Indonesia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Operasi menyelamat nahas bot laju di Bali dihenti, tiga korban ditemui

Aug 7, 2025 | 2:09 PM
Penduduk tempatan dan pasukan penyelamat berusaha menarik naik sebuah bot laju yang terbalik selepas ia karam berhampiran Pelabuhan Sanur di Bali pada 5 Ogos 2025. Menurut pihak berkuasa penyelamat, dua warga China, seorang warga Indonesia disahkan maut selepas bot yang membawa puluhan penumpang ke pulau pelancongan popular itu karam. 
Penduduk tempatan dan pasukan penyelamat berusaha menarik naik sebuah bot laju yang terbalik selepas ia karam berhampiran Pelabuhan Sanur di Bali pada 5 Ogos 2025. Menurut pihak berkuasa penyelamat, dua warga China, seorang warga Indonesia disahkan maut selepas bot yang membawa puluhan penumpang ke pulau pelancongan popular itu karam.  - Foto AFP

DENPASAR (Bali): Operasi mencari dan menyelamat mangsa terakhir tragedi bot laju Bali Dolphin Cruise 2, yang karam di perairan berhampiran Pelabuhan Sanur secara rasmi ditamatkan pada 1.30 petang 6 Ogos, selepas mayat Encik Kadek Adi Jaya Dinata, salah seorang kru kapal yang sebelum ini dilaporkan hilang, ditemui terdampar di tepi pantai pada 1.05 petang.

Penemuan itu menjadikan semua mangsa dalam kejadian berkenaan telah dikenal pasti dan jumlah korban kini selaras dengan data manifest rasmi kapal.

Kapal milik PT Sucikra Jaya Mandiri itu membawa 75 penumpang dan lima kru semasa kejadian.

Daripada jumlah tersebut, 73 penumpang terselamat, dua terkorban manakala daripada kru, empat terselamat dan seorang meninggal dunia.

Dua lmangsa yang maut sebelum ini dikenal pasti sebagai Shi Guo Hong, 20 tahun; dan Hanqing Yu, 37 tahun; kedua-duanya warga China.

Mereka merupakan pelancong yang sedang menaiki kapal untuk perjalanan dari Nusa Penida ke Sanur.

Pengarah Operasi dan Latihan Agensi Mencari dan Menyelamat Nasional (Basarnas), Encik Edy Prakoso, memaklumkan kejadian berlaku secara tiba-tiba apabila kapal dipukul ombak besar di pintu masuk pelabuhan.

“Kami menerima maklumat sekitar 3.15 petang Selasa (5 Ogos). Pasukan SAR (mencari dan menyelamat) terus digerakkan dari Denpasar bersama peralatan canggih, termasuk dron pengesan haba,” katanya.

Beliau menambah, operasi pencarian dilakukan secara menyeluruh dari laut dan darat menggunakan bot penyelamat jenis RIB dengan kekuatan lapan anggota Basarnas serta sokongan agensi lain.

Menteri Pengangkutan Indonesia, Encik Dudy Purwagandhi, turut mengeluarkan kenyataan rasmi mengucapkan takziah dan memohon maaf kepada keluarga mangsa.

“Bagi pihak pemerintah, kami menyampaikan ucapan takziah dan akan mengambil langkah segera untuk menangani kejadian ini,” tegas beliau.

Menurut Ketua Pengarah Perhubungan Laut, Encik Muhammad Masyhud, Pasukan dari Direktorat Jeneral Perhubungan Laut telah membuka Pos Darurat di Pelabuhan Sanur sejurus kejadian berlaku.

Operasi menyelamat dilaksanakan dengan kerjasama pelbagai agensi, termasuk Agensi Mencari dan Menyelamat Nasional (Basarnas), Tentera Nasional Indonesia (TNI), Polis Republik Indonesia (Polri), serta Pejabat Keselamatan Pelabuhan (KSOP) Benoa.

“Kami berterima kasih atas kerjasama dan koordinasi cepat semua pihak sejak hari pertama kejadian. Ini menunjukkan sinergi nasional yang kuat dalam menghadapi kecemasan maritim,” kata beliau.

Menurut Encik Masyhud, lokasi bangkai kapal telah berpindah kira-kira 250 meter dari kedudukan asal dan kini berada dalam kawasan kolam pelabuhan.

Dua unit jentera berat digunakan untuk memecahkan lambung kapal bagi memudahkan pencarian sisa mangsa dan barang peribadi.

Dalam masa yang sama, pihak berkuasa telah menahan nakhoda dan kru kapal untuk siasatan lanjut.

Proses penyediaan Laporan Kejadian Kapal (LKK) sedang dijalankan, dan jika terdapat bukti pelanggaran undang-undang pelayaran, Penyiasat Pegawai Negeri (PPNS) akan mengambil tindakan sewajarnya.

“Kami menyeru semua pengusaha pelancongan laut agar mematuhi prosedur keselamatan dan sentiasa peka terhadap keadaan cuaca,” tegas Encik Masyhud. “Keselamatan penumpang adalah tanggungjawab utama.” – Agensi berita.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg