Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Rahat bagi ketua wilayah Indonesia, selaras hala tuju, fahami dasar pemerintah

Feb 10, 2025 | 10:57 AM
Gambar yang diambil dan dikeluarkan pada 25 Oktober 2024 oleh Rakan Media rasmi Parti Gerindra menunjukkan Presiden Indonesia, Encik Prabowo Subianto, dalam lawatan ke akademi tentera di Magelang, Jawa Tengah. 
Gambar yang diambil dan dikeluarkan pada 25 Oktober 2024 oleh Rakan Media rasmi Parti Gerindra menunjukkan Presiden Indonesia, Encik Prabowo Subianto, dalam lawatan ke akademi tentera di Magelang, Jawa Tengah.  - Foto INSTAGRAM MEDIA PRABOWO

JAKARTA: Pemerintah Indonesia telah menjadualkan satu rahat bagi 505 ketua wilayah yang dilantik semasa pilihan raya pempatan (PRT) pada 2024.

Ia akan berlangsung dari 21 hingga 28 Februari di Akademi Tentera (Akmil), Magelang, Jawa Tengah, umum Timbalan Menteri Dalam Negeri, Encik Bima Arya Sugiarto, lapor agensi berita, Antara.

Dalam ucapannya di Istana Presiden Yogyakarta, atau Gedung Agung, pada 9 Februari, Encik Bima menyatakan bahawa program itu akan dimulakan selepas pelantikan serentak kesemua ketua wilayah di Jakarta pada 20 Februari.

Beliau turut menjelaskan bahawa Akmil dipilih sebagai lokasi rahat itu kerana kecekapan dan keberkesanan dalam penganjuran acara seumpama itu.

Beliau merujuk kepada program Kabinet Merah Putih yang diadakan di tempat yang sama pada Oktober 2024.

“Presiden telah memilih Magelang sebagai lokasi untuk memberi taklimat kepada ketua wilayah, bermula dengan Kabinet Merah Putih.

“Kali ini, kita menggunakan lokasi yang sama untuk memastikan keberkesanan dan kecekapan,” katanya, lapor Antara.

Menurut Encik Bima, terdapat dua pilihan skema keberangkatan untuk membawa para ketua wilayah ke Akmil.

Pilihan pertama adalah berkumpul di Gedung Agung, Yogyakarta, sebelum menaiki bas bersama-sama ke Magelang.

Pilihan kedua adalah para peserta terus ke Akmil secara langsung.

“Kami berharap Gabenor Yogyakarta, Sultan Hamengku Buwono X, dapat memberi penghormatan kepada ketua-ketua wilayah jika mereka berkumpul di sini,” ujar Encik Bima.

Encik Bima mengatakan rahat itu akan memberi tumpuan kepada tiga topik utama, iaitu tugas dan fungsi ketua wilayah; misi Asta Cita Presiden Prabowo Subianto; dan aspek kepimpinan.

Misi Asta Cita, atau ‘Lapan Cita-Cita’ Presiden merujuk kepada lapan agenda besar, atau visi misi utama yang dirangka oleh Encik Prabowo sebagai panduan dasar dan pembangunan negara.

Selain itu, Menteri Kewangan, Cik Sri Mulyani Indrawati, dijangka hadir untuk memberi taklimat berkaitan kecekapan dan penjimatan belanjawan.

Rahat itu akan menjadi wadah penting untuk menyelaraskan hala tuju ketua wilayah, memastikan semua pihak memahami dasar pemerintah, terutama berkaitan penjimatan belanjawan.

Langkah itu sejajar dengan arahan presiden yang memohon pengurangan anggaran Rp306.69 trilion ($3 bilion) dalam Belanjawan Negara (APBN) dan Belanjawan Wilayah (APBD) 2025.

Kementerian Dalam Negeri sedang menyiapkan surat edaran sebagai panduan kepada ketua wilayah untuk melaksanakan langkah-langkah keberkesanan di wilayah masing-masing.

Encik Bima berkata kefahaman bersama tentang kecekapan belanjawan penting demi menyokong dasar pemerintah pusat.

“Kami mahu memastikan setiap daerah jelas dan memahami tentang kecekapan ini. Menteri Kewangan akan berbincang lanjut tentang teknikalnya,” katanya.

Selain itu, Lembaga Ketahanan Nasional (Lemhannas) akan memberi input berkaitan kepimpinan strategik dalam program tersebut.

“Program ini bukan sekadar tempat pembekalan, bahkan juga peluang memperkukuh perpaduan antara kerajaan pusat dengan daerah,” ujar Encik Bima.

“Kami mahu memastikan pemimpin wilayah benar-benar memahami misi Presiden dan bersedia melaksanakannya dengan cekap,” tambahnya.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg