Indonesia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Operasi menyelamat enam mangsa tanah runtuh di Jawa Timur berdepan cabaran cuaca buruk

May 22, 2025 | 11:51 AM
Pasukan penyelamat di Trenggalek, Jawa Timur bertungkus lumus untuk mencari mangsa yang dipercayai tertimbus dalam kejadian tanah runtuh yang melanda Kampung Depok.
Pasukan penyelamat di Trenggalek, Jawa Timur bertungkus lumus untuk mencari mangsa yang dipercayai tertimbus dalam kejadian tanah runtuh yang melanda Kampung Depok. - Foto Instagram Baznaz_Trenggalek

JAWA TIMUR: Pasukan penyelamat di Kabupaten Trenggalek, Jawa Timur sedang berlumba dengan masa untuk mencari enam mangsa yang dipercayai tertimbus dalam kejadian tanah runtuh yang melanda Kampung Depok pada petang Isnin, 19 Mei.

Keenam-enam mangsa dikenali sebagai Yatini, Nitin, Tulus, Mesinem, Yatemi dan Torik semuanya daripada keluarga yang sama dan dipercayai berada di dalam rumah masing-masing ketika kejadian berlaku.

Encik Nanang Pujo, koordinator Agensi Mencari dan Menyelamat Trenggalek, memaklumkan bahawa seramai 135 anggota penyelamat telah dikerahkan ke kawasan kejadian.

“Kami telah menyediakan tiga jentera berat untuk membantu operasi menyelamat, tetapi masih belum dapat dihantar ke lokasi kerana laluan utama ditutup oleh lumpur tebal, pokok tumbang, dan kabel elektrik yang terputus,” katanya pada 20 Mei. “Kami kini sedang berusaha membersihkan laluan tersebut.”

Namun, usaha menyelamat berdepan cabaran besar akibat keadaan tanah yang tidak stabil dan cuaca buruk. Pasukan penyelamat terpaksa meredah kawasan cerun yang berbahaya dan terpaksa menghentikan operasi setiap kali hujan turun kerana risiko berlaku tanah runtuh susulan.

Ketua Agensi Pengurusan Bencana Daerah (BPBD) Trenggalek, Encik Triadi Atmono, menjelaskan bahawa tanah runtuh berpunca daripada hujan lebat yang berterusan dari Ahad hingga Isnin.
“Tanah runtuh ini telah menimbus tiga rumah dan merosakkan tujuh rumah lain, melibatkan 10 keluarga dan menyebabkan 30 orang kehilangan tempat tinggal,” katanya.

Selain Kampung Depok, kejadian tanah runtuh turut dilaporkan di beberapa kawasan lain di Trenggalek termasuk Kampung Tasikmadu (Daerah Watulimo), Ngulungkulon dan Bangun (Munjungan), Sumberdadi (Kota Trenggalek), dan Pule (Daerah Pule).

Menurut jurucakap Agensi Pengurusan Bencana Kebangsaan (BNPB), Encik Abdul Muhari, hujan lebat turut menyebabkan dua sungai di Trenggalek melimpah, mengakibatkan banjir di ratusan rumah dengan paras air antara 30 hingga 100 sentimeter.

“Seorang kanak-kanak berusia enam tahun di Daerah Munjungan maut selepas dihanyutkan arus banjir,” kata Abdul pada 21 Mei.

BNPB juga telah menubuhkan beberapa pos kecemasan di seluruh daerah dan sedang menilai skala sebenar kerosakan serta bilangan penduduk yang terjejas.

Sementara itu, Agensi Meteorologi, Klimatologi dan Geofizik (BMKG) Jawa Timur telah mengeluarkan amaran cuaca buruk untuk Trenggalek dan wilayah sekitarnya dari 18 hingga 27 Mei, dengan ramalan 60 peratus kawasan dijangka mengalami hujan lebat, angin kencang, kilat dan puting beliung yang meningkatkan risiko bencana hidrometeorologi seperti banjir dan tanah runtuh.

Dalam insiden berasingan di Pegunungan Arfak, Papua Barat, sembilan pelombong maut dan empat lagi cedera selepas hujan lebat menyebabkan tanah runtuh dan banjir kilat melanda sebuah kawasan lombong kecil yang diusahakan penduduk tempatan pada malam Jumaat lalu, 16 Mei.

Sejumlah 10 pelombong masih hilang, dan operasi mencari telah masuk hari kelima dengan penyertaan 66 anggota pasukan gabungan terdiri daripada polis, tentera, agensi penyelamat, dan BPBD setempat.

Ketua Polis Arfak, Komisioner Bernadus Okoka, menjelaskan bahawa usaha menyelamat sangat mencabar disebabkan laluan sukar, lokasi terpencil dan cuaca yang tidak menentu.
“Kami terpaksa menghentikan operasi beberapa kali kerana risiko tanah runtuh yang berulang. Walaupun dron telah digunakan untuk mencari mangsa, penghantaran jentera berat tidak dapat dilakukan disebabkan medan yang sangat mencabar,” katanya. - Agensi berita

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg