, Encik Zulkifli Hasan sebagai Menteri Penyelarasan Hal Ehwal Makanan dan Encik Bima Arya Sugiarto sebagai Timbalan Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri.
Namun, ulama dan ahli politik yang berkait dengan NU mempunyai jumlah pelantikan Kabinet paling ramai.
Sejumlah 10 individu dengan latar belakang NU berkhidmat dalam Kabinet.
Mereka termasuk Dr Nasaruddin Umar, anggota lembaga kepimpinan nasional NU sebagai Menteri Hal Ehwal Agama; Encik Nusron Wahid, anggota Parti Golkar yang merupakan Menteri Hal Ehwal Pertanian dan Tata Ruang; serta Encik Irfan Yusuf, anggota Parti Gerindra, yang berkhidmat sebagai Ketua Agensi Urusan Haji dan Umrah.
Di samping menghimpunkan kelompok Islam utama, aspek menarik dalam pendekatan pemilihan Kabinet Encik Prabowo adalah usaha beliau untuk merapatkan jurang yang memisahkan puak-puak bertentangan dalam NU.
Sejak 2021, apabila Encik Yahya Cholil Staquf menggantikan Dr Said Aqil Siradj sebagai Ketua Lembaga Pengurus Nahdlatul Ulama (PBNU), NU telah terbahagi dengan ketara antara puak PBNU dengan puak PKB.
Perpecahan itu memuncak apabila setiap puak berusaha mengubah kepimpinan puak lawan bagi melantik pemimpin yang seiring dengan kepentingan mereka. Usaha itu akhirnya gagal.
PBNU kekal di bawah kepimpinan Encik Yahya manakala PKB di bawah kepimpinan Encik Muhaimin Iskandar.
Menghadapi konflik itu, Encik Prabowo mengelak untuk berpihak kepada mana-mana puak demi menghimpunkan kedua-duanya.
Encik Muhaimin dilantik sebagai Menteri Penyelaras Pemerkasaan Masyarakat manakala Encik Abdul Kadir Karding, dari PKB, dilantik sebagai Menteri Perlindungan Pekerja Migran Indonesia.
Sementara itu, Encik Saifullah Yusuf, Setiausaha Agung PBNU dan sekutu rapat Encik Yahya, dilantik sebagai Menteri Hal Ehwal Sosial, bersama empat lagi pentadbir yang berkait dengan NU.
Encik Prabowo turut menyertakan beberapa tokoh daripada gerakan Tarbiyah rentas nasional.
Walaupun gerakan Tarbiyah mempunyai kehadiran yang lebih kecil berbanding NU dan Muhammadiyah, ia telah memperoleh kembali perwakilan Kabinet setelah 10 tahun.
Seorang anggota PKS, Profesor Yassierli, dari Institut Teknologi Bandung, dilantik sebagai Menteri Tenaga Kerja yang baru.
Walaupun menyokong pencalonan Encik Anies Baswedan sebagai calon presiden, PKS memutuskan untuk menyertai gabungan Encik Prabowo setelah pilihan raya, menghidupkan kembali sokongannya kepada beliau, seperti yang dilakukannya dalam pilihan raya 2014 dan 2019.
Sementara itu, Parti Gelora, sebuah parti pecahan PKS yang menyokong Encik Prabowo sepanjang kempen 2024, mempunyai dua wakil dalam Kabinet.
Mereka adalah Encik Anis Matta, yang merupakan Timbalan Menteri Hal Ehwal Luar; dan Encik Fahri Hamzah, yang merupakan Timbalan Menteri Perumahan dan Penempatan.
Di samping NU, Muhammadiyah dan gerakan Tarbiyah, Kabinet Encik Prabowo juga mengandungi anggota parti Islam lain, termasuk Parti Bulan Bintang (PBB).
Pengerusinya, Profesor Dr Yusril Ihza Mahendra, telah dilantik sebagai Menteri Penyelaras bagi Hal Ehwal Undang-undang, Hak Asasi Manusia, Imigresen, dan Pemulihan.
Namun, terdapat beberapa organisasi Islam konservatif yang telah dikecualikan daripada barisan Kabinet Encik Prabowo.
Mereka termasuk Dewan Da’wah Islamiyah Indonesia (DDII), yang ditubuhkan pada 1967 oleh Allahyarham Mohammad Natsir, mantan Perdana Menteri Indonesia.
Organisasi itu dianggap oleh golongan Islami konservatif sebagai penerus Parti Masyumi yang telah dibubarkan.
DDII secara terbuka menolak pemerintahan yang dikendalikan oleh parti sekular dan tidak menyokong gabungan yang dibentuk oleh Encik Prabowo.
Pengecualian organisasi itu daripada Kabinet Encik Prabowo menunjukkan pendekatan terangkum presiden yang tetap memberi perhatian kepada keseimbangan antara pandangan sederhana dengan konservatif dalam politik Islam di Indonesia.
Pelantikan Kabinet yang pelbagai itu menunjukkan bahawa Encik Prabowo berusaha mencipta suasana politik yang bersifat terangkum dan harmoni, selaras dengan janjinya untuk menggalakkan dialog antara pelbagai kelompok masyarakat.
Dalam konteks itu, kekuatan Kabinet yang terdiri daripada pelbagai pemimpin Islam mungkin menjadi faktor penting dalam mengatasi isu sosial dan ekonomi yang mendesak, serta dalam membina kepercayaan rakyat terhadap pemerintah.
Satu cabaran yang mungkin dihadapi oleh Encik Prabowo adalah mengurus perbezaan ideologi dalam kalangan anggota Kabinetnya.
Dengan pelbagai latar belakang dan pandangan politik, kepimpinan yang berkesan dan kebolehan memberi tumpuan kepada agenda bersama adalah penting dan genting.
Ia memerlukan Encik Prabowo untuk bersikap diplomatik dan memahami keperluan setiap kelompok tanpa mengabaikan kepentingan lebih luas.
Sebagai tambahan, gabungan Kabinet yang pelbagai itu juga mempunyai potensi mempengaruhi sokongan politik terhadap Encik Prabowo pada masa depan.
Jika Kabinet itu dapat memberi hasil positif dan memuaskan bagi masyarakat, sokongan terhadap Encik Prabowo mungkin akan bertambah, dan beliau akan dapat membina legasi yang kukuh.
Sebaliknya, jika terdapat ketidakpuasan dalam kalangan kelompok tertentu atau kegagalan untuk menyelesaikan isu penting, Encik Prabowo berisiko menghadapi cabaran dalam mengekalkan sokongan politiknya.
Dengan melibatkan pelbagai organisasi Islam dalam Kabinetnya, Encik Prabowo menunjukkan komitmennya untuk menghimpunkan semua kelompok dalam masyarakat Indonesia.
Pendekatan itu boleh dilihat sebagai langkah strategik untuk menggalakkan perpaduan dan kestabilan politik dalam negara berbilang agama dan etnik.
Namun, kejayaan Kabinet itu bergantung kepada kemampuan Encik Prabowo untuk menangani perbezaan ideologi dan menjadikan agenda bersama sebagai tumpuan utama.
Keberkesanan dan pencapaian Kabinet itu akan menjadi penentu utama bagi masa depan politik Encik Prabowo dan legasi kepimpinannya di Indonesia.
Dr Alexander R. Arifianto ialah Zamil Kanan dan Penyelaras Program Indonesia di Sekolah Pengajian Antarabangsa S. Rajaratnam (RSIS), Universiti Teknologi Nanyang (NTU), dan Aisah Putri Budiatri pula merupakan Penyelidik di Agensi Penyelidikan dan Inovasi Nasional Indonesia (Brin) dan calon Doktor Falsafah (PhD) di Sekolah Possiswazah Kajian Asia dan Afrika, Universiti Kyoto. Artikel ini kali pertama disiarkan di laman web, www.rsis.edu.sg.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg