Pertubuhan Islam terbesar di Indonesia, Nahdlatul Ulama (NU), mengisytiharkan perdamaian antara pihak yang terlibat dalam pertikaian kepimpinan dalaman dan bersetuju mengadakan muktamar kebangsaan lebih awal pada 2026 bagi memilih pengerusi baru.
Keputusan itu disifatkan sebagai penyelesaian secara aman dan berperlembagaan terhadap konflik dalaman yang tercetus pada akhir November lalu, apabila Pengerusi Majlis Syuriyah NU dan ulama kanan, Encik Miftachul Akhyar, mengarahkan pemecatan Pengerusi Eksekutif, Encik Yahya Cholil Staquf, melalui minit mesyuarat yang ditandatanganinya.
Encik Miftachul dan Encik Yahya hadir dalam pertemuan yang berlangsung di Lirboyo, sebuah pondok pesantren di Kediri, Jawa Timur, pada 25 Disember.
Pertemuan itu diatur oleh ulama kanan serta anggota Majlis Mustasyar NU, termasuk mantan Naib Presiden Indonesia, Encik Ma’ruf Amin.
Mesyuarat pendamaian tersebut bersetuju mempercepat penganjuran muktamar NU, yang sebelum ini dijadual pada Disember 2026, serta menubuhkan satu jawatankuasa bersama bagi menguruskan penganjuran muktamar itu.
Jawatankuasa berkenaan akan dianggotai wakil kepimpinan eksekutif NU, atau Tanfidziyah, dan Majlis Syuriyah.
“Terdapat persetujuan untuk menganjurkan muktamar yang tidak dikendalikan oleh satu pihak sahaja, tetapi oleh kedua-dua pihak.
“Kami selaku anggota Majlis Mustasyar hanya bertindak sebagai fasilitator untuk menamatkan konflik ini dan menyatukan pihak-pihak yang bertelagah supaya mereka bergerak ke arah yang sama, iaitu dengan bersetuju mengadakan muktamar,” kata Encik Ma’ruf kepada wartawan selepas mesyuarat itu.
Mesyuarat di Lirboyo juga bersetuju mengembalikan struktur kepimpinan NU kepada susunan asalnya, dengan Encik Yahya kembali memegang jawatan sebagai pengerusi lembaga eksekutif seperti yang dimandatkan oleh Muktamar 2021, manakala Encik Miftachul kekal sebagai pemimpin Majlis Syuriyah.
Mesyuarat itu turut menyuarakan kebimbangan bahawa isu berkaitan keputusan Encik Miftachul untuk memecat Encik Yahya telah mencetuskan spekulasi awam yang memburukkan lagi konflik dalaman.
“Tiada kata lain selain rasa syukur, alhamdulillah, dan ucapan terima kasih kepada ulama yang telah membimbing kami semua sehingga hari ini kami dapat mencapai kesepakatan penuh untuk mengadakan muktamar yang akan dipimpin oleh Kiai Miftachul dan saya sebagai pengerusi,” kata Encik Yahya kepada wartawan selepas mesyuarat tersebut di Kediri.
Muktamar yang akan datang merupakan muktamar kebangsaan ke-35 NU, dan jawatankuasa bersama yang bakal ditubuhkan akan menentukan tarikh serta lokasi penganjuran muktamar tersebut.
Keputusan mengadakan muktamar itu dibuat susulan satu perhimpunan besar akar umbi NU yang diadakan di kediaman mantan presiden Indonesia dan mantan pengerusi NU, Allahyarham Abdurrahman ‘Gus Dur’ Wahid, di Jakarta Selatan, pada 21 Disember lalu, yang mengeluarkan beberapa usul penting.
Anak perempuan Gus Dur, Cik Inayah Wahid, membacakan usul hasil perhimpunan tersebut, antaranya menyeru pihak yang bertelagah supaya mempercepat penganjuran Muktamar ke-35, menggesa perwakilan muktamar agar tidak memilih calon yang terlibat dalam konflik, serta memilih pemimpin baru yang “menumpukan sepenuh masa kepada NU dan tidak mempunyai konflik kepentingan dengan institusi lain, sama ada ekonomi, perniagaan, politik, sosial atau institusi keagamaan lain”.
Kepimpinan Encik Yahya sebelum ini terpalit dengan beberapa kontroversi, termasuk dakwaan hubungan rapatnya dengan tokoh yang disifatkan pro-Zionis, antaranya Perdana Menteri Israel, Encik Benjamin Netanyahu.
Encik Yahya bagaimanapun menegaskan pendekatannya adalah sebahagian daripada usaha advokasinya untuk menyokong kemerdekaan Palestin.
Beliau turut dikaitkan dengan kontroversi pemberian konsesi perlombongan kepada NU selepas Presiden Joko Widodo, mengeluarkan peraturan pada Jun 2024 bagi membenarkan syarikat milik negara menyerahkan konsesi perlombongan kepada pertubuhan tersebut.
Perhimpunan besar itu turut menggesa supaya proses menentukan jawatan Rais Aam atau pemimpin Majlis Syuriyah, serta pengerusi lembaga eksekutif kebangsaan, bebas daripada politik wang dan campur tangan luar.
Ia juga menyeru NU supaya melepaskan konsesi perlombongan arang batu utama di Kalimantan Timur yang diberikan kepada pertubuhan itu.
“Bagi menjaga maruah dan kemandirian (keupayaan berdikari) Nahdlatul Ulama serta mengelakkan kemudaratan, NU seharusnya menyerahkan semula konsesi perlombongan yang diberikan kepada NU kepada negara,” kata anggota NU, Cik Maya Dina, yang turut membacakan usul perhimpunan tersebut.
Beliau menambah bahawa pandangan itu selaras dengan keputusan Muktamar NU ke-33 di Jombang pada 2015, yang menegaskan larangan terhadap kegiatan perlombongan yang merosakkan alam sekitar dan mengancam kesejahteraan awam.
Minit mesyuarat bertarikh 20 November yang mengarahkan pemecatan Encik Yahya ditandatangani oleh Encik Miftachul.
Ia menyebut kebimbangan Majlis Syuriyah terhadap tindakan Encik Yahya mengundang sarjana Amerika Syarikat dari Universiti Standford, Dr Peter Berkowitz, yang dikenali menyokong tindakan Israel di Gaza, untuk berucap dalam program latihan kepimpinan NU di Jakarta pada Ogos lalu.
Di samping itu, terdapat juga dakwaan berhubung salah urus kewangan lembaga eksekutif.
Majlis Syuriyah turut berhujah tindakan Encik Yahya bercanggah dengan nilai Islam tradisional dan sederhana yang dipegang NU, yang mempunyai sekurang-kurangnya 100 juta pengikut dan ahli gabungan, atau sekitar 60 peratus daripada 250 juta umat Islam di Indonesia.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg